Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kelas seni bela diri di NUS perboleh penghayatan lebih mendalam

Jan 31, 2025 | 5:30 AM
Dr Mohamed Effendy, pensyarah kanan pengajian Asia Tenggara di NUS yang juga seorang pakar seni bela diri kendo bertekad mengajar tentang kepentingan seni bela diri di Asia Tenggara.
Dr Mohamed Effendy, pensyarah kanan pengajian Asia Tenggara di NUS yang juga seorang pakar seni bela diri kendo bertekad mengajar tentang kepentingan seni bela diri di Asia Tenggara. - Foto BH oleh NYIMAS ANDREANA

Ada yang mengenalinya sebagai pensyarah yang pandai menumbuk dan menendang, malah ada yang terhibur oleh perwatakannya yang lucu dan menarik.

Setiap tahun sejak 2015, kursus Martial Arts in Southeast Asia (Seni Bela Diri di Asia Tenggara) di Universiti Nasional Singapura (NUS) yang diajar oleh pensyarah kanan Dr Mohamed Effendy, 47 tahun, begitu popular dalam kalangan mahasiswa.

Sepanjang 13 minggu, Dr Effendy melibatkan pelajarnya dalam pelbagai sesi seni pertahanan diri Asia Tenggara, seperti silat, kung fu, kendo dan muay thai. 

Minat Dr Effendy dalam seni bela diri tercetus apabila belia menceburi kendo – seni bela diri berasal dari Jepun – semasa beliau menuntut di NUS dan menyertai Kelab Kendo pada 2000.

“Melalui kendo, saya belajar banyak tentang diri saya sendiri dan peri penting sikap hormat-menghormati dan kerja keras,” katanya.

Beliau menambah bahawa kepentingan seni bela diri adalah satu aspek budaya yang dipraktikan oleh penduduk Singapura hingga hari ini, termasuk berbakti kepada masyarakat, menjaga kehormatan diri dan menjalin persahabatan.

“Ini menyebabkan saya berfikir lebih mendalam tentang budaya Asia Tenggara dari segi seni bela diri, yang memberikan saya inspirasi untuk memulakan kursus ini,” ujar Dr Effendy.

Kelasnya dikendalikan secara seminar, yang menggalak perbincangan antara pelajar, diikuti dengan kelas tutorial melibatkan kumpulan pelajar lebih kecil.

Dr Effendy menjelaskan bahawa kelas itu dibentuk supaya ia lebih daripada pengajian dalam kuliah sahaja dan turut memuatkan elemen amali agar lebih bermanfaat bagi pelajar.

Pada hujung semester, pelajar diberi kebebasan memilih projek sendiri melalui pelbagai cara dan wadah. 

“Cara ini membuat suasana di dalam kelas lebih meriah,” kata Dr Effendy. “Pelajar dapat berseronok tanpa rasa keliru.”

Bagi Dr Effendy, pelajar zaman sekarang semakin mahir menggunakan teknologi dan suka mempersembahkan kajian secara visual. 

Oleh itu, beliau mengarahkan pelajar supaya menggunakan wadah teknologi dan media sosial seperti TikTok untuk menghasilkan projek mereka. 

Walaupun kebanyakan pelajar menjalankan kajian di Singapura, ada juga pelajar yang mengembara ke negara jiran seperti Malaysia, Indonesia dan Thailand untuk berbuat demikian.

Malah, ada yang pernah menghasilkan dokumentari di Stadium Muay Thai Lumpinee di Thailand.

Muhamad Mamfizam bin Ismail, 25 tahun, merupakan seorang pelajar Dr Effendy yang mempunyai minat terhadap ‘MMA’, dan telah menyertai kursus ini pada 2023.
Muhamad Mamfizam bin Ismail, 25 tahun, merupakan seorang pelajar Dr Effendy yang mempunyai minat terhadap ‘MMA’, dan telah menyertai kursus ini pada 2023. - Foto BH oleh NYIMAS ANDREANA
Dr Effendy mengajar Mamfizam tentang kendo.
Dr Effendy mengajar Mamfizam tentang kendo. - Foto BH oleh NYIMAS ANDREANA

Kebanyakan pelajar yang mengikuti kursus itu adalah pelajar asing, tetapi ia juga menarik pelajar tempatan, kata Dr Effendy. Ramai daripada mereka tiada pengalaman dalam seni bela diri.

Antara mahasiswa ang mengikuti kelas itu ialah Encik Muhamad Mamfizam Ismail, 25 tahun.

Mahasiswa jurusan sejarah dan pengajian Asia Tenggara itu berkata: “Saya tergerak hati untuk menyertai kursus ini kerana tertarik pada cara pengajaran Dr Effendy yang amat mengagumkan.

“Saya juga asyik menonton dan mengikuti seni bela diri campuran (MMA), dan ingin tahu lebih lanjut bagaimana saya boleh berhujah mengenai MMA dari sudut pandangan akademik.” 

Encik Mamfizam, yang menyertai kelas itu pada 2023, berkata pengajaran yang diperoleh menerusi kelas amali memberi beliau penghayatan lebih mendalam mengenai sesuatu seni bela diri.

“Satu pertunjukan oleh seorang pesilat yang menunjukkan cara menumbuk membuat saya benar-benar memikirkan mengenai kekuatan seni silat yang sebenar,” ujar beliau

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg