Hasil cetusan ilham daripada budaya seni reka bentuk golongan belia di kota Berlin di Jerman, Cik Quraisyah Azmi, menerapkan konsep tersebut dalam projeknya yang diberi nama, TAPAK Union.

Projek yang mencipta bayangan binaan hostel di Joo Chiat, dalam kawasan sekitar 15 minit dari perniagaan seni setempat, berperanan mengisi ‘kekosongan’ sekitar kawasan itu.

Kekosongan yang dimaksudkan oleh bakal lulusan Politeknik Singapura (SP) dalam jurusan Diploma Reka Bentuk Dalaman itu merujuk kepada ketiadaan ruang tunggal di Singapura yang menyatukan penginapan, bengkel, pameran, dan ruang sosial dalam satu ekosistem reka bentuk dalaman.

Bertitik daripada pengalamannya di lapangan menemu bual beberapa pengunjung, Cik Quraisyah, 20 tahun, berkata:

“Apabila saya mengumpul data dengan berbual dengan pelancong backpacker (beg galas) di Joo Chiat, Arab Street dan Bugis, saya dapati ramai dalam kalangan mereka yang menghargai seni budaya dan juga interaksi sosial.

“Di kawasan itu juga, terdapat sebilangan golongan belia, para pelajar khususnya, yang tinggal di beberapa hostel di situ.

“Mereka berkongsi betapa mereka mendambakan pengalaman kebudayaan dan kesenian setempat untuk dilakukan secara bersama-sama dengan penghuni hostel lain.”

Dengan TAPAK Union, anak bongsu dalam keluarga empat beradik itu berhasrat mewujudkannya sebagai sebuah ekosistem seni dan budaya yang menyeluruh dan dapat menggabungkan beberapa aspek.

Selain menjadi tempat penginapan untuk pengunjung, beliau ingin jadikan tempat itu sebagai ruang yang meriah dengan kegiatan seni dan seronok dengan interaksi sesama pengunjung.

Ruang yang bersifat holistik itu turut merangkumi pengusaha daripada perniagaan seni budaya yang terdapat di sekitar kawasan itu untuk saling berhubung bersama belia serta pengunjung.

Selain tujuan membina ruang yang mengaitkan pengunjung dan kegiatan kesenian serta sosial, Cik Quraisyah, turut berkongsi tentang inspirasi yang beliau impikan bagi reka bentuk ciptaannya.

Menjelaskan sebab yang menjadikan kota Berlin sebagai inspirasinya, beliau berkongsi:

“Reka bentuk di Berlin sangat kontemporari dan diisi dengan ‘kejujuran’.

“Ia mungkin kelihatan berselerak dan tidak kemas tapi ia mempunyai nilai kesenian yang tinggi dan lebih dekat kepada jiwa muda.”

Dalam mencipta sebuah ruang baharu di kawasan bersejarah seperti Joo Chiat, ia pasti datang dengan beberapa cabaran.

Begitulah yang dialami Cik Quraisyah yang telah disenarai pendek untuk mengambil kursus ijazah Sarjana Muda dalam Seni Bina di Universiti Nasional Singapura (NUS).

Tatkala beliau bersemangat menghidupkan jiwa muda dan wajah kesenian yang baharu di Joo Chiat, beliau sedar Joo Chiat ialah kawasan bersejarah yang perlu dilindungi identiti dan sejarahnya.

“Pada awalnya, saya berhadapan cabaran dalam menyuntik semangat dan wajah baharu di Joo Chiat yang mempunyai sejarah tersendiri.

“Saya fikir mungkin visi saya tidak selari dengan konteks kawasan Joo Chiat itu.

“Namun, saya sedari walaupun ciptaan idaman saya itu bersifat baharu dan berlainan, ia tetap mempunyai nilai tradisi yang kekal terpelihara.

“Contohnya, hostel yang direka itu berperanan menjadi tempat penyatu masyarakat daripada pelbagai latar belakang.

“Ini selaras dengan semangat kebersamaan dan kesatuan yang ada di kampung seperti di Joo Chiat suatu ketika dahulu,” jelas beliau.