Jumlah pertubuhan agama yang diwakili dalam Kumpulan Keharmonian Antara Kaum dan Agama atau Harmony Circles telah meningkat lebih seganda kepada 450 pada masa ini daripada sekitar 200 pada 2023.

Secara individu pula, anggota Harmony Circles semasa ini telah bertambah daripada 1,500 kepada hampir 2,000 dalam tempoh yang sama.

Ini termasuk 325 individu dalam kalangan mereka yang telah mempelajari kemahiran baru untuk bersiap siaga menghadapi krisis, dan bersedia untuk bertindak sekiranya diperlukan.

Peningkatan itu mencerminkan keharmonian kaum dan agama sebagai satu usaha bersama yang berterusan dan sentiasa perlu diperkukuh, kata Pemangku Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik David Neo.

“Keharmonian itu dizahirkan melalui pilihan dan tindakan yang kita lakukan setiap hari.

“Setiap generasi juga perlu memilih untuk memeliharanya serta meneruskan legasi yang dibina oleh generasi terdahulu,” kata Encik Neo.

Menambah, beliau berkata keharmonian kaum dan agama di Singapura tidak tercapai secara kebetulan.

Sebaliknya, ia merupakan hasil usaha gigih yang berterusan oleh generasi demi generasi rakyat Singapura, yang memilih perpaduan berbanding perpecahan, meskipun berdepan dengan pelbagai perbezaan, katanya lagi.

“Keharmonian kaum dan agama yang kita nikmati hari ini bukanlah sesuatu yang berlaku secara kebetulan.

“Namun, ia merupakan hasil usaha gigih yang tidak mengenal lelah oleh generasi demi generasi rakyat Singapura, yang memilih perpaduan berbanding perpecahan.

“Mereka secara sedar berusaha memupuk persefahaman, saling menghormati dan kepercayaan meskipun wujud pelbagai perbezaan antara kita.

“Justeru, kita perlu terus memperkukuh usaha tersebut seiring dengan perubahan cabaran yang berlaku di sekeliling kita.”

Encik Neo, yang juga Menteri Negara Kanan (Pendidikan) berkata demikian, semasa berucap di Harmony Fest! yang berlangsung di *SCAPE pada 4 Julai.

Acara Harmony Fest! 2026, yang dianjurkan untuk kali keempat tahun ini merupakan acara terbesar yang meraikan keharmonian kaum dan agama di Singapura.

Ia turut dihadiri Presiden Tharman Shanmugaratnam.

Dalam pada itu, Encik Neo turut mengimbas kembali keadaan Singapura 60 tahun lalu, ketika itu baru sahaja keluar daripada bayang-bayang rusuhan dan ketegangan antara kaum.

Menurut Encik Neo, tiada jaminan bahawa negara ini mampu terus bersatu, dan usaha memupuk perpaduan kaum adalah usaha bersama setiap warga Singapura.