Selepas kehilangan ibunya yang diserang angin ahmar, pelbagai perasaan dan persoalan membelenggu jiwa Cik Mis’Rohaiza Amin.

Antaranya ialah sama ada beliau seharusnya meluangkan lebih banyak tenaga dan masa untuk memberi sokongan kepada ibunya selepas ibunya itu jatuh sakit.

“Pengalaman yang paling membentuk diri saya ialah kehilangan ibu. Beliaulah antara sebab saya memilih bidang kejururawatan pada awalnya. Namun, tidak lama selepas saya menamatkan pengajian dan menjadi jururawat, ibu saya meninggal dunia.

“Saya mempunyai pengetahuan dalam bidang kejururawatan dan kemahiran klinikal. Namun, apabila mengenang kembali pengalaman ketika itu, saya berharap saya lebih tahu tentang cara memberikan keselesaan dan sokongan kepada ibu pada hari-hari terakhirnya,” kata beliau kepada Berita Harian (BH).

Pengalaman itu juga mendorongnya untuk mendalami bidang penjagaan paliatif, serta mengubah cara beliau memahami erti sebenar kejururawatan.

Persoalan itu akhirnya dijawab, dan ia membawanya mendalami bidang penjagaan paliatif, serta mengubah cara beliau memahami erti sebenar kejururawatan.

“Sebagai profesional penjagaan kesihatan, kami dilatih untuk merawat, menyelesaikan masalah dan membantu pesakit menjadi lebih baik.

“Tetapi ada kalanya, kita sampai ke satu tahap di mana kita tidak lagi mampu mengubah kesudahannya.

“Kami boleh menguruskan simptom pesakit. Kami boleh menjaga maruah mereka. Kami boleh mendengar. Kami boleh menyokong keluarga mereka. Dan kadangkala, kami hanya perlu berada di sisi mereka,” kongsinya.

Pengalaman itu bukan sahaja membentuk pendekatan Cik Mis’Rohaiza sebagai seorang jururawat, malah akhirnya mempengaruhi cara beliau membimbing jururawat generasi seterusnya.

Dua dekad selepas menceburi kejururawatan sebagai kerjaya, Cik Mis’Rohaiza kini bertugas sebagai Pengurus Kanan dan Ketua Program di Politeknik Ngee Ann (NP), membimbing pelajar yang turut mahu menceburi bidang itu.

Menurut beliau, minatnya terhadap pendidikan berkembang kerana beliau menemui kepuasan dalam membantu pelajar membina keyakinan serta berkembang dalam peranan sebagai jururawat.

“Selepas bertahun-tahun, apa yang membuat saya teruskan? Saya masih akan kata, pelajar saya,

“Ada sesuatu yang sangat istimewa apabila melihat seorang pelajar yang datang dalam keadaan tidak yakin dengan diri sendiri, kemudian sedikit demi sedikit menemukan keyakinan, suara dan identiti mereka sebagai seorang jururawat. Perkara itu tidak pernah jemu bagi saya,” kata beliau, berkongsi.

Jasa dan usaha Cik Mis’Rohaiza membimbing pelajar dalam bidang kejururawatan diiktiraf pada 3 September, apabila beliau dipilih sebagai antara lapan penerima Anugerah Presiden bagi Guru 2026.

Anugerah tersebut disampaikan oleh Presiden Tharman Shanmugaratnam di majlis khas di Hotel Fairmont.

Cik Mis’Rohaiza juga merupakan pendidik pertama dari NP yang menerima anugerah tersebut.

Menurut Cik Mis’Rohaiza, beliau sentiasa berusaha melahirkan jururawat yang bukan sahaja cekap dari segi klinikal, malah penuh belas ihsan dan mampu melihat pesakit sebagai insan secara menyeluruh.

“Saya mahu mereka menjadi jururawat yang cekap, tetapi saya juga mahu mereka melihat pesakit sebagai seorang manusia secara menyeluruh,” kata beliau lagi.

Bagi menerapkan nilai-nilai tersebut, Cik Mis’Rohaiza berkata beliau cuba mewujudkan pelbagai peluang pembelajaran yang membawa pengalaman penjagaan kejururawatan melangkaui bilik darjah, termasuk menerusi inisiatif penglibatan masyarakat serta pendekatan imersif terhadap penjagaan paliatif dan penjagaan akhir hayat.

Antaranya ialah menerusi First Act of Last Office, sebuah intervensi pendidikan melalui drama yang dibangunkannya bersama Universiti Teknologi Nanyang (NTU) dan Institut Pendidikan Nasional (NIE); dan usaha simulasi Mixed Reality HoloLens yang meniru persekitaran klinikal yang membolehkan pelajar berlatih membuat keputusan dalam keadaan tertekan.

Beliau turut terlibat dalam usaha menyesuaikan kurikulum Konsortium Pendidikan Kejururawatan Akhir Hayat (ELNEC) dengan konteks kehidupan di Singapura dan dalam usaha latihan menggunakan kurikulum tersebut.

Bagi Cik Mis’Rohaiza, anugerah yang diterimanya itu bukan sekadar pengiktirafan terhadap usaha beliau sendiri, malah turut mencerminkan kesan lebih luas yang boleh diberikan oleh seorang pendidik kejururawatan.

“Banyak perkara yang kami lakukan berlaku secara senyap, di belakang tabir. Kami mengajar seorang pelajar pada satu-satu masa, tetapi jururawat itu mungkin akan menjaga ratusan malah ribuan pesakit dan keluarga sepanjang kerjayanya,

“Ada kesan berantai,” ujarnya.