Topik diikuti
Pergi ke BHkuKelab Masyarakat Fuchun dibuka semula
Kelab Masyarakat Fuchun dibuka semula
PM Wong sertai sekitar 600 penduduk bagi sambutan Hari Kebangsaan; gesa perkukuh semangat gotong-royong
Kelab Masyarakat Fuchun dibuka semula
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, menyertai sekitar 600 penduduk Woodgrove bagi sambutan Hari Kebangsaan Woodgrove dan majlis pembukaan semula Kelab Masyarakat (CC) Fuchun pada 1 Ogos.
Dalam ucapannya sebelum merasmikan pembukaan semula CC itu, Encik Wong, yang juga Menteri Kewangan, menggesa masyarakat terus memperkukuh semangat gotong-royong menerusi hubungan yang lebih erat sesama jiran, serta penglibatan aktif dalam kegiatan kemasyarakatan.
“Usaha membina sebuah Singapura yang lebih baik bukan tanggungjawab pemerintah semata-mata. Kita semua perlu memainkan peranan dan bekerjasama.
“Masyarakat yang kukuh terbina adalah masyarakat yang mempunyai jiran saling membantu, penduduk memikul tanggungjawab terhadap kawasan kejiranan mereka dan tampil menjadi sukarelawan, serta pemimpin akar umbi yang memainkan peranan mereka untuk masyarakat.
“Semangat gotong-royong inilah yang akan membantu kita membina masyarakat dan Singapura yang lebih baik,” kata Encik Wong, yang juga penasihat Pertubuhan Akar Umbi (GRO) GRC Marsiling-Yew Tee.
Beliau turut disertai penasihat GRO GRC Marsiling-Yew Tee lain, iaitu Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Zaqy Mohamad; Mayor CDC North West, Encik Alex Yam; dan Cik Hany Soh.
Encik Wong turut menggesa penduduk memanfaatkan sepenuhnya kemudahan baharu di CC Fuchun dengan menyertai pelbagai kegiatan, membina persahabatan dan terus memperkukuh semangat kemasyarakatan.
“Kelab masyarakat yang baharu dibuka semula ini hanya akan benar-benar memberi manfaat apabila penduduk sendiri mengambil bahagian dan menghidupkannya,” ujarnya.
Terletak di 1 Woodlands Street 31, CC Fuchun kini lebih 30 peratus besar berbanding dahulu selepas menjalani kerja naik taraf sejak Disember 2022.
Ia menawarkan pelbagai ruang baharu, termasuk kawasan permainan luar, plaza masyarakat, teater kecil, studio kulinari, studio tarian dan bilik pelbagai guna, bagi menyokong program serta memperluas peluang penduduk untuk saling berhubung, belajar dan berinteraksi.
Selain itu, rangkaian rakan masyarakat yang bekerjasama dengan CC Fuchun turut berkembang daripada sekitar 20 kepada 65 pertubuhan sepanjang tempoh naik taraf, membolehkan penduduk mengakses lebih banyak program dan perkhidmatan di bawah satu bumbung, termasuk inisiatif kesihatan, pendidikan, teknologi, kesedaran undang-undang dan kesukarelawanan.
Di samping itu, Cik Soh berkata pembaharuan CC Fuchun dilaksanakan berdasarkan maklum balas yang diterima daripada penduduk Woodgrove sejak beliau mula berkhidmat di kawasan itu pada 2020.
Beliau berkata pembukaan semula CC Fuchun bukan sekadar menandakan siapnya sebuah projek naik taraf, malah merupakan sebahagian daripada usaha memperbaharui seluruh kawasan kejiranan Woodgrove-Fuchun.
Usaha itu melengkapkan beberapa projek lain yang telah dilaksanakan di kawasan tersebut, termasuk projek Pembentukan Semula Estet Kejiranan Kita, atau ‘Remaking Our Heartland’ (ROH), pengenalan khidmat bas 967 pada 2025, serta pembukaan bangunan tambahan Poliklinik Woodlands pada 2026, bagi meningkatkan akses kepada perkhidmatan kesihatan.
Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC) CC Woodgrove-Fuchun, Encik Ahmad Al-Mahir Abu Bakar, 54 tahun, berkata kemudahan baharu di CC Fuchun membolehkan lebih banyak program dianjurkan untuk keluarga, belia dan warga emas.
“Kami kini mempunyai ruang untuk menganjurkan persembahan, pertandingan kanak-kanak serta pelbagai program yang sebelum ini sukar dilaksanakan.
“Kami juga berharap dapat memperkenal bahasa dan budaya Melayu kepada masyarakat daripada pelbagai kaum melalui program yang lebih menarik dan inklusif,” luahnya.
Bagi sukarelawan lama, Cik Sukatni Handayani, 60 tahun, studio kulinari merupakan kemudahan yang paling dinantikannya.
Beliau berkata kelas memasak bukan sahaja memberi peluang kepada warga emas mempelajari kemahiran baharu, malah menggalakkan mereka keluar dari rumah, membina persahabatan dan mengelakkan diri daripada berasa terasing.
“Saya harap lebih ramai penduduk akan memanfaatkan kemudahan baharu ini kerana ia bukan sekadar tempat mengadakan kegiatan, tetapi ruang untuk masyarakat belajar, berkawan dan saling menyokong,” jelasnya.