Subuh
5:38
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19

Kelab Heal perluas khidmat dengan pusat kelima di Eunos

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Kelab Heal perluas khidmat dengan pusat kelima di Eunos

Jan 06, 2024 | 05:28 PM



Dalam menangani episod kecelaruan skizofrenia yang dialaminya, Cik Alesha Abdul Rahim mendapat ketenangan daripada menghadiri kelas seni kendalian Kelab Heal di bawah program pemulihan kesejahteraan mereka.

Justeru, beliau mengalu-alukan pembukaan pusat terbaru Kelab Heal di Eunos Crescent, yang dirasmikan mantan Presiden, Puan Halimah Yacob, yang juga ketua penaung kelab itu pada 6 Januari. 

Cik Alesha, 25 tahun, mengalami episod skizofrenia pertamanya pada 2016 selepas menduduki peperiksaan Sijil Am Pelajaran (GCE) peringkat ‘N’. 

Penyakit skizofrenia membuat beliau sering mengalami ketidakaturan minda yang menyebabkan delusi serta halusinasi pendengaran. 

“Ketika di sekolah saya sering dibuli dan selepas didiagnosis dengan penyakit ini, saya terpaksa berhenti sekolah.

“Ibu bapa saya juga agak terkejut apabila mendapat tahu tentang keadaan saya ketika itu,” ujar Cik Alesha, sambil menambah bahawa beliau perlu dimasukkan ke Institut Kesihatan Mental (IMH) selama tiga bulan untuk menjalani rawatan.

Setelah berjaya mengawal keadaannya, Cik Alesha terpaksa pula menahan kepahitan apabila mendapat tahu beliau menghidap penyakit diskinesia tardiff dan Sindrom Tourette, kedua-duanya merupakan gangguan pergerakan tubuh badan di luar kawalan, pada 2021. 

Cik Alesha cuba mencekalkan dirinya dengan melibatkan diri secara aktif dalam Kelab Heal, menyertai program pemulihannya selain menghadiri khidmat kaunseling.

“Setiap kali saya menghadiri kelas dan program yang dikendalikan oleh Kelab Heal, ia membantu saya kekal fokus pada perkara yang saya suka lakukan, iaitu seni dan kraf, dan menjauhi pemikiran yang intrusif.

“Saya juga suka bergaul dengan rakan-rakan di sini,” kata Cik Alesha, sambil menambah bahawa ibunya, Cik Rita Ali, menemaninya ke pusat itu dua kali seminggu.

Pembukaan pusat kelima Kelab Heal di Eunos memperluaskan lagi sokongan kesihatan mental kepada penduduk di bahagian timur Singapura.

Pusat tersebut adalah yang pertama di kawasan itu dan dianggarkan dapat membantu sekitar 1,200 penduduk setiap tahun melalui pelbagai perkhidmatan pemulihannya.

Berkeluasan 328 meter persegi, Kelab Heal@Eunos dilengkapi untuk memberi pelbagai perkhidmatan khusus kepada individu yang mengalami keadaan seperti skizofrenia dan warga emas yang mengalami demensia.

Selain di Eunos, Kelab Heal mempunyai pusat di Bukit Batok, Marsiling, Pasir Ris dan Buangkok Crescent. 

Semasa berucap di majlis pelancaran pusat itu, Puan Halimah memuji usaha Kelab Heal menyediakan ruang selamat untuk orang ramai dan menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan.

“Kelab Heal telah berkembang dengan pesat sejak 11 tahun lalu. Ia telah menyokong dan membantu hampir 10,000 klien dan penjaga mereka melalui pelbagai program dan perkhidmatan.

“Dengan adanya cawangan terbaru yang terletak di tengah-tengah Eunos Crescent, saya yakin Kelab Heal akan dapat menjangkau kumpulan penerima yang lebih luas, golongan muda mahupun senja, di kawasan Eunos Crescent, menyediakan akses lebih luas kepada kemudahannya,” kata Puan Halimah, yang turut melancarkan logo baru Kelab Heal. 







Presiden Kelab Heal, Dr Radiah Salim, pula menekankan komitmen badan itu untuk memenuhi keperluan yang semakin meningkat bagi sokongan kesihatan mental di Singapura.

Menurutnya, pusat baru itu akan membolehkan kesinambungan penjagaan daripada hospital dan klinik kepada masyarakat.

“Sebagai sebuah masyarakat, kita mempunyai tanggungjawab kolektif untuk mencabar stigma yang menyelubungi kesihatan mental bagi mewujudkan masyarakat inklusif di mana individu berasa selesa mendapatkan bantuan.

“Dengan pembukaan pusat baru ini, kami mengembangkan kapasiti kami untuk berkhidmat kepada kumpulan penerima yang lebih luas bagi membina semula keyakinan mereka dan membantu mereka berintegrasi semula ke dalam masyarakat, tanpa perlu berasa takut akan diri mereka dipandang rendah,” katanya.

Turut hadir pada majlis pelancaran itu ialah Setiausaha Parlimen Kanan (Kesihatan merangkap Undang-undang), Cik Rahayu Mahzam dan Mayor Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) South East, Encik Mohd Fahmi Aliman. 




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >