Topik diikuti
Pergi ke BHkuKelas agama Masjid Alkaff Kampung Melayu ditutup sementara
Kelas agama Masjid Alkaff Kampung Melayu ditutup sementara
Kelas agama dan kuliah secara fizikal di Masjid Alkaff Kampung Melayu ditutup sementara sejak 21 September, bagi memberi laluan kepada kerja naik taraf masjid itu yang kini dalam fasa kedua.
Ketua Jabatan Dakwah masjid itu, Ustaz Sheikh Umar Abdul Aziz, berkata penutupan tersebut perlu dilakukan kerana dewan solat utama dan beberapa kawasan lain turut ditutup.
“Ruang yang masih boleh digunakan terhad dan perlu dikongsi bagi pelbagai keperluan ibadah harian. Oleh itu, agak sukar meneruskan kelas dan kuliah seperti biasa,” ujar Ustaz Umar.
Keutamaan masjid sekarang ialah memastikan keselamatan dan keselesaan jemaah bagi solat lima waktu berjemaah di bangunan masjid dan solat Jumaat di ruang solat sementara.
Penutupan itu melibatkan kelas agama dan kuliah berkala secara bersemuka, termasuk kuliah mingguan serta sesi pengajian agama Muslimah yang memerlukan ruang khusus.
Bagaimanapun, usaha menyampaikan ilmu agama kepada masyarakat tetap menjadi keutamaan dan masjid itu sedang meneliti pendekatan alternatif.
Ia termasuk perkongsian ilmu melalui media sosial, bagi memastikan jemaah dapat mengikuti pengisian agama sepanjang tempoh penangguhan, kata Ustaz Umar.
“Kami melihat teknologi digital sebagai salah satu saluran yang boleh dimanfaatkan, antaranya bagi perkongsian ilmu dan kandungan agama ringkas yang mudah diikuti masyarakat,” tambahnya.
Namun, pengajian dalam talian secara konsisten belum dapat dijalankan buat masa ini kerana masjid itu perlu mengambil kira keadaan operasi dan keupayaan menyediakannya dengan baik.
Dalam pada itu, kerja naik taraf membuka peluang bagi masyarakat menyokong usaha menyediakan kemudahan lebih baik bagi jemaah pada masa hadapan.
Ustaz Umar menggalak orang ramai menghulurkan sumbangan bagi usaha naik taraf masjid itu, sekali gus menyumbang kepada pembangunan dan kesejahteraan masyarakat Islam.
Sumbangan orang ramai bukan sahaja membantu menyediakan persekitaran masjid yang lebih selesa dan selamat saja, malah mencerminkan semangat kebersamaan masyarakat dalam memelihara institusi masjid sebagai pusat ibadah dan penyebaran ilmu.
Mengenai penyambungan kelas secara fizikal, beliau berkata masjid itu belum dapat menetapkan tarikh tepat kerana ia bergantung pada perkembangan kerja naik taraf, tahap keselamatan dan ketersediaan ruang.
Jika keadaan membolehkan, pengajian mungkin dapat disambung secara berperingkat tanpa perlu menunggu keseluruhan projek itu selesai.
“Kami amat menghargai kesabaran dan kefahaman jemaah sepanjang tempoh kerja naik taraf ini.
“Walaupun ruang kita terbatas sekarang, semangat mengimarahkan masjid dan menuntut ilmu tidak harus terhenti,” tambahnya.
Jemaah digalak mengikuti saluran rasmi media sosial masjid itu untuk mendapatkan perkembangan terkini mengenai kelas dan kuliah agama
CARA DERMA KEPADA DANA PENINGKATAN MASJID ALKAFF KAMPUNG MELAYU:
– Untuk keterangan lanjut, hubungi Masjid Alkaff Kampung Melayu di talian 6242-7244 atau kunjungi masjid itut di 200 Bedok Reservoir Road, Singapura 479221.
– Pemindahan bank: OCBC 581-608668-001. Nyatakan ‘Dana Peningkatan’ sebagai rujukan dan e-mel bukti transaksi ke finance@alkaffkm.mosque.sg.
– PayNow: UEN S94MQ0017D. Nyatakan ‘Dana Peningkatan’ sebagai rujukan.
– Kunjungi pejabat masjid antara Isnin dengan Khamis antara 9 pagi dengan 5.30 petang, atau pada Jumaat antara 9 pagi dengan 5 petang.
– Ikuti Masjid Alkaff Kampung Melayu di TikTok (@alkaffkm), Facebook (Masjid Alkaff Kampung Melayu) dan Instagram (@alkaffkgmelayumosque).