Salah satu kekuatan Singapura terletak pada kepelbagaian yang menyatukan rakyatnya dan bukan memecahbelahkan, kata Perdana Menteri Encik Lawrence Wong.

Dalam satu hantaran Facebook beliau pada 21 Julai sempena Hari Keharmonian Kaum 2026, Encik Wong berkata Singapura saling meraikan perayaan, berkongsi tradisi dan membina persahabatan yang berkekalan.

“Semua ini tidak berlaku secara kebetulan.

“Ia hasil usaha warga Singapura selama beberapa generasi yang memilih untuk saling menghormati berbanding berprasangka, serta persefahaman berbanding syak wasangka.

“Dalam dunia di mana perbezaan sering kali merenggangkan hubungan masyarakat, mengekalkan semangat saling mempercayai dan menghormati menjadi lebih penting,” tambah beliau.

Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong, berkata generasi rakyat Singapura telah meneruskan usaha untuk saling memahami dan menghormati, serta bertolak ansur demi kebaikan bersama.

Hal tersebut telah memastikan Singapura sebagai sebuah masyarakat yang bersatu padu dan pelbagai, sedangkan pelosok lain di dunia terus bergelut dengan konflik dan perpecahan, kata beliau dalam satu hantaran Facebook beliau pada 21 Julai.

“Kepelbagaian kita bukan sekadar mencerminkan kaum dan agama kita, tapi juga bahasa dan tradisi yang disalurkan menerusi generasi.

“Perbezaan budaya ini memperkaya identiti yang dikongsi rakyat Singapura,” katanya.

Hari Keharmonian Kaum, yang jatuh pada 21 Julai, diraikan setiap tahun di sekolah di serata Singapura.

Menurut satu kenyataan media oleh Kementerian Pendidikan (MOE) pada hari yang sama, Hari Keharmonian Kaum disambut dengan tujuan menyemai penghargaan pelajar terhadap keharmonian kaum, kemajmukan budaya dan perpaduan sosial.

Meneruskan tema ‘Rakyat Kita, Tenunan Kita’, ia menekankan tentang pelbagai jalur budaya masyarakat berbeza yang mewakili keunikan identiti, tradisi, kepercayaan dan amalan yang saling berhubung kait.

MOE berkata:

“Ini mencerminkan bagaimana jalinan masyarakat berbilang budaya di Singapura dapat terus kekal kukuh dan bersatu melalui pemupukan persefahaman serta sikap saling menghormati antara masyarakat daripada pelbagai kaum dan agama.”

Menurut MOE, Menteri Pendidikan, Encik Desmond Lee, telah menyertai sambutan di Sekolah Rendah St. Anthony’s Canossian pada 21 Julai.

Beliau juga telah menyertai kelas Darjah 6 bagi pelajaran Pendidikan Perwatakan dan Kewarganegaraan (CCE).

Sewaktu kelas tersebut, para pelajar telah berbincang mengenai topik stereotaip kaum dan bagaimana mereka dapat berdepan dengannya bagi menggalakkan pemahaman tentang budaya berbeza.

Dalam satu hantaran di Facebook pada 21 Julai, Encik Lee, yang juga Anggota Parlimen (AP) GRC West Coast-Jurong West, berkata, semasa lawatannya itu, beliau berkongsi tentang stereotaip negatif yang boleh menyebabkan orang ramai melihat dunia dalam gambaran tidak tepat, sedangkan budaya dan kaum membawa kekayaan dan kekuatan dalam masyarakat.

“Cara kita berbicara dan saling berhubung dengan kesantunan serta hormat harus diamalkan secara harian.

“Keharmonian kaum dan agama tidak berlaku secara sendirinya.

“Ia hasil daripada generasi rakyat Singapura yang telah membina kepercayaan, sikap saling menghormati dan memahami merentasi pelbagai masyarakat, serta memilih untuk menjunjung nilai dan aspirasi yang dikongsi sama.

“Dalam dunia yang tidak menentu dan berpecah-belah, kita mesti terus memupuk keakraban dan mengukuhkan ruang yang dikongsi bersama,” katanya.