Kedutaan Singapura di Washington sedang mendapatkan penjelasan daripada Jabatan Negara Amerika Syarikat dan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri berhubung arahan Presiden Donald Trump yang melarang warga asing memasuki negara itu untuk melanjutkan pengajian di Universiti Harvard.
Kedutaan Singapura berharap mendapat penjelasan daripada pihak berkuasa Amerika dalam beberapa hari akan datang, termasuk sama ada terdapat kelewatan dalam pemprosesan visa bagi rakyat Singapura yang ingin belajar di negara itu, kata Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan, pada 7 Jun.
Bercakap dengan media Singapura bagi menggulung lawatan lima hari beliau ke Washington menerusi Zoom, beliau berkata ramai pelajar, baik yang sedang belajar mahupun yang bakal melanjutkan pengajian di Amerika, telah menyuarakan kebimbangan mereka kepada Kementerian Ehwal Luar (MFA) mengenai kemungkinan kelewatan dalam pemprosesan visa.
Apabila ditanya mengenai pelan kontingensi yang sedang dirancang sekiranya pelajar Singapura tidak dapat meneruskan rancangan mereka untuk melanjutkan pengajian di Amerika, beliau berkata pemerintah sedang berusaha mencari penyelesaian untuk menghadapi senario terburuk di mana pelajar tidak dapat menghadiri pengajian secara fizikal di Boston.
“Kami mempunyai beberapa idea tentang bagaimana kami boleh membantu mereka menghadapi kemungkinan itu tanpa menjejas perkembangan akademik dan profesional mereka.
“Bagi mereka yang masih belum tiba atau belum dapat visa, anda juga mungkin perlu menyediakan rancangan alternatif.
“Tetapi perkara utama yang ingin saya tekankan ialah kami akan terus berhubung dan terus memberikan maklumat terkini,” kata Dr Balakrishnan.
Dr Balakrishnan turut memaklumkan bahawa Duta Singapura kepada Amerika, Encik Lui Tuck Yew, juga telah mengadakan sesi pertemuan secara dalam talian bersama pelajar Singapura di Harvard.
Dalam sesi pada 30 Mei itu, Encik Lui memberitahu pelajar bahawa universiti autonomi di Singapura boleh menawarkan mereka tempat sekiranya mereka memilih menamatkan pengajian di Amerika dan pulang ke tanah air.
Jurucakap Kementerian Pendidikan (MOE) berkata mesej ini telah disampaikan kepada pelajar yang terjejas supaya mereka boleh mempertimbang untuk pulang ke Singapura sebagai satu pilihan untuk meneruskan pengajian mereka.
Terdapat enam universiti autonomi di Singapura iaitu Universiti Nasional Singapura (NUS), Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Universiti Pengurusan Singapura (SMU), Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS), Universiti Teknologi dan Reka Bentuk Singapura (SUTD) serta Institut Teknologi Singapura (SIT).
Menurut perangkaan, terdapat 151 pelajar Singapura di Harvard sekarang.
Antara mereka termasuk 12 penerima biasiswa Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (PSC).
Pelajar antarabangsa di Harvard berdepan ketidakpastian selepas pentadbiran Encik Trump mengumumkan pada 22 Mei bahawa sijil Program Pelajar dan Pelawat Pertukaran universiti itu dibatalkan serta-merta.
Hampir 6,800 pelajar antarabangsa di universiti Ivy League itu diberi kata dua sama ada berpindah ke institusi lain atau menghadapi risiko dihantar pulang.
Seorang hakim persekutuan kemudian menyekat langkah itu dan pentadbiran Encik Trump pada 29 Mei mengubah pendiriannya serta memberikan Harvard tempoh 30 hari untuk mengemukakan bukti bagi mencabar rancangan pentadbiran itu menarik balik hak universiti itu menerima pelajar antarabangsa.
Dr Balakrishnan berkata situasi yang dihadapi pelajar antarabangsa itu berpunca daripada isu politik dalaman Amerika.
“Walau bagaimanapun, kami akan terus berusaha menangani perkara ini dengan pihak berkuasa Amerika dan saya berharap kami dapat mencari penyelesaian yang sesuai bagi pelajar kami yang mahukan peluang pendidikan di Amerika,” ujarnya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg