Warga Singapura yang ingin belajar di Amerika Syarikat boleh terus menghantar permohonan visa, kata kedutaan negara itu di sini pada 28 Mei.
Kenyataan itu dibuat menyusuli laporan pentadbiran Presiden Donald Trump telah menghentikan penjadualan bagi janji temu baru untuk pemohon visa pelajar dan pertukaran, lapor The Straits Times.
Setiausaha Negara Amerika, Encik Marco Rubio, dilapor oleh akhbar digital politik, Politico, pada 27 Mei bahawa Jabatan Negara berhasrat menyemak tapisan para pemohon tersebut, serta merancang mengeluarkan garis panduan mengenai “penapisan media sosial yang diperluas”.
Sementara itu, janji temu yang sudah dijadual boleh diteruskan, namun janji temu yang belum diambil perlu dibatalkan.
Apabila ditanya tentang arahan terkini itu, jurucakap Kedutaan Amerika di Singapura berkata:
“Sistem janji temu untuk temu bual di Kedutaan Amerika adalah dinamik dan mencerminkan masa yang diperlukan untuk pegawai konsular mengadili kes dengan mematuhi sepenuhnya undang-undang Amerika.
“Pada masa ini, pemohon boleh terus menghantar permohonan mereka, kerana bahagian konsular menyesuaikan jadual secara berterusan supaya masa yang mencukupi diberikan untuk menapis kes-kes sebelumnya.”
Namun, ia tidak mendedahkan jika pihaknya telah menerima lebih banyak pertanyaan daripada pemohon sejak berita kabel dalaman yang ditukil Politico diterbitkan.
Menurutnya, tapisan media sosial sudah lama menjadi sebahagian permohonan visa Amerika.
Jurucakap tersebut menambah: “Sejak 2019, Jabatan Negara memerlukan pemohon visa menyediakan pengecam media sosial di borang aplikasi visa, dan kami gunakan semua maklumat tersedia untuk membuat tapisan visa.”
Bercerita tentang pengalamannya, seorang pelajar Singapura, yang bercakap dengan syarat tidak dinamakan, berkata beliau harus memberikan nama pemegang akaun media sosialnya apabila beliau memohon untuk visa pelajar pada 2022.
Pelajar berusia 22 tahun itu, yang sedang melanjutkan pengajian di peringkat ijazah sarjana muda dalam sejarah di kolej seni liberal, berkata beliau berasa lebih baik mengambil jalan selamat dengan mendedahkan maklumat tentang semua akaunnya, walaupun meragui sebarang semakan akan dijalankan.
Sejak kebelakangan ini, beliau lebih berhati-hati tentang apa yang dikatakan atau dilakukan dalam talian dan secara peribadi.
Ini diikuti berita mengenai kempen Presiden Trump baru-baru ini terhadap kolej elit Amerika, agar membuat pelbagai perubahan dasar seperti menghapuskan inisiatif kepelbagaian, kesaksamaan dan keterangkuman.
Pada 22 Mei, pentadbiran Encik Trump menamatkan hak Universiti Harvard untuk menjadi tuan rumah dan mendaftarkan pelajar dan cendekiawan asing, menyebabkan hampir 6,800 pelajar antarabangsa di sana terpinga-pinga.
Ini berikutan pembatalan geran dan dana berbilion dolar untuk sekolah serta institusi elit lain seperti Universiti Columbia.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg