SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Ketengah isu, tingkat kesedaran kekurangan pasir peringkat sejagat

Ketengah isu, tingkat kesedaran kekurangan pasir peringkat sejagat

Pelajar SP bangun pameran simulasi di Stesen Jana Kuasa Pasir Panjang menerusi projek, ‘Sands of Times’
Apr 9, 2026 | 12:18 AM

Ketengah isu, tingkat kesedaran kekurangan pasir peringkat sejagat

Politeknik Singapura, krisis alam sekitar, kurang pasir, Stesen Jana Kuasa Pasir Panjang
Cik Syuhrah Huwaida Yamanhizas, yang menghasilkan projek tahun akhir bertajuk, ‘Sands of Times’, mendapati ramai dalam kalangan masyarakat kurang peka tentang sumber pasir yang kian berkurangan serta masalah geografi yang sedang melanda dunia hari ini. - Foto POLITEKNIK SINGAPURA

Meskipun projek tahun akhirnya, Sands of Times, bukan projek pilihan pertamanya, minat Cik Syuhrah Huwaida Yamanhizas terhadap perihal sumber pasir yang kian kekurangan dan kesannya terhadap alam sekitar kian bangkit.

Cik Syuhrah, 20 tahun, mula mendalami topik tersebut dengan gigih bagi mencipta pameran muzium simulasi di Stesen Jana Kuasa Pasir Panjang yang dapat menggambarkan dapatan kajiannya tentang pasir.

Ketika dihubungi Berita Harian (BH), Cik Syuhrah menyifatkan proses pembelajarannya sepanjang menjayakan projek, Sands of Times, itu sebagai pengalaman membuka mata dek peluang meraih perspektif baharu tentang alam sekitar.

Bakal lulusan Politeknik Singapura (SP) yang mengikuti jurusan Diploma Reka Bentuk Dalaman itu berkata:

“Pada awalnya, projek ini bukanlah pilihan pertama saya kerana saya kurang berminat dan kurang pasti tentang topik projek ini.

“Namun, selepas mencari maklumat dan mengkaji dengan lebih mendalam, saya menjadi lebih terpanggil dan bersemangat untuk menyebarluaskan topik berkenaan pasir ini.”

Tatkala menyedari betapa gentingnya masalah kekurangan pasir serta kesannya kepada manusia dan alam sekitar, Cik Syuhrah menyifatkan dirinya sebagai ‘pejuang’ baharu bagi menyahut cabaran itu.

“Di serata dunia termasuk di Singapura, kita amat bergantung pada pasir bagi pelbagai kerja pembinaan dan penambakan tanah. Jadi, permintaan bagi pasir sangat tinggi.

“Namun, kita kurang sedar akan kesan terhadap alam sekitar daripada pengambilan pasir berlebihan ini.

“Seperti contoh, apabila banyak pasir diambil daripada sistem perairan, ia bakal menyebabkan pencemaran ekosistem perikanan dan juga penghakisan tanah di beberapa tempat di dunia,” jelas anak bongsu dalam keluarga empat beradik itu.

Bagi Cik Syuhrah, pengetahuan demikian merupakan maklumat baharu yang diraih apabila beliau menjalankan penyelidikan dan menonton dokumentari berkenaan fenomena pasir.

Justeru, beliau dapati ramai dalam kalangan masyarakat yang kurang peka tentang keadaan pasir serta masalah geografi yang sedang melanda dunia hari ini.

“Sewaktu membuat kajian lapangan di Stesen Jana Kasa Pasir Panjang, saya sempat menemu bual beberapa orang.

“Ternyata, apabila ditanya tentang keadaan kekurangan pasir, ramai yang masih kurang faham akan isu ini,” ujarnya.

Malah, setelah lebih memahami masalah pasir serta kurangnya kesedaran orang ramai, jiwa beliau menjadi lebih terjentik dan terkesan emosinya.

“Apabila saya sedar ini merupakan masalah genting, saya lebih emosi kerana saya prihatin akan kesannya terhadap dunia,” jelas beliau.

Bertitik tolak daripada hal itu, beliau memasang hasrat membangkitkan kesedaran tentang fenomena ini kepada masyarakat.

“Tujuan saya menghasilkan projek, Sands of Times, ini adalah untuk mendidik masyarakat tentang isu ini dengan memberi mereka pencerahan terperinci mengenai keadaan dan kesannya.

“Saya juga menggunakan elemen emosi untuk membuat pengunjung rasa terkesan dan prihatin akan isu pasir yang sedang melanda ini,” jelas beliau, yang merancang melangkah ke alam pekerjaan dalam bidang reka bentuk dalaman.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg