Topik diikuti
Pergi ke BHku43 belia dilantik pejuang keharmonian kaum, agama
43 belia dilantik pejuang keharmonian kaum, agama
Perpaduan sosial dikekalkan bukan hanya melalui tindakan gah, bahkan usaha harian, kata Syed Harun
43 belia dilantik pejuang keharmonian kaum, agama
Seramai 43 belia dilantik sebagai Pejuang Keharmonian pada 24 Mei dalam usaha memupuk perpaduan kaum dan agama dalam masyarakat majmuk Singapura.
Kumpulan belia itu, yang datang dari 11 institut pengajian tinggi termasuk Institut Pendidikan Teknikal (ITE), politeknik dan universiti, menerima pelantikan mereka dalam majlis Program Pejuang Keharmonian Yayasan Temasek - Roses of Peace yang diadakan di Temasek Shophouse di Orchard Road.
Acara itu dianjurkan oleh pertubuhan silang agama Roses of Peace, dengan kerjasama Yayasan Temasek dan unit maklum balas pemerintah, Reach.
Hadir selaku tetamu terhormat di majlis itu ialah Setiausaha Parlimen Kanan (Pendidikan merangkap Pembangunan Negara), Dr Syed Harun Alhabsyi.
Turut hadir ialah Encik Teo Chee Hean, penasihat kanan di Pejabat Perdana Menteri (PMO), dan pengasas serta presiden Roses of Peace, Encik Mohamed Irshad Abbas Ali.
Lebih 180 belia telah dilantik sebagai Pejuang Keharmonian sejak program itu dilancarkan pada 2023.
Di bawah program itu, belia berpeluang mengikuti kurikulum berstruktur merangkumi bengkel membina keupayaan, jejak agama, sesi dialog dan projek pembelajaran berasaskan tindakan.
Mereka kemudian akan menerajui inisiatif pembinaan keamanan dalam kampus dan masyarakat masing-masing.
Berucap di majlis itu, Dr Syed Harun berkata perpaduan sosial dibina dan dikekalkan bukan melalui tindakan yang gah, namun menerusi usaha harian yang dicurahkan dalam hubungan merentas kaum, agama, taraf, dan negara asal.
“Setiap kali anda mengenali seseorang daripada latar belakang yang berbeza – bukan sekadar duduk di sebelah mereka dalam kelas tutorial, tetapi benar-benar mengenali mereka – sesuatu akan berubah.
“Kita berhenti melihat satu sama lain sebagai wakil suatu kaum atau agama, dan sebaliknya mula melihat satu sama lain sebagai individu kompleks yang dibentuk oleh pengalaman hidup masing-masing,” kata beliau.
Dengan penggunaan media sosial yang semakin berleluasa, Dr Syed Harun menambah bahawa usaha memperjuangkan keharmonian kaum dan agama kini juga diperluaskan ke ruang digital.
Meskipun media sosial boleh menghakis kepercayaan antara masyarakat yang berbeza dengan pantas – bukan hanya melalui maklumat salah atau ideologi ekstremis, malah juga tindakan kecil seperti mensensasikan sesuatu isu demi mendapatkan interaksi – ia boleh digunakan untuk memupuk pemahaman yang ikhlas.
“Sebagai Pejuang Keharmonian, anda berada dalam kedudukan yang baik untuk menunjukkan contoh terbaik tentang bagaimana perkara itu dilakukan, kerana rakan sebaya anda jauh lebih cenderung untuk mempertimbangkan pendapat seseorang yang mereka percayai dan boleh fahami berbanding mana-mana kempen awam,” kata Dr Syed Harun.
