Topik diikuti
Pergi ke BHkuPesakit kegagalan organ di Jurong bakal terima lebih bantuan di rumah di bawah skim baru
Pesakit di Jurong yang mengalami kegagalan organ tahap lanjut, termasuk penyakit buah pinggang kronik, sirosis hati dan kegagalan jantung, kini akan menerima lebih banyak sokongan di rumah selepas keluar dari hospital.
Di bawah skim baharu yang dilancarkan pada 16 Ogos, jururawat bersara dan penjaga terlatih akan memeriksa secara berkala serta memantau kesihatan pesakit yang dibenarkan pulang selepas dirawat di Hospital Besar Ng Teng Fong (NTFGH), termasuk melalui lawatan ke rumah.
Matlamatnya adalah mengurangkan kemungkinan pesakit dimasukkan semula ke hospital dalam tempoh 60 hari selepas keluar.
Usaha baharu itu akan memperkukuh rangkaian penjagaan setempat dan menyokong kira-kira 10,000 warga emas di Jurong East dan Boon Lay.
Berucap pada pelancaran Care Connect Hub (Hab Perhubungan Penjagaan) sempena Hari Masyarakat Loving Heart di Jurong East Street 32, Menteri Kemampanan dan Sekitaran, Cik Grace Fu, berkata program itu juga akan membantu menyediakan lebih banyak ruang di hospital dan membolehkan sumber ditumpukan kepada kes paling parah.
Beliau menambah warga emas yang lebih berusia sering mengalami keadaan kesihatan yang turun naik.
Cik Fu, yang merupakan Anggota Parlimen (AP) GRC Jurong East-Bukit Batok, berkata: “Kita melihat keadaan mereka merosot dengan cepat daripada menjalani gaya hidup yang sihat dan cergas sehingga terlantar di katil, dan mereka sukar pulih, sesuatu yang saya rasa amat menyedihkan…
“Jika diberikan keyakinan dan sokongan, mereka boleh pulih dengan berkesan dan menikmati semula kehidupan yang bermutu, yang amat penting bagi kita.”
Jurong East adalah antara lima kawasan di Singapura dengan kadar warga emas tertinggi, menunjukkan perlunya penjagaan disediakan lebih dekat dengan tempat tinggal mereka, katanya.
Usaha Care Connect Hub, yang dilaksanakan NTFGH selepas percubaan selama dua bulan pada 2025, akan melibatkan jururawat berpengalaman hospital yang telah bersara.
Jururawat berkenaan akan antara lain, menyaring dan mendaftarkan pesakit berisiko tinggi dalam skim itu, menjelaskan tentang ubat-ubatan atau janji temu seterusnya, serta membantu mereka mendapatkan pilihan penjagaan dalam masyarakat.
Care Connect Hub merupakan kerjasama antara NTFGH dengan Pusat Pelbagai Perkhidmatan Loving Heart, dengan 25 sukarelawan Loving Heart akan dilatih sebagai penjaga masyarakat.
Para sukarelawan akan mengunjungi rumah pesakit berisiko tinggi di Jurong East secara berkala, memeriksa tekanan darah, mengesan tanda awal penyakit kronik yang rumit dan menggalakkan pesakit meneruskan rawatan perubatan yang dijadualkan.
Para sukarelawan tidak mempunyai latihan perubatan, maka mereka sebahagian besarnya akan menjalankan tugas bukan perubatan mengikut tatacara yang ditetapkan. Jika pesakit menunjukkan tanda-tanda tidak sihat, sukarelawan akan memaklumkan pasukan perubatan di NTFGH.
Ketua Eksekutif NTFGH dan Hospital Masyarakat Jurong (JCH), Profesor Madya Dan Yock Young, berkata: “Apabila keperluan penjagaan kesihatan semakin rumit, pesakit memerlukan penjagaan yang berterusan di luar hospital.”
Beliau berkata usaha itu bertujuan membantu pesakit pulih di rumah dengan lebih yakin dan mencegah kemasukan semula ke hospital yang boleh dielakkan. Ia juga memberi jururawat bersara dan sukarelawan Loving Heart peranan bermakna dalam membantu warga emas yang memerlukan sokongan.
Menurut kajian NTFGH, daripada 3,252 pesakit yang mengalami kegagalan buah pinggang, jantung atau hati dan dimasukkan semula ke hospital dalam tempoh setahun selepas keluar, 68 peratus mengalami sekurang-kurangnya satu kemasukan semula yang tidak dirancang dalam tempoh 60 hari selepas keluar.
Antara sebab utama ialah sokongan sosial yang tidak mencukupi serta kegagalan mematuhi aturan pengambilan ubat dan temu janji perubatan.
Dalam percubaan hospital itu pada dua bulan terakhir 2025, kadar kemasukan semula dalam tempoh 60 hari bagi 200 pesakit yang menerima pemantauan teratur selepas keluar dari hospital turun daripada 40 peratus kepada 31 peratus.
Hampir 6,670 pesakit hospital itu mengalami kegagalan buah pinggang, jantung atau hati, yang merupakan penyakit kronik tahap lanjut, tambah hospital itu.
Hospital itu turut berkata keadaan kegagalan organ boleh berubah-ubah dan pesakit boleh kekal sihat untuk tempoh yang panjang, bergantung pada pematuhan terhadap aturan pemakanan, pengambilan ubat dan pengurusan cecair.
Kegagalan mematuhi pelan penjagaan boleh menyebabkan keadaan merosot dengan cepat dan pesakit dimasukkan ke hospital akibat masalah seperti pengumpulan cecair berlebihan dalam badan, yang sering boleh dicegah dengan sokongan sewajarnya.
Program Care Connect Hub dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 1,000 pesakit berisiko tinggi di kawasan barat sepanjang tempoh percubaan dua tahun hingga 2028.
Daripada jumlah itu, sekitar 50 orang dijangka memerlukan sokongan tambahan menerusi lawatan ke rumah oleh penjaga masyarakat.
NTFGH juga merancang bekerjasama dengan lebih banyak pusat penuaan sihat di bahagian barat Singapura bagi memperluas skim Care Connect Hub.
Hospital itu juga akan meneliti kemungkinan memperluas program itu kepada lebih banyak kumpulan pesakit dengan keperluan penjagaan serupa.
