Pengendali kedai kopi Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) yang memperbaharui pajakan mereka mulai 10 Januari tidak lagi wajib menawarkan hidangan bajet di bawah Inisiatif Hidangan Bajet.
Sebaliknya, mereka boleh memilih sama ada mahu menyertai inisiatif tersebut atau tidak.
Sekiranya mereka mengambil bahagian, mereka boleh dapat insentif yang dipertingkat seperti diskaun bagi sewa atau yuran Lesen Pendudukan Sementara (TOL), kata HDB dalam satu kenyataan pada 10 Januari.
Tambahnya, langkah itu diambil setelah menerima maklum balas daripada pengendali dan penjaja yang prihatin inisiatif itu tidak berdaya tahan disebabkan kos yang meningkat dan sambutan yang hambar.
Sementara itu, penduduk turut memberi maklum balas tentang mutu hidangan bajet yang tidak menentu dan saiz hidangan yang tidak konsisten, menurut HDB.
Bagi pengendali kedai kopi HDB yang menawarkan hidangan bajet, mereka akan menikmati diskaun sewa sebanyak 5 peratus selama tiga tahun tempoh sewa, berbanding setahun sebelum ini, menurut HDB.
Kedai kopi HDB yang sudah pun menawarkan hidangan bajet akan menerima diskaun itu bagi baki tempoh sewa mereka.
Bagi kedai kopi privet yang menawarkan hidangan bajet pula, mereka akan menikmati diskaun bagi yuran TOL mereka.
Inisiatif hidangan bajet itu diperkenal pada 2018 dan hingga 31 Disember 2025, sebanyak 350 kedai kopi HDB dan 48 kedai kopi privet menyediakan hidangan bajet.
Hingga akhir 2025, terdapat sebanyak 805 kedai kopi HDB dan kedai kopi privet di Singapura.
Lagi 43 kedai kopi dijangka siap antara 2026 dengan 2030.
HDB berkata pengendali kedai kopi yang sertai inisiatif hidangan bajet itu harus berkongsi sepenuhnya diskaun yang dinikmati dengan pegerai yang menawarkan hidangan bajet.
“HDB memerlukan pengendali menandatangani surat aku janji dan mengisytiharkan bagaimana diskaun itu dikongsi bersama pegerai yang menawarkan hidangan bajet.
“HDB boleh menghentikan dan menarik balik diskaun itu jika ia tidak dikongsi sepenuhnya dengan pegerai yang mengambil bahagian,” ujar HDB.
Pengarah Urusan kedai kopi De Tian yang mengendalikan 15 kedai kopi HDB di bawah skim hidangan bajet itu, Encik Glenn Koh, menyambut baik perubahan yang diperkenal.
“Peningkatan rebat daripada satu tahun kepada tiga tahun bertindak sebagai insentif kepada pengendali.
“Saya percaya HDB telah meneliti perkara ini dan tampil dengan insentif baru ini. Saya berharap HDB akan terus memantau dan memperhalusi sistem ini selepas perubahan terbaru ini,” katanya.
Bagi memastikan keperluan harian penduduk dapat dipenuhi dengan lebih baik, HDB kini menyelaras skop hidangan bajet, dengan pengendali perlu menyediakan tiga pilihan hidangan.
Ini termasuk set nasi campur – yang harus mengandungi nasi dengan satu lauk daging dan dua lauk sayur – hidangan halal dan hidangan sarapan.
Sementara itu, syarat untuk menawarkan dua jenis minuman bajet (kopi-o dan teh-o) tidak berubah.
Sebelum ini, tiada keperluan jenis hidangan ditetapkan.
Salah satu gerai yang menawarkan hidangan bajet halal di kedai kopi De Tian di Bukit Batok East Avenue 4 ialah Indian Muslim Cuisine, dengan set nasi bersama dua lauk sayur, satu lauk kari dan telur yang berharga $3.
Tukang masak di gerai itu, Encik Mohamed Sabeer Mohamed Iqbal, 50 tahun, menyambut baik perubahan yang diperkenal.
“Sekarang harga semua naik... tapi niat utama kami adalah untuk membantu masyarakat.
“Harga set nasi itu ditetapkan pada $3, harga asal $5. Untung sedikit tidak mengapa, asalkan tidak rugi dan boleh menolong orang lain,” ujarnya.
Orang ramai boleh mengenal pasti gerai yang menyajikan hidangan bajet menerusi pelekat yang dipamerkan di gerai.
Dalam pada itu, HDB juga akan mula mengumpul data sewa gerai yang dikenakan pengendali kedai kopi bagi meningkatkan ketelusan dan membolehkan pihak berkepentingan membuat keputusan yang lebih termaklum tentang kedai kopi HDB dan gerai yang ingin disewa.
Mulai 10 Januari juga, penyewa baru harus mengekalkan kadar sewa mereka selama enam tahun, berbanding tiga tahun sebelum ini.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg