Politik
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Nadia beri tumpuan kepada isu penuaan aktif

Apr 19, 2025 | 7:25 PM
Cik Nadia Ahmad Samdin ingin membina rangkaian sukarelawan yang mampu membantu dan mendengar keperluan penduduk.
Cik Nadia Ahmad Samdin ingin membina rangkaian sukarelawan yang mampu membantu dan mendengar keperluan penduduk. - Foto INSTAGRAM/ NADIA AHMAD SAMDIN

Penuaan aktif dalam kalangan warga emas, menjamin bekalan makanan yang mampan, dan keperluan asas keluarga adalah antara tumpuan utama Cik Nadia Ahmad Samdin sepanjang menjadi Anggota Parlimen (AP) sejak dilantik sesudah Pilihan Raya Umum 2020 (GE2020).

Cik Nadia, yang dihubungi Berita Minggu (BM) pada 19 April, menjelaskan fokusnya bagi GE2025 dalam isu ini akan lebih diperkasa sebab ia merupakan tonggak utama yang telah membentuk pelaksanaan strategi pasukan Parti Tindakan Rakyat (PAP) di GRC Ang Mo Kio.

Pasukan itu diketuai Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong, yang banyak memberi Cik Nadia dorongan untuk menggalas amanahnya sebagai AP.

“Saya bersyukur diberi peluang untuk berkhidmat kepada penduduk Cheng San–Seletar dan rakyat Singapura sejak menggalas amanah sebagai AP pada 2020.

“Sepanjang tempoh itu, kami berusaha keras membina hubungan dan meraih kepercayaan penduduk. Jika diberi mandat semula, saya akan terus menunaikan amanah ini sebaik mungkin,” kata beliau.

Cik Nadia, merupakan antara calon yang bakal bertanding di GRC Ang Mo Kio bagi GE2025.

Pasukannya juga terdiri daripada Encik Darryl David dan dua muka baru, Cik Jasmin Lau dan Encik Victor Lye.

Cik Nadia, yang mulakan kerjaya politiknya ketika Singapura berdepan dengan cabaran pandemik Covid-19 juga berkata keutamaannya ketika itu adalah kesejahteraan dan kesihatan mental penduduk, terutama kerana 40 peratus daripada mereka di kejiranannya berusia lebih 60 tahun.

“Kami faham akan kesan keterasingan sosial, maka kami usahakan sudut-sudut menenangkan di ruang kejiranan, serta memperbaharui ruang komuniti seperti pasar dan sudut kecergasan bagi menggalak interaksi antara penduduk.

“Projek akan datang seperti Program Peningkatan Warga Senja (SUP) juga akan menyediakan tempat rehat dan lintasan selamat bagi warga emas,” tambahnya.

Dalam menangani bekalan makanan yang mampan dan kos sara hidup yang semakin meningkat, program seperti pengagihan makanan dan barangan runcit secara berkala, serta pek sarapan ‘Bright Start’ turut diperkenalkan.

“Kami mahu memastikan semua orang, termasuk kanak-kanak, memulakan hari mereka dengan baik,” jelas Cik Nadia.

Selain itu, inisiatif seperti My Explorer Programme telah membolehkan kanak-kanak meneroka potensi diri, manakala belia yang sedang mengimbangi masa antara pelajaran dengan pekerjaan turut dibantu menerusi biasiswa masyarakat.

“Kami percaya dalam memberi peluang yang adil kepada semua anak-anak agar mereka berjaya, dan ini sekali gus membantu membina keluarga yang padu,” ujar beliau.

Selain itu, Cik Nadia juga menekankan kepentingan hubungan rapat sukarelawan di peringkat akar umbi dengan penduduk.

“Sebanyak mungkin, kami tidak hanya bergantung kepada saluran digital seperti media sosial atau e-mel, tetapi hadir secara fizikal setiap minggu untuk mendengar dan membantu,” katanya.

Ini sejajar dengan aspirasi untuk menjadikan kawasan Ang Mo Kio sebuah bandar yang saling berhubung dan prihatin terhadap satu sama lain.

“Kami tidak akan berhenti di sini. Saya dan pasukan akan terus berusaha agar segala keperluan penduduk disokong dengan program yang bersasar dan mampan di kawasan Ang Mo Kio,” tegas beliau.

GRC Ang Mo Kio merupakan kubu kuat Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang diketuai Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong.

Ia kekal sebagai kawasan perwakilan kumpulan terbesar dengan 161,494 pengundi untuk GE2025.

Mereka telah meraih 71.91 peratus undi ketika menentang Parti Pembaharuan (RP) pada GE2020.

Pertarungan tiga penjuru dijangka berlaku di Ang Mo Kio GRC antara PAP, Parti Bersatu Singapura (SUP) dan Parti Kuasa Rakyat (PPP) pada pilihan raya 3 Mei, kecuali salah satu parti pembangkang memilih untuk menarik diri.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg