Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kelonggaran niaga dari rumah bawa kelegaan

May 2, 2020 | 9:21 PM
TERUS SEDIAKAN MAKANAN: Cik Shakirah Mohamed Yusuf menyediakan hidangan 'shepherd's pie' yang diagihkan kepada keluarga yang terjejas oleh Covid-19. Pada masa yang sama, beliau tetap terus menyiapkan 'Cake Bars', variasi kek tapak kuda yang ditempah pelanggan bagi Hari Raya.
TERUS SEDIAKAN MAKANAN: Cik Shakirah Mohamed Yusuf menyediakan hidangan 'shepherd's pie' yang diagihkan kepada keluarga yang terjejas oleh Covid-19. Pada masa yang sama, beliau tetap terus menyiapkan 'Cake Bars', variasi kek tapak kuda yang ditempah pelanggan bagi Hari Raya. - - Foto ihsan: SHAKIRAH MOHAMED YUSUF

SEDANG ramai peniaga dari rumah risau apabila diumumkan baru-baru ini bahawa mereka yang tidak memenuhi syarat yang ditetapkan Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) harus menghentikan operasi semasa tempoh pemutus litar, Cik Shakirah Mohamed Yusuf tetap bertenang.

Beliau, yang mempunyai perniagaan di rumah Kirah's Cake Bars (@shakirahfiraz) telah menerima tempahan lebih 1,000 cake bars, sejenis variasi kek tapak kuda, sejak Januari lalu bagi Hari Raya.

Kebanyakan tempahan yang diterimanya itu pun sudah dibayar penuh oleh pelanggan.

Namun, beliau sedikit pun tidak panik dan meneruskan membuat kek yang telah ditempah, meski terpaksa 'menahannya' lama sedikit dek langkah keselamatan semasa pemutus litar itu.

Mujur beliau mempunyai chiller dan peti ais cukup besar untuk kek-keknya itu.

"Ini menjejas ramai orang dan saya yakin pemerintah memberi perhatian kepada kami dan akan melakukan sesuatu serta mengambil langkah yang tepat, jadi tak perlu kecoh," katanya ketika dihubungi Berita Harian.

Pun begitu, Cik Shakirah, 38 tahun, gembira dengan pengumuman yang dilakukan semalam oleh Menteri Pembangunan Negara Lawrence Wong, yang membolehkan perniagaan dari rumah meneruskan operasi bermula 12 Mei nanti.

Ini kerana pelanggannya kini dapat menikmati kek yang ditempah mereka lebih awal dan menjelang Hari Raya.

Pada masa yang sama, beliau turut menyiapkan hidangan yang diberikan secara percuma kepada beberapa keluarga yang terjejas oleh Covid-19 - seperti mereka yang kehilangan pekerjaan, sepanjang Ramadan.

Seorang lagi peniaga dari rumah yang menjual nasi mandey di bawah jenama Nasi Mandi Aliwal turut menyambut baik langkah membolehkan peniaga sepertinya meneruskan perniagaan.

Hanya ingin dikenali sebagai Encik Muhammad, peniaga yang telah beroperasi sekitar dua tahun itu berkata:

"Alhamdulillah, saya sangat bersyukur dan ghairah tentang berita ini.

"Ini kerana ia bermakna saya dapat menambah pendapatan saya dan juga menunaikan permintaan tempahan yang terpaksa saya tolak sebelumnya."

Dalam pengumumannya semalam, Encik Wong juga berkata perniagaan lain seperti kedai gunting rambut akan dibenarkan dibuka semula pada 12 Mei.

Pemilik kedai gunting rambut The Lufts Barber, Encik Noor Sobri Mohd Noor, 31 tahun, lega dan bersyukur dapat menyambung semula perniagaannya.

Beliau akan membuka satu cawangan daripada tiga kedai guntingnya buat masa ini.

Beliau hanya boleh membuka cawangan lain setelah tukang guntingnya, yang merupakan warga Malaysia, selesai menjalani kuarantin setelah pulang ke tanah air berikutan pengumuman penutupan kedai gunting rambut pada 21 April lalu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg