Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kegiatan interaktif tanam minat belajar bahasa Melayu di Simposium Bahasa Ibunda

Sep 14, 2024 | 3:45 PM
Pencipta Kandungan, Cik Nur Sabrina Masri (kanan) mengajar kanak-kanak yang mengunjungi reruai Berita Harian (BH) cara kandungan video dirakam secara langsung.
Pencipta Kandungan, Cik Nur Sabrina Masri (kanan) mengajar kanak-kanak yang mengunjungi reruai Berita Harian (BH) cara kandungan video dirakam secara langsung. - Foto BM oleh KHALID BABA

Cik Nur Hidayah Sazali, 34 tahun, sentiasa berharap kededua anak perempuannya fasih berbahasa Melayu, walaupun mereka lebih selesa menggunakan bahasa Inggeris di rumah dan di sekolah.

Untuk memastikan anak-anaknya yang berusia lima dan tujuh tahun itu tidak kekok menggunakan bahasa Melayu, Cik Hidayah akan berkongsi dan menunjukkan kandungan bahasa Melayu kepada mereka.

Namun, beliau akur bahawa ianya sukar dengan pendedahan anak-anaknya kepada bahasa Inggeris dan Cina di peringkat prasekolah membuatnya sukar untuk memupuk keupayaan berbahasa Melayu.

Justeru, beliau berharap dengan mendedahkan anak-anaknya kepada acara seperti Simposium Bahasa Ibunda (MTLS) ke-13 yang diadakan di Pusat Konvensyen Suntec City pada 14 September, anak-anaknya akan dapat menanam minat untuk belajar serta meningkatkan penguasaan bahasa Melayu mereka melalui aktiviti yang seronok dan interaktif.

Sebanyak 45 reruai yang disertai pertubuhan seperti Lembaga Warisan Negara (NHB), Jawatankuasa Pembelajaran dan Penggalakan Penggunaan Bahasa Melayu (MLLPC), Institut Pendidikan Nasional (NIE), Mandai Wildlife Group serta sekolah rendah, menengah dan tadika disediakan di MTLS.

“Saya dapat tahu tentang MTLS melalui guru bahasa Melayu anak saya.

“Ia juga merupakan kali pertama kami hadiri acara sebegini dan saya harap bahawa anak-anak saya, termasuk saya juga, akan dapat mempelajari bahasa ibunda dengan menyertai kegiatan seronok di reruai-reruai yang tersedia,” kata Cik Hidayah yang telah mengunjungi reruai Berita Harian (BH) dan melakukan kegiatan mencari kata bersama anak-anaknya.

Selain aktiviti itu, pelajar dan ibu bapa yang mengunjungi reruai BH juga dapat mempelajari cara kandungan video dirakamkan secara langsung serta menyertai rakaman tersebut.

Pelbagai hadiah dapat dimenangi apabila mereka menyertai permainan tradisional seperti capteh dan lastik serta permainan yang sesuai mengikut peringkat usia, daripada kanak-kanak prasekolah, pelajar sekolah rendah hingga menengah.

Editor Audiens dan Perkembangan BH, Cik Norhaiza Hashim, berkongsi kegembiraannya dengan sambutan yang memberangsangkan daripada para pelajar, dan ibu bapa yang datang mengunjungi reruai BH.

Beliau berkata: “Ini adalah satu usaha BH untuk mendekati masyarakat, terutama para pelajar.

“Kami telah memperkenalkan dua majalah dan akhbar untuk para pelajar – pertama ialah Cilik Cerdik untuk pelajar prasekolah dan kedua ialah akhbar pelajar, Gen G, yang sesuai untuk pelajar sekolah rendah dan sekolah menengah.

“Buat kali pertama, Gen G akan diperkenalkan kepada ibu bapa melalui laman BH dan kami menggunakan platform ini untuk menarik minat mereka melanggan akhbar tersebut.”

MTLS turut dihadiri oleh Menteri Pendidikan, Encik Chan Chun Sing; Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim; Menteri Negara (Pendidikan merangkap Tenaga Manusia), Cik Gan Siow Huang; dan Anggota Parlimen (AP) GRC Sembawang, Encik Vikram Nair, yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pembelajaran dan Penggalakan Penggunaan Bahasa Tamil (TLLPC).

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg