Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

‘Kekurangan di mata orang tetapi sempurna di mata saya’

Pasangan kurang upaya temu cinta, saling lengkapi serta belajar erti ketabahan harungi kehidupan
Jun 8, 2025 | 5:30 AM
Korban, pasangan kurang upaya, harungi cabaran
Encik Herman Abdullah dan Cik Roszana Ali, yang masing-masing kurang sempurna dari segi fizikal, saling membantu dalam melaksanakan kerja rumah. - Foto BM oleh NUR DIYANA TAHA

Kerja rumah sehari-hari seperti mencuci kain baju dan mengemas sudah boleh dianggap melelahkan buat individu yang cukup sifat dan berdaya upaya.

Apatah lagi buat golongan yang berdepan dengan keterbatasan fizikal seperti Cik Roszana Ali, 33 tahun, yang menghidap palsi serebrum sehinggakan menjejas keupayaannya bertutur dan berdiri dengan sendiri.

Contohnya, memasukkan baju ke dalam mesin basuh yang agak tinggi di rumah sudah menjadi cukup sukar buat Cik Roszana, namun beliau tetap berdikari mencari jalan lain dengan mencuci pakaiannya menggunakan tangan.

Kini, tugas ‘berat’ itu diambil alih suaminya, Encik Herman Abdullah, 43 tahun, yang membina mahligai bersama beliau pada Februari 2025.

Menyingkap detik pasangan itu bertemu, Cik Roszana akui bahawa masih sukar untuk terima hakikat bahawa beliau sudah bergelar isteri.

“Saya tak pernah terbayang nak berumah tangga. Saya selalu fikir, boleh ke, mampu ke saya? Tetapi dalam sekelip mata ia terjadi... Alhamdulillah tercapai jua, saya sangat gembira,” ujarnya yang bekerja sebagai penghantar makanan.

Cik Roszana, yang bergerak menggunakan kerusi roda, dan kadangkala merangkak apabila di rumah, berkata suaminya banyak meringankan tugas yang sebelum ini perlu dipikulnya sendiri.

Beliau tinggal seorang diri setelah ibunya meninggal dunia pada awal 2023.

Bapanya pula ulang alik dari Indonesia dengan Singapura setiap beberapa minggu.

“Sebelum suami saya ke kerja pada waktu pagi, jika tidak penat, beliau masak, tolong basuh baju. Saya pula kemas rumah sikit-sikit,” katanya yang sebelum ini kebanyakan masa hanya memesan makanan atau menelan makanan segera.

Rumah tangga, kata Cik Roszana, memang memerlukan pengorbanan dan beliau hargai segala yang dilakukan Encik Herman sedangkan diri suaminya juga kurang upaya.

Setelah terlibat dalam kemalangan jalan raya pada 2010, Encik Herman separuh buta dan “hilang segala-galanya” termasuk kerjayanya sebagai juruadun minuman.

Hidupnya menjadi semakin gelap setelah penyakit barah beliau kembali menyerang.

“Saya pertama kali jatuh cinta apabila terlihat wajahnya di berita televisyen, di mana walaupun kurang upaya, beliau begitu gigih tempuh kehidupannya,” ujar pelayan sambilan itu yang merujuk kepada Cik Roszana.

Seolah-olah disuntik serpihan semangat menerusi paparan kisah gadis itu, Encik Herman kemudian mendekatinya menerusi media sosial untuk berkenalan.

Kini, walaupun perlu mencurahkan lebih banyak tenaga fizikal dalam menguruskan kerja rumah seharian dan membantu menyelesaikan kerja yang tidak mampu dibuat isterinya, Encik Herman berkata bahawa isterinya “pelengkap” kehidupannya dan mengajarnya erti ketabahan.

Pasangan itu tidak sabar untuk meniti fasa seterusnya dalam kehidupan mereka apabila mendapat flat Bina Ikut Tempahan (BTO) sendiri yang dijadual siap pada 2027.

Mereka merancang untuk memastikan rumah mereka diubah suai dalam cara yang mesra orang kurang upaya supaya Cik Roszana tidak perlu terkial-kial dalam melaksanakan kerja rumah harian.

Di mata Encik Herman, isterinya itu seorang wanita sangat “istimewa” yang tidak pernah mengadu tentang apa jua kesukaran atau masalah dalam kehidupan, mahupun meminta-minta.

“Bagi saya, beliau mungkin kurang upaya di mata orang, tapi di hati dan mata saya, beliau sempurna. Kegigihan, kekuatannya... orang lain tidak tahu,” ujarnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg