Lebih banyak kedai kopi menawarkan ‘hidangan bajet’ mulai 1 Julai bagi menyediakan pilihan makanan pada harga berpatutan dan dimampui penduduk.
Dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan pada 1 Julai, Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) dan Enterprise Singapore (Enterprise SG) mengumumkan bahawa kira-kira 330 kedai kopi di sekitar estet perumahan HDB akan menyediakan ‘hidangan bajet’ menjelang akhir Julai ini.
Ini termasuk 180 kedai kopi di bawah sembilan pengendali rangkaian persendirian yang akan bekerjasama dengan lima Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC), HDB dan Enterprise SG untuk menawarkan hidangan bajet dan menerima pembayaran menerusi baucar CDC.
Sembilan pengendali rangkaian persendirian itu ialah Badaling, Broadway, De Tian, Chang Cheng, FoodFare Kopitiam, Kimly, Kim San Leng, Koufu dan Select.
Sejumlah 180 kedai kopi itu membentuk hampir 30 peratus daripada kedai kopi milik persendirian di estet HDB, dan terdiri daripada 60 kedai kopi HDB sewa yang kini secara sukarela akan menawarkan hidangan bajet sebelum pembaharuan pajakan mereka serta 120 kedai kopi milik persendirian.
Pada masa ini, terdapat sejumlah 776 kedai kopi HDB di Singapura, di mana 374 daripadanya disewakan oleh HDB dan 402 adalah milik persendirian.
“Gerai-gerai ini akan disenaraikan secara progresif di portal BudgetMealGoWhere (go.gov.sg/budgetmeal), kerjasama antara HDB dan GovTech, yang membolehkan pengguna mencari kedai kopi terdekat dengan pilihan hidangan bajet.
“Sejak pelancarannya, portal BudgetMealGoWhere telah merekodkan lebih 400,000 pelawat unik,” menurut kenyataan bersama itu.
Usaha tersebut adalah peluasan inisiatif hidangan bajet melangkaui kedai kopi sewa HDB, yang pertama kali diumumkan pada Mac 2023 oleh Kementerian Pembangunan Negara (MND) dan HDB.
Di bawah daya usaha tersebut, semua kedai kopi yang disewa dari HDB dan memperbaharui penyewaan mereka mulai Mei 2023 dikehendaki menawarkan sekurang-kurangnya empat hidangan bajet dan dua pilihan minuman bajet.
Hidangan bajet termasuk pilihan makan tengah hari atau makan malam yang biasanya berharga $3.50 dan ke bawah, dan ‘minuman bajet’ pula berharga $1.20 dan ke bawah.
“Sehingga kini, terdapat kira-kira 150 kedai kopi HDB yang disewa di serata Singapura yang menawarkan lebih 1,000 hidangan dan minuman bajet.
“HDB berada di landasan yang baik untuk memastikan kesemua 374 kedai kopi HDB sewa menawarkan hidangan bajet menjelang 2026,” tambah kenyataan bersama itu.
Sejak Disember 2023, kedai kopi HDB milik persendirian yang dijual di pasaran terbuka dikehendaki menawarkan ‘hidangan bajet’.
Pengendali baru yang mengambil alih premis itu dikehendaki menyediakan sekurang-kurangnya dua hidangan bajet dan dua minuman bajet dalam tempoh sebulan dari tarikh siap jualan semula.
Orang ramai boleh mengenal pasti gerai yang menyajikan hidangan bajet dengan melihat pelekat pekeliling yang dipamerkan di gerai.
Gerai-gerai di kedai kopi HDB milik persendirian yang telah komited secara sukarela untuk menyediakan makanan bajet akan memaparkan pelekat hidangan bajet masyarakat dalam warna merah dan biru.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg