Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Keluaran sektor perkilangan S’pura naik meski AS kenakan tarif

Farmaseutikal sumbang sekitar 13% atau AS$4b eksport S’pura ke Amerika
Oct 3, 2025 | 12:26 PM
Singapura, sektor pembuatan, Amerika Syarikat, tarif, Pfizer
Syarikat farmasi gergasi Amerika, Pfizer, menerima penangguhan tiga tahun daripada tarif sektor Amerika Syarikat pada awal minggu ini.  - Foto BT

Pengeluaran sektor perkilangan Singapura meningkat pada September meskipun pentadbiran Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, menyertakan farmaseutikal – eksport utama dari negara ini ke Amerika – ke dalam senarai barangannya di bawah tarif.

Para pakar berkata kesan levi 100 peratus itu, yang berkuat kuasa pada 1 Oktober, mungkin terhad kerana kebanyakan syarikat farmaseutikal besar di sini sedang membina kilang di Amerika dan boleh dikecualikan daripada cukai itu.

Syarikat farmasi gergasi Amerika, Pfizer, misalnya, menerima penangguhan tiga tahun daripada tarif sektor itu awal Oktober.

Ia merupakan penyumbang terbesar kepada keluaran perkilangan farmaseutikal Singapura.

Indeks pengurus pembelian (PMI) – barometer kesihatan industri perkilangan keseluruhan – meningkat daripada 50 mata pada Ogos kepada 50.1 mata, lapor The Straits Times.

Sektor elektronik, yang menyumbang 40 peratus daripada keluaran perkilangan, merakamkan PMI sebanyak 50.7 mata, menandakan pengembangan untuk empat bulan berturut-turut.

Bacaan PMI melebihi 50 menunjukkan pertumbuhan; satu mata di bawah itu menunjukkan penguncupan dalam keluaran.

Tinjauan bulanan itu, yang dikumpulkan dan disusun oleh Institut Pembelian dan Pengurusan Bahan Singapura (SIPMM), tidak menawarkan gambaran berasingan untuk sektor farmaseutikal.

Sektor itu menyumbang sekitar 13 peratus atau AS$4 bilion ($5.2 bilion) eksport dari Singapura ke Amerika.

“Walaupun menghadapi pelbagai cabaran dasar perdagangan global yang tidak menentu dan tarif sektoral, prospek perniagaan perkilangan Singapura kekal positif kerana permintaan telah mula meningkat menjelang musim perayaan akhir tahun,” kata pengarah eksekutif SIPMM, Encik Stephen Poh.

Pakar ekonomi kanan DBS Bank, Encik Chua Han Teng, bagaimanapun mengambil pandangan yang lebih berhati-hati.

Beliau berkata walaupun PMI telah meningkat, ia lebih rendah daripada bacaan yang dikeluarkan pada awal 2025, yang menunjukkan bahawa syarikat perkilangan berdepan dengan landskap ekonomi yang tidak menentu dan risiko permintaan luar yang lemah.

Beliau berkata firma juga berhadapan dengan “ketidakpastian yang berterusan berhubung pusingan baru tarif sektor Amerika”.

Beliau menambah bahawa walaupun jika lebih banyak syarikat farmaseutikal mendapatkan penangguhan tarif, “sentimen perniagaan perlahan yang sedia ada masih akan terjejas secara negatif”.

Encik Trump, ketika mengumumkan tarif pada 25 September, berkata levi ke atas produk berjenama dan dipaten tidak akan dikenakan ke atas firma yang membina kilang di Amerika jika “pembinaan telah dimulakan”.

Beliau telah memberikan Pfizer, yang komited untuk mengembangkan operasinya di Amerika, pengecualian levi selama tiga tahun.

Syarikat itu juga telah bersetuju untuk mengurangkan beberapa harga ubat yang dihasilkannya dan menjual terus kepada pengguna dan perniagaan Amerika.

Beberapa firma farmaseutikal turut berkata bahawa mereka juga menjangkakan akan terlindung daripada tarif Amerika kerana perjanjian perkilangan mereka di Amerika.

Timbalan Perdana Menteri, Encik Gan Kim Yong, telah berkata syarikat farmaseutikal yang merancang untuk melabur di Amerika kekal komited untuk berkembang di Singapura, walaupun kebimbangan tarif boleh meningkatkan persaingan untuk pelaburan dolar dalam jangka panjang.

Negara yang telah membuat perjanjian dengan Amerika boleh memilih untuk meletakkan pelaburan masa depan di sana dan bukannya di Singapura atau rantau ini, kata beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg