Keharmonian agama tidak boleh dipandang mudah, sekali gus menuntut rakyat Singapura untuk menjadi penggerak aktif yang mengambil langkah pertama demi memahami kepercayaan satu sama lain, kata Menteri Undang-Undang merangkap Menteri Kedua Ehwal Dalam Negeri, Encik Edwin Tong.

Bercakap semasa berucap di acara ‘Harmony Lunch’, majlis antara agama tahunan yang diadakan di Masjid Abdul Aleem Siddique pada 12 Julai, Encik Tong berkata kepada tetamu yang terdiri daripada penduduk, sukarelawan dan pemimpin agama:

“Kita tidak boleh hanya duduk diam dan menjadi pasif dalam keharmonian. Kita perlu menjadi penggerak aktif keharmonian...Maksudnya kita mesti mengambil langkah pertama. Kita mesti mengambil langkah pertama untuk mendekati antara satu sama lain. Kita harus mengambil langkah pertama untuk memahami kepercayaan masing-masing,” kata Encik Tong.

Turut hadir dalam acara itu ialah Anggota Parlimen (AP) GRC East Coast, Cik Hazlina Abdul Halim, dan AP Changi-Simei, Cik Jessica Tan.

Encik Tong yang juga penasihat Pertubuhan Akar Umbi (GRO) Joo Chiat berkata acara yang memasuki tahun ketujuh itu bukan sekadar jamuan makan bersama, malah menjadi lambang kepercayaan dan perpaduan yang sudah dibina dalam kalangan masyarakat kita daripada pelbagai agama.

“Kita tidak seharusnya menunggu minggu Keharmonian Kaum, Hari Kebangsaan atau mana-mana acara khas untuk mengamalkan nilai-nilai ini. Saya berharap kita dapat meneruskannya setiap hari.

“Kita perlu memahami bahawa kita harus saling menghormati, saling mengambil berat dan menghargai antara satu sama lain, bukan hanya pada majlis-majlis tertentu. Dalam kehidupan seharian, di tempat kita tinggal, bekerja dan beriadah, kita harus melihat melangkaui perbezaan yang wujud antara kita,” tekan beliau.

Sekitar 120 penduduk, sukarelawan dan pemimpin agama daripada pelbagai pertubuhan agama, termasuk gereja ‘Heart of God’, menghadiri jamuan itu yang dianjurkan oleh lembaga pengurusan Masjid Abdul Aleem Siddique dengan kerjasama Kumpulan Harmoni Joo Chiat.

Sementara itu, dalam ucapannya pula, Ketua Program Pengajian Hubungan Antara Agama dalam Masyarakat Majmuk (SRP) di Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS), Universiti Teknologi Nanyang (NTU) Encik Mohamed Nassir Abdul Sukkur berkata literasi agama bukan lagi satu pilihan, sebaliknya satu keperluan.

“Kurangnya kefahaman, bukannya niat jahat, merupakan ancaman terbesar terhadap hubungan antara agama.

“Kita tidak semestinya perlu memahami atau bersetuju dengan teologi agama orang lain. Namun, kita perlu memahami apakah sebenarnya pegangan dan amalan jiran kita, dan bukan bergantung pada tanggapan atau andaian sendiri.

“Sebab itulah acara seperti jamuan makan tengah hari ini membawa makna lebih besar daripada sekadar berkumpul dan menjamu selera. Apabila kita saling berkunjung dan makan bersama, kita sebenarnya sedang membina persefahaman dan mengeratkan hubungan antara masyarakat daripada pelbagai agama,” ujarnya yang diundang untuk berkongsi pandangan dalam pengalamannya menyelidik mengenai hubungan antara agama.

Seorang sukarelawan acara itu, Cik Juriah Yatim, yang turut aktif dalam inisiatif akar umbi ‘Jaga Kesihatan Jaga Ummah’, berkata kepada Berita Harian (BH) bahawa acara seperti ‘Harmony Lunch’ dapat mengukuhkan persahabatan dan persefahaman, khususnya dalam kalangan masyarakat berbilang kaum.

“Kami kerap menjadi sukarelawan di pelbagai masjid di Singapura, dari kawasan timur hingga ke Jurong. Saya dapat melihat sendiri betapa pentingnya usaha membina masyarakat.

“Acara seperti ini, yang menghimpunkan masyarakat daripada pelbagai agama untuk duduk dan makan bersama, amat istimewa kerana ia membantu mengukuhkan semangat kemasyarakatan dalam Singapura yang berbilang kaum,” ujar beliau.