Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kelab Masyarakat Cheng San dibuka semula

Sedia kemudahan, program baru galak kesejahteraan mental
Dec 6, 2025 | 5:05 PM
Lee Hsien Loong, Nadia Ahmad Samdin, Cheng San community club, GRC Ang Mo Kio
Menteri Kanan, yang juga penasihat pertubuhan akar umbi (GRO) GRC Ang Mo Kio, Encik Lee Hsien Loong (kiri), yang ditemani penasihat GRO dan Anggota Parlimen GRC Ang Mo Kio, Cik Nadia Ahmad Samdin (dua dari kiri), mengambil bahagian dalam permainan sewaktu majlis pembukaan Kelab Masyarakat Cheng San pada 6 Disember. - Foto ST

Kelab Masyarakat Cheng San di Ang Mo Kio membuka semula pintunya kepada penduduk pada 6 Disember setelah penutupan dua tahun bagi kerja naik taraf.

Bangunan itu yang diperluas dari tiga hingga empat tingkat, dilengkapi dengan kemudahan serta program masyarakat baru yang bertujuan menggalak kesejahteraan mental selain penglibatan aktif dalam masyarakat.

Ini sekali gus bermakna inisiatif penjagaan masyarakat dan sokongan kesihatan mental dapat disediakan buat golongan warga emas, belia, keluarga dan warga dewasa.

Antara kemudahan baru ialah ruang masyarakat yang dinamakan Cheng San Kopitiam di mana warga emas dapat menikmati sarapan sambil menikmati pelbagai kegiatan yang bertujuan membantu mengurangkan kesepian dan memupuk hubungan bermakna.

Misalnya, mereka dapat berinteraksi dengan duta penuaan aktif, mendengar ceramah mengenai perancangan penjagaan lanjut dan kesejahteraan emosi.

Menghadiri majlis perasmian kelab masyarakat tersebut ialah Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong, dan Anggota Parlimen (AP) Cik Nadia Ahmad Samdin, yang kededuanya merupakan penasihat pertubuhan akar umbi (GRO) GRC Ang Mo Kio.

Seramai kira-kira 1,000 penduduk turut turun padang bagi meninjau kemudahan baru kelab masyarakat itu.

Ditemui wartawan, Cik Nadia berkata banyak cabaran kesihatan mental timbul dalam kalangan masyarakat terutamanya sewaktu Covid-19.

“Kami tahu ia sesuatu yang kami ingin tangani dengan segera supaya penduduk tahu mereka mempunyai akses kepada sumber, mereka dihargai dan bantuan tidak terlalu jauh.

“Kami tahu rangkaian dan keterhubungan sosial kukuh merupakan faktor kuat yang mencegah daripada cabaran kesihatan mental dan untuk memperkukuh kesejahteraan mental. Dan pusat masyarakat merupakan hab semula jadi,” ujarnya.

Para penduduk juga boleh menikmati bengkel pengenalan bagi kursus dan kumpulan minat yang bakal diperkenalkan, seperti Meditasi Sound Bath, pada harga berpatutan.

Ini dicapai atas kerjasama bersama perniagaan tempatan untuk membawa kegiatan penjagaan diri, rekreasi dan ketenangan ke kawasan kejiranan.

Program yang memberi tumpuan terhadap kesejahteraan itu menyediakan penduduk dengan kaedah untuk menangani tekanan dan mengutamakan kesihatan mental mereka.

Dari sudut keterangkuman digital pula, sebuah hab masyarakat digital telah dilancarkan di Cheng San atas kerjasama Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA), bagi memastikan semua penduduk daripada pelbagai lapisan umur tidak rasa terasing secara sosial.

Hab tersebut juga akan menempatkan ruang pembelajaran kolaboratif pertama di Ang Mo Kio bagi meningkatkan kemahiran kecelikan digital semua penduduk, termasuk dalam kecerdasan buatan (AI) Generatif.

Antara yang hadir bagi majlis perasmian Kelab Masyarakat Cheng San ialah ibu dua anak, Cik Jama Hameed, 68 tahun.

Jurugambar sambilan yang juga merupakan relawan rangkaian penduduk (RN) itu mengalu-alu usaha menyediakan ruang terbuka kerana ia dapat menjadi tempat bagi warga emas berkumpul dan melakukan kegiatan bersama.

“Ramai warga emas tinggal sendiri, jadi ia lebih baik untuk mereka keluar dari rumah kerana sekurang-kurangnya mereka dapat terima bantuan yang diperlukan.

“Lagipun, ia memberi mereka peluang untuk berinteraksi dengan rakan-rakan lain, dan itu adalah penting,” katanya.

Kemudahan baru atau diubah suai di Kelab Masyarakat Cheng San

Tingkat 1:
- Dewan serbaguna
- Plaza terbuka berbumbung
- Bilik muzik

Tingkat 2:
- Bilik persidangan
- Bilik serbaguna
- Bilik karaoke

Tingkat 3
- Tiga bilik serbaguna
- 1 bilik majlis
- Teater kecil

Tingkat 4
- Studio seni kulinari
- Ruang masyarakat terbuka
- 1 bilik majlis
- Taman atas bumbung

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg