Mulai Julai ini, pembantu rumah di sini akan dapat meningkatkan kemahiran berkomunikasi di kelas-kelas dialek Cina – Hokkien dan Kantonis – yang dianjurkan oleh Pusat bagi Pekerja Domestik (CDE) Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) dan dua institusi lain.
Kursus-kursus itu akan mempunyai 200 slot bagi pembantu rumah untuk mengambil Hokkien di kelas kendalian Akademi Budaya Hokkien Huay Kuan Singapura (SHHK) dan Kantonis di kelas kendalian Salvation Army, lapor akhbar The Straits Times (ST).
Pada 22 Jun, CDE menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) dengan setiap institusi tersebut, dengan tujuan bekerjasama bagi memperkukuh kemahiran bahasa dan komunikasi pembantu rumah.
MOU tersebut diadakan di sambutan Hari Pekerja tahunan bagi pekerja domestik anjuran NTUC dan CDE.
Setiausaha Parlimen Kanan (Kewangan merangkap Pendidikan), Encik Shawn Huang, hadir selaku tetamu terhormat.
Semasa berucap di Pusat NTUC yang terletak di One Marina Boulevard, Encik Huang berkata kursus bahasa tersebut akan melengkapi kursus penjagaan warga emas anjuran CDE dengan membolehkan para pekerja memahami dan memberi respons dengan lebih baik terhadap keperluan individu warga emas jagaan mereka.
Pengenalan rasmi kursus bahasa berkenaan menyusuli pelaksanaan perintis terdahulu yang dijalankan oleh CDE, di mana 25 peserta menyertai dua sesi kelas Kantonis manakala 11 lagi menghadiri satu sesi kelas Hokkien.
Menurut CDE, maklum balas yang diterima daripada kelas-kelas tersebut adalah menggalakkan, dengan pembantu rumah berasa lebih yakin dan lebih rapat apabila menjaga majikan warga emas mereka.
Cik Enik Suparmi, yang telah menghadiri kelas perintis Kantonis, berusia dalam lingkungan 40-an dan telah bekerja di Singapura selama lebih 20 tahun.
Beliau berkata kelas tersebut membantu mengukuhkan pemahaman asasnya terhadap dialek Kantonis.
Pemahaman itu telah dipelajarinya semasa menjaga seorang wanita warga emas yang kebanyakannya bertutur dalam dialek tersebut dan bahasa Mandarin.
Cik Enik, seorang warga Indonesia, berkata beliau kini lebih yakin dengan perkataan asas dalam dialek Kantonis seperti yang merujuk kepada “tidur” dan “makan bubur”.
Beliau juga lebih mampu memberi respons terhadap permintaan yang disampaikan dalam dialek tersebut.
Berucap kepada sekitar 1,200 hadirin, termasuk pembantu rumah, majikan dan pemimpin kesatuan semasa sambutan Hari Pekerja, Encik Huang merakamkan penghargaan kepada para majikan yang telah menyokong pembantu mereka untuk menjalani latihan.
“Kemahiran seperti penjagaan bukan sahaja memberi manfaat kepada isi rumah, malah kepada masyarakat secara keseluruhan.
“Khususnya, mempertingkat kemahiran bahasa pekerja amat penting untuk membina komunikasi, persefahaman dan empati yang lebih baik antara pekerja domestik migran dan anggota isi rumah,” ujar beliau.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg