Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tekad terus pertingkat hidup penduduk di Woodlands

Daripada program muzik bantu ahli muzik terjejas Covid-19, kepada program belanja makan dan stor barang dapur percuma, Anggota Parlimen (AP) Mariam Jaafar mahu penduduk di Woodlands bantu satu sama lain
Jan 25, 2025 | 5:30 AM
Anggota Parlimen GRC Sembawang, Cik Mariam Jaafar beramah mesra dengan penduduk Woodlands di Cantine Corner by Kopitiam di 678A Woodlands Ave 6.
Anggota Parlimen GRC Sembawang, Cik Mariam Jaafar beramah mesra dengan penduduk Woodlands di Cantine Corner by Kopitiam di 678A Woodlands Ave 6. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Apabila program muzik di Woodlands, Suara Utara mula diperkenalkan pada 2021 sewaktu tempoh Covid-19, tujuannya adalah untuk membantu ahli muzik yang hilang pekerjaan.

Persembahan yang mula-mula dilakukan dalam talian itu lama-lama berpindah ke acara fizikal.

Pada 2022, Suara Utara menganjurkan konsert rok ‘live’ Rock Untuk Rakyat yang menampilkan senarai gandingan pemuzik rok tanah air baru dan veteran sehingga mengundang sorakan gemuruh seramai 500 penonton yang menggegarkan Stadium Woodlands.

Pada 2024, Rock Untuk Rakyat diadakan buat kali kedua dengan skala lebih besar, mengundang lebih 700 hadirin.

Namun, ia bukan hiburan semata-mata.

Sebanyak $180,000 berjaya dikumpulkan menerusi konsert tersebut dan diserahkan kepada Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF) bagi meluaskan bantuan kemanusiaan buat penduduk memerlukan di Gaza, Palestin.

Usaha unik tersebut merupakan hasil buah fikiran Anggota Parlimen GRC Sembawang, Cik Mariam Jaafar, 47 tahun, yang juga mesra dengan panggilan nama pentasnya, ‘Kakak MJ’.

“Suara Utara program muzik Melayu dengan bermacam-macam genre - rock, pop, keroncong, mahupun blues.

“Memang tiap-tiap tahun kita buat cara berbeza. Jadi pada 2024, kami terdorong lakukan sesuatu untuk Gaza kerana ramai yang sangat terkesan dengan Gaza, justeru konsert Rock Untuk Rakyat 2 dijadikan wadah untuk mengumpul dana,” katanya.

Selain menggunakan program seperti Suara Utara untuk menambat hati penduduk Melayu yang menetap di daerah utara Singapura, Cik Mariam juga giat bertemu penduduk lain tidak kira bangsa.

Antara inisiatif yang turut dikendalikan Cik Mariam ialah Store @ Woodlands, di 852 Woodlands Street 83 yang mengajak penduduk kurang bernasib baik berbilang bangsa untuk memilih sembilan barang dapur secara percuma setiap bulan.

Terdapat juga inisiatif Belanja-A-Meal (B.A.M.) yang membolehkan pelanggan menaja makanan bagi penduduk lain yang kurang berkemampuan.

Menepis salah tanggapan bahawa Woodlands merupakan daerah ‘ulu’, Cik Mariam percaya kawasan tersebut tidak wajar untuk kekal dilabel begitu.

Sepanjang berkhidmat di Woodlands bagi penggal pertamanya dalam arena politik, Cik Mariam berkata banyak peningkatan telah dilaksanakan.

“Kita ada pusat beli-belah, makanan halal pun banyak. Kita ada masjid, kita ada hospital sendiri yang baru - Woodlands Health Campus.

“Nak pergi Orchard Road dari sini dengan Laluan Thomson East Coast (TEL) sekarang pun setengah jam sudah sampai,” kata beliau dengan bangga sambil tersenyum.

Ketika ditanya wartawan jikalau matlamat awal yang ditetapkan berjaya tercapai, Cik Mariam enggan rasa puas dengan apa yang beliau lakukan sejauh ini.

“Saya rasa ia tidak pernah cukup sebenarnya. Memang banyak yang sudah dilakukan - perubahan di estet, program kebajikan yang banyak. Alhamdulillah, acara kita pun banyak tapi masih banyak yang boleh dilakukan.

“Saya rasa hakikat kerja kemasyarakatan ialah ia tidak pernah cukup,” ujarnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg