Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

NTUC rintis program latihan penjagaan warga emas bagi pekerja domestik migran

Jun 2, 2024 | 7:24 PM
(Duduk, dari kiri) Pengarah Segmen Pekerja Migran NTUC, Encik Michael Lim; Presiden HSEU, Cik K Thanaletchimi; Ketua Pegawai Eksekutif NTUC LearningHub (NTUC LHUB), Encik Jeremy Ong dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif e2i NTUC, Encik Gary Goh, telah menandatangani satu Memorandum Persefahaman (MOU) yang akan menyediakan pekerja domestik migran dengan program latihan penjagaan warga emas baru.
(Duduk, dari kiri) Pengarah Segmen Pekerja Migran NTUC, Encik Michael Lim; Presiden HSEU, Cik K Thanaletchimi; Ketua Pegawai Eksekutif NTUC LearningHub (NTUC LHUB), Encik Jeremy Ong dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif e2i NTUC, Encik Gary Goh, telah menandatangani satu Memorandum Persefahaman (MOU) yang akan menyediakan pekerja domestik migran dengan program latihan penjagaan warga emas baru. - Foto NTUC

Pembantu rumah migran di Singapura kini boleh memanfaatkan program latihan penjagaan warga emas baru yang dapat meningkatkan sokongan untuk mereka menjalankan tanggungjawab penjagaan mereka dengan lebih baik lagi. 

Ini menyusuli pemeteraian satu Memorandum Persefahaman (MOU) yang ditandatangani pada 2 Jun antara Pusat bagi Pekerja Domestik (CDE) dengan Akademi Penjagaan Kesihatan NTUC untuk merintis program latihan yang disesuaikan.

Program latihan ini diusahakan menyusuli kejayaan inisiatif latihan perintis penjagaan warga emas yang diperkenalkan pada 2023.

Akademi Penjagaan Kesihatan NTUC merupakan kerjasama antara Kesatuan Sekerja Perkhidmatan Penjagaan Kesihatan (HSEU), NTUC LearningHub (NTUC LHUB) serta Institut Pekerjaan dan Daya Kerja (e2i) NTUC.

MOU itu ditandatangani sebagai sebahagian acara Sambutan Hari Pekerja Domestik 2024, anjuran Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) di Pusat NTUC.

Ia dihadiri sekitar 1,000 pekerja domestik migran, majikan, pemimpin kesatuan dan tetamu lain.

Turut ditampilkan ialah pertandingan merakam foto bertemakan ‘Harmony Through Our Lens’ yang mengundang pekerja domestik migran ini merakam detik-detik keharmonian dan saling menghormati di tempat kerja mereka. 

Kementerian Tenaga Manusia (MOM) melaporkan bahawa hampir satu perempat daripada tenaga kerja Singapura terdiri daripada pekerja berusia 55 tahun ke atas, menekankan keperluan untuk penjaga dilengkapi kemahiran khusus untuk menyokong warga emas.

Seiring dengan peningkatan usia penduduk Singapura, permintaan untuk pembantu rumah yang mempunyai kemahiran penjagaan yang cekap juga telah meningkat, sekali gus menekankan peranan penting mereka dalam membantu menjaga warga emas di sini. 

Dalam pada itu, satu tinjauan yang dilakukan terhadap pekerja domestik dan majikan yang dijalankan oleh CDE juga mendapati terdapat permintaan bagi latihan penjagaan warga emas. 

Oleh itu, program latihan perintis penjagaan warga emas itu akan melengkapkan pekerja domestik migran ini dengan pengetahuan yang diperlukan untuk menyokong warga emas secara berkesan, kata Presiden NTUC, yang juga Presiden HSEU, Cik K Thanaletchimi.

“Kami amat berbesar hati untuk bekerjasama dengan CDE yang mempunyai jangkauan kepada pekerja domestik migran dan Akademi Penjagaan Kesihatan yang mengatur kursus tersuai yang berkaitan untuk pekerja domestik migran.

“Kami ingin menjayakan program latihan perintis ini supaya ia dapat diperluaskan kepada semua pekerja domestik migran dan memberi manfaat kepada semua isi rumah yang mempunyai warga emas,” katanya.

Dibentangkan dalam format modul yang ringkas, program perintis itu dapat dilengkapkan dalam tempoh dua hari. Ia akan meliputi topik seperti interaksi dengan warga emas, menguruskan kecemasan, mencegah sebarang kejadian terjatuh serta melibatkan diri dalam kegiatan dan senaman.

Program perintis, yang akan dijalankan dalam bahasa ibunda pekerja yang menyertainya, juga akan merangkumi aspek penjagaan diri tentang cara membantu pekerja domestik migran mengekalkan kesejahteraan fizikal dan emosi mereka.

Sewaktu Sambutan Pekerja Domestik NTUC, Timbalan Setiausaha Agung NTUC, Cik Cham Hui Fong, turut merakam penghargaannya kepada pekerja domestik migran atas usaha gigih mereka memberi sokongan yang tidak terkira kepada majikan mereka, termasuk keluarga yang mempunyai warga emas. 

“NTUC akan terus menjaga pekerja domestik migran kita dan akan melakukan lebih banyak lagi untuk memupuk hubungan pekerjaan yang harmoni antara mereka dan majikan mereka.

“Bersama CDE, kami mengambil tindakan untuk bekerjasama dengan rakan kongsi bagi menyediakan latihan dan pengetahuan tambahan yang berkaitan kepada lebih ramai pekerja domestik migran,” tambahnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg