Penduduk Melayu/Islam di bahagian utara Singapura berpeluang mengambil bahagian dalam kegiatan seperti melukis batik, terapi seni, dan lain-lain semasa ‘Raikan Ilmu@Heartlands 2024’ yang diadakan di Kampung Admiralty pada 27 hingga 28 Julai.
Kempen ‘Raikan Ilmu’ anjuran Yayasan Mendaki bertujuan menggalakkan masyarakat Melayu/Islam meraikan ilmu dan mengamalkan pembelajaran sepanjang hayat sebagai sebahagian daripada budaya kita.
‘Raikan Ilmu@Heartlands’ di Admiralty merupakan edisi ketiga festival pembelajaran di kawasan kejiranan, yang sebelum ini telah diadakan di Tampines dan Jurong.
Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, serta Anggota Parlimen GRC Sembawang, Cik Mariam Jaafar, turut hadir pada acara 27 Julai itu.
Dr Faishal berkata: “Saya gembira ‘Raikan Ilmu@Heartlands’ terus diadakan di estet-estet kejiranan sepanjang bulan ini.
“Ini membolehkan masyarakat kita turut serta dalam pelbagai acara yang tersedia di kawasan berdekatan dengan tempat tinggal mereka.”
Antara acara yang diadakan sempena ‘Raikan Ilmu@Heartlands’ adalah pertandingan robotik yang dianjurkan oleh Universiti Teknologi dan Reka Bentuk Singapura (SUTD).
Pertandingan yang diadakan dari Mei hingga Julai itu telah memberi manfaat kepada kira-kira 1,500 pelajar dan belia daripada Program Tuisyen Mendaki serta orang awam.
Dr Faishal menambah bahawa pendekatan seperti pertandingan robotik itu merupakan usaha menjadikan masyarakat kekal relevan dan mampu meluaskan pendedahan mereka kepada bidang tersebut.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg