Sebanyak 40 rakan kerja nasional, masyarakat dan korporat menyokong Yayasan Mendaki untuk menganjurkan lebih 80 kegiatan untuk keluarga, pekerja dan pencari kerja sepanjang bulan Raikan Ilmu.
Menghadiri acara Raikan Ilmu di Jurong Point pada 20 Julai, Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam, berkata beliau gembira melihat rakan masyarakat bekerjasama dengan Mendaki dan M³@Bandar untuk menyediakan aktiviti bermakna untuk pelajar dan keluarga.
“Saya menantikan kerjasama masa hadapan bersama Mendaki untuk meningkatkan kehidupan dan membina Masyarakat Gemilang,” kata Cik Rahayu, yang juga Anggota Parlimen (AP) GRC Jurong.
Raikan Ilmu merupakan gerakan masyarakat Melayu/Islam untuk meraikan ilmu dan mengamalkan pembelajaran sepanjang hayat sebagai sebahagian daripada budaya masyarakat.
‘Raikan Ilmu@Heartlands’ (Jurong) oleh Yayasan Mendaki diadakan di Jurong Point dari 15 hingga 21 Julai 2024.
Pada 20 Julai, acara itu turut dihadiri AP dan Penasihat Akar Umbi, Dr Tan Wu Meng (GRC Jurong) serta AP dan Penasihat Akar Umbi, Encik Zhulkarnain Abdul Rahim (GRC Chua Chu Kang).
Selain itu, Mendaki bekerjasama bersama Majlis Pembangunan Masyarakat South West, laman mencari pekerjaan, goodjobs.com.sg, dan perusahaan sosial, The Social Equity, untuk menganjurkan bersama Pameran Kerja Masyarakat South West yang berlangsung di Jurong Point juga dari 15 hingga 19 Julai.
Lebih daripada 50 syarikat serta rakan kerja latihan dan peningkatan kemahiran menawarkan lebih 2,000 pekerjaan dan kursus untuk menyokong masyarakat dalam pencarian pekerjaan mereka dengan lebih baik dan menyediakan peluang pembelajaran sepanjang hayat semasa acara tersebut.
Encik Zhulkarnain juga mengalu-alukan anggota masyarakat untuk menyertai acara sebegini untuk membantu mereka meningkatkan kemahiran dan peluang pekerjaan mereka.
“Saya menggalakkan keluarga yang mempunyai anak kecil, belia, pekerja dan pencari kerja menyertai ‘Raikan Ilmu@Heartlands’ di Jurong Point (sehingga 21 Julai) dan di Kampung Admiralty (pada 27 dan 28 Julai) untuk meneroka pelbagai peluang pembelajaran, latihan dan pekerjaan yang disusun khas untuk segmen masyarakat yang berbeza,” ujar beliau.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg