Projek pembangunan kediaman dan kemudahan warga emas, Perennial Living, yang pertama dibangunkan di Singapura dengan matlamat memperbaiki khidmat penjagaan swasta bagi penduduk berusia senja, dijangka dibuka pada suku pertama 2026.
Bernilai $260 juta dan diusahakan syarikat hartanah dan penjagaan kesihatan, Perennial Holdings, ia terletak di kawasan estet Rosyth di 28 Parry Avenue.
Ia merupakan projek kediaman bantuan mewah yang menggabungkan aspek layanan tamu, penjagaan perubatan dan terapi moden dan tradisional, lapor The Straits Times (ST).
Penduduk mesti berumur 65 tahun dan ke atas serta memenuhi tempoh minimum penginapan selama tiga bulan di kemudahan kediaman dibantu itu.
Namun, tiada had tempoh penginapan bagi rumah penjagaan atau nursing home.
Lebih 180 kakitangan dijangka akan diambil bekerja bagi projek itu, yang merangkumi 195,000 kaki persegi, dan terdiri daripada 200 unit apartmen dan 100 katil rumah penjagaan.
Projek tersebut juga termasuk taman terapeutik seluas 1.5 hektar.
Sehingga dua daripada 10 blok apartmen kediaman buat warga emas itu menyokong penduduk yang mengalami demensia ringan hingga sederhana.
Penduduk akan mempunyai akses ke taman peribadi di tingkat satu, yang menampilkan ciri seperti laluan yang memanfaatkan deria, zon permainan kanak-kanak, alat muzik luar, dan ruang untuk terapi mengenang kembali peristiwa silam yang bermakna.
Terapi Perubatan Tradisional Cina (TCM) yang memberi tumpuan pada demensia juga disediakan untuk meningkatkan fungsi kognitif.
Pakej asas bagi apartmen kediaman dibantu – yang merangkumi studio, serta suite satu dan dua bilik tidur – bersaiz antara 302 kaki persegi dengan 593 kaki persegi.
Harganya bermula daripada $8,900 hingga $17,000 sebulan, bergantung pada susun atur, tingkat dan arah pemandangan unit berkenaan.
Diskaun awal untuk pakej asas antara $8,000 dengan $13,600 sebulan ditawarkan bagi 40 suite pertama, bergantung pada saiz apartmen.
Semua penduduk akan menjalani penilaian perubatan menyeluruh sebelum diterima masuk ke kediaman itu, diikuti dengan semakan setiap enam bulan.
Pakej asas merangkumi penginapan, pembersihan secara tetap, khidmat mengemas kamar, hidangan utama, penggunaan semua kemudahan, peralatan kecergasan dan kekuatan, serta akses kepada kegiatan sosial dan kesejahteraan.
Setiap suite mempunyai akses lif peribadi dan dapur kecil, dengan kemudahan mesra warga emas seperti tablet untuk panggilan video dan bilik mandi yang dilengkapi ciri kecemasan.
Teknologi pintar turut disediakan termasuk sistem kecemasan 24 jam setiap hari, alat pengesan jatuh, lampu yang berfungsi dengan pengesanan gerakan dan keselamatan pengenalan wajah pengunjung pada pintu utama.
Rumah penjagaan, yang menawarkan suite peribadi satu dan dua katil bersaiz antara 215 dengan 376 kaki persegi, dijangka dibuka pada suku kedua 2026, dengan butiran harga akan diumumkan kelak.
Perennial yang berpusat di Singapura mempunyai rekod sebagai salah satu wadah penjagaan warga emas dan perubatan swasta terbesar di China dengan lebih 25,000 katil di 15 bandar.
Pengerusi Eksekutif yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perennial Holdings, Encik Pua Seck Guan, berkata:
“Proses penuaan di Singapura sering dianggap sebagai cabaran, tetapi kami melihatnya sebagai peluang untuk berinovasi, membina model baru penjagaan warga emas, dan membolehkan warga emas kita menua dengan kesihatan dan kekuatan yang baik.
“(Sebanyak) 95 peratus rakyat Singapura memiliki rumah sendiri. Jadi mengapa mereka perlu masuk ke kemudahan kediaman dibantu?
“Sebabnya, kita mesti menyediakan persekitaran dan perkhidmatan yang lebih baik daripada apa yang mereka dapat di rumah.”
Melalui Perennial Wellness – pusat perubatan, pemulihan dan kesejahteraan – pembangunan bersepadu itu dapat menyokong keperluan mereka yang sihat dan berdikari, serta mereka yang memerlukan bantuan dalam pengurusan penyakit kronik atau kegiatan harian.
Antaranya, penjagaan pemulihan, pemulihan selepas pembedahan, penjagaan demensia dan penjagaan jangka panjang.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg