Sejak kecil Safura Qairiya Mohammad Nizar satu-satunya budak perempuan yang bermain bola sepak di sebuah gelanggang berhampiran rumahnya bersama kanak-kanak lelaki.
Safura, yang sekarang berusia 12 tahun, meminati bola sepak sejak kecil tetapi tidak berpeluang mengikuti latihan tersusun sebelum ini.
Namun, keadaan berubah apabila dia diperkenal kepada Kelab Bola Sepak (FC) Sembawang City oleh seorang rakan bapanya dan dia menyertai akademi kelab itu pada Oktober 2024.
Di akademi kelab bola sepak itu, Safura bertemu lebih 10 pelatih perempuan lain dan dia dapat mengasah kemahiran seperti membuat hantaran dan menggelecek bola.
Sembawang City FC adalah sebuah kelab bola sepak baru di Sembawang, dengan akademinya disertai sekitar 80 pelatih berusia antara lima dengan 16 tahun sejak ia ditubuhkan pada April 2024.
Kelab tersebut bermatlamat membangunkan bakat bola sepak Singapura dan memupuk generasi pemain baru di sini.
Ia dilancarkan oleh Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, yang juga Anggota Parlimen GRC Sembawang, di SPARKS@Bukit Canberra pada 26 Januari.
Berkongsi pengalamannya sejak menyertai akademi bola sepak itu, Safura, seorang pemain pertahanan kiri, berkata:
“Saya nampak ada peningkatan dalam kemahiran saya, terutamanya dari segi kawalan sepakan saya, yang kini lebih tepat.
“Melalui latihan di kelab ini, saya telah mempelajari kemahiran membuat hantaran, menggelecek dan rembatan, yang walaupun belum begitu baik, semakin menunjukkan peningkatan.”
Kakaknya, Safira Qailisya Mohammad Nizar, 13 tahun, dan adiknya, Muhammad Na’imullah Mohammad Nizar, 10 tahun, turut menyertai akademi Sembawang City FC.
Sesi latihan diadakan setiap Ahad dari 9 hingga 11 pagi di padang Sekolah Rendah Sembawang.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg