Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Trump umum tarif 100% ke atas import farmaseutikal mulai 1 Okt

Pakar ekonomi beri amaran langkah tarif terkini boleh jejas S’pura
Sep 26, 2025 | 12:19 PM
Amerika Syarikat, Donald Trump, tariff, pharmaceutical, import
 Amerika Syarikat melaksanakan pusingan baru ‘tarif membebankan’ ke atas pelbagai barangan import, apabila mengenakan duti 100 peratus ke atas ubat berjenama. - Foto fail

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, pada 25 September mengumumkan pusingan baru tarif import yang besar terhadap pelbagai barangan, termasuk duti 100 peratus ke atas ubat-ubatan berjenama, serta 25 peratus ke atas trak berat.

Tarif itu akan berkuat kuasa bermula 1 Oktober dan dijangka memberi kesan besar kepada pasaran sejagat serta kos sara hidup rakyat Amerika.

Pakar ekonomi memberi amaran bahawa langkah tarif terkini tersebut boleh menjejas Singapura dengan teruk, lapor The Business Times.

Bermula 1 Oktober, “kami (Amerika) akan mengenakan tarif 100 peratus ke atas mana-mana Produk Farmaseutikal berjenama atau berpaten, kecuali syarikat tersebut membina loji pengilangan farmaseutikal di Amerika”, tulis Encik Trump di wadah Truth Social.

“Alasan utama langkah itu ialah lambakan besar-besaran produk itu ke dalam pasaran Amerika oleh negara lain,” kata Encik Trump ketika mengumumkan tarif baru ke atas barangan rumah.

Pentadbiran Trump turut menetapkan tarif 50 peratus ke atas kabinet dapur dan singki bilik mandi serta 30 peratus ke atas perabot berlapik.

Semua kadar baru itu akan berkuat kuasa mulai 1 Oktober.

Menurut Ketua Ekonomi Asia, Oxford Economics, Cik Louise Loo, Singapura menghadapi risiko besar kerana tumpuannya pada pengeluaran ubat berpaten bernilai tinggi.

“Ia menghadapi risiko tinggi kecuali jika firma-firmanya dapat meraih pengecualian menerusi pelaburan aktif dalam pengeluaran di Amerika Syarikat,” katanya.

Beliau memberi amaran bahawa tanpa pengecualian, kadar tarif ke atas penghantaran ke Singapura boleh melonjak melebihi 30 peratus, jauh lebih tinggi berbanding sekitar 4 peratus pada masa ini.

Pakar Ekonomi DBS, Encik Chua Han Teng, pula menyifatkan tarif farmaseutikal itu sebagai satu “perkembangan negatif” bagi eksport ubat bernilai tinggi Singapura ke Amerika Syarikat.

Namun, katanya, kesan buruk itu boleh dikurangkan menerusi pengecualian bagi syarikat ubat yang membina kemudahan pengeluaran di sana.

Encik Trump menjelaskan farmaseutikal berjenama dan berpaten yang diimport ke Amerika akan dikenakan tarif 100 peratus kecuali syarikat pengeluar telah memulakan pembinaan kilang di negara itu.

“Kami mahu pengeluar ubat membawa pelaburan dan pekerjaan kembali ke Amerika,” katanya.

Tarif itu dijangka memberi kesan kepada negara seperti India, yang merupakan pembekal utama farmaseutikal ke Amerika.

Syarikat farmaseutikal Jerman juga bimbang kerana pasaran Amerika merupakan pasaran eksport terpenting mereka, merangkumi hampir satu perempat daripada jumlah eksport farmaseutikal Jerman.

Perjanjian perdagangan yang dimeterai antara Amerika dengan Kesatuan Eropah (EU) pada Julai lalu mengehadkan tarif ubat berjenama dari Eropah kepada maksimum 15 peratus.

Namun, tidak jelas sama ada pengumuman Encik Trump itu akan mengubah syarat perjanjian tersebut.

Kebanyakan ubat terkenal Amerika seperti Botox dan ubat penurunan berat badan dihasilkan di Eropah, termasuk di Ireland yang menjadi pusat utama pengeluaran farmaseutikal sejagat.

Susulan pengumuman tarif ubat baru, Persatuan Penyelidikan dan Pengeluar Farmaseutikal Amerika (PhRMA), menentang langkah tersebut.

Ini kerana 53 peratus daripada AS$85.6 bilion ($110 bilion) bahan digunakan untuk menghasilkan ubat bagi kegunaan rakyat Amerika, dihasilkan dalam negara itu sendiri manakala selebihnya datang dari Eropah dan sekutu Amerika lain.

PhRMA menyatakan kebimbangan bahawa tarif ubat boleh menjejas bekalan dan meningkatkan harga bagi pengguna.

“Lebih separuh bahan ubat yang digunakan di Amerika dihasilkan di dalam negara, manakala selebihnya datang dari Eropah dan sekutu Amerika.

Tarif baru boleh menjejaskan kestabilan pasaran,” kata persatuan itu dalam kenyataannya.

Setiausaha Perbendaharaan Amerika, Encik Scott Bessent, berkata tarif merupakan sumber pendapatan penting untuk negara.

“Kami jangka dapat mengutip AS$300 bilion menjelang akhir 2025, tiga kali ganda hasil tarif tahunan sebelum ini,” ujarnya.

Pentadbiran Trump turut membuka beberapa siasatan keselamatan negara terhadap pelbagai barangan, termasuk turbin angin, pesawat, cip semikonduktor, mineral kritikal, serta peralatan perubatan dan robotik.

Tindakan itu dilihat sebagai asas undang-undang baru bagi mengenakan tarif yang lebih kukuh di tengah cabaran kesahihan tarif besar Trump di Mahkamah Agung.

Langkah tersebut menimbulkan kebimbangan kepada pengguna dan industri pembinaan rumah kerana Amerika semakin banyak mengimport perabot dan kabinet dari negara seperti Vietnam, China, Mexico dan Malaysia.

Data perdagangan menunjukkan Amerika mengimport kira-kira AS$25.5 bilion perabot pada 2024, meningkat 7 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Encik Trump, yang terkenal menggunakan tarif sebagai senjata rundingan dasar luar, berkata langkah baru itu melindungi pengeluar tempatan daripada persaingan tidak adil.

“Kami perlu pastikan industri pembuatan trak kita, termasuk jenama seperti Peterbilt, Kenworth dan Freightliner, kekal kukuh.

“Kita perlukan pemandu trak yang berdaya saing untuk keselamatan negara,” katanya.

Dewan Perniagaan Amerika turut menggesa pemerintah menarik balik rancangan tarif trak berat.

“Sumber utama import trak berat ialah Mexico, Canada, Jepun, Jerman dan Finland – semuanya sekutu rapat yang tidak menjejaskan keselamatan negara,” kata kenyataan badan itu.

Kajian menunjukkan import trak besar dari Mexico telah meningkat tiga kali ganda sejak 2019, namun kebanyakannya menggunakan komponen buatan Amerika.

Mexico sendiri menentang tindakan tersebut dan memaklumkan kepada Jabatan Perdagangan Amerika bahawa purata kandungan komponen Amerika pada trak buatan Mexico mencecah 50 peratus.

Jepun turut menolak tarif baru, dengan persatuan pengeluar automotifnya berkata mereka telah mengurangkan eksport ke Amerika dan memindahkan pengeluaran ke kilang di Amerika.

Encik Trump menegaskan tarif baru terhadap perabot akan membantu menghidupkan kembali industri di beberapa negeri pengeluar tradisional.

“Ini akan membawa semula perniagaan perabot ke North Carolina, South Carolina dan Michigan,” katanya pada Ogos lalu.

Perangkaan menunjukkan pekerjaan dalam sektor pengilangan perabot dan produk kayu di Amerika kini separuh berbanding tahun 2000, turun kepada sekitar 340,000 pekerja.

Penganalisis ekonomi memberi amaran langkah itu boleh meningkatkan inflasi dalam negara dan membebankan pengguna.

Kos pengangkutan juga dijangka meningkat akibat tarif trak berat, sekali gus menjejas harga barangan harian termasuk makanan. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg