Topik diikuti
Pergi ke BHkuKeluarga bergaji rendah dapat bayaran lebih tinggi sementara di bawah skim ComCare
Keluarga bergaji rendah dapat bayaran lebih tinggi sementara di bawah skim ComCare
Keluarga bergaji rendah dapat bayaran lebih tinggi sementara di bawah skim ComCare
Bantuan kewangan bulanan bagi isi rumah Singapura berpendapatan rendah di bawah skim Bantuan Sementara ComCare akan dinaikkan kepada sekurang-kurangnya $250 sebulan buat sementara waktu, dengan bantuan itu boleh diberikan sehingga tiga bulan.
Sekarang ini keluarga menerima sokongan sedemikian berdasarkan keperluan isi rumah mereka.
Demikian diumumkan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) pada 27 Julai.
Ia bertujuan memberikan sokongan tambahan kepada isi rumah berpendapatan rendah yang terkesan dengan peningkatan kos berikutan ketidaktentuan dalam persekitaran ekonomi global.
Selain itu, isi rumah yang kini berada di bawah skim Bantuan Jangka Pendek hingga Jangka Sederhana (SMTA) ComCare dan memerlukan bantuan tambahan juga boleh menghubungi Pejabat Perkhidmatan Sosial (SSO) untuk memohon elaun sampingan sementara.
Ini akan meningkatkan bantuan tunai bulanan mereka sekurang-kurangnya 5 peratus atau $50 – mengikut mana yang lebih tinggi – bagi tempoh sehingga tiga bulan.
Sebagai contoh, satu isi rumah lima anggota dengan seorang warga emas dan dua anak yang masih bersekolah – yang menerima sekitar $2,500 bantuan tunai bulanan daripada SMTA ComCare – kini akan menerima tambahan sekitar $130 sebulan.
Isi rumah yang berminat boleh memohon kedua-dua skim SMTA dan Bantuan Sementara dari 17 Ogos hingga 31 Disember.
Perkembangan itu ialah sebahagian daripada pakej bantuan yang diumumkan Kementerian Kewangan (MOF) pada hari yang sama, berhubung pakej sokongan kedua buat rakyat Singapura di tengah-tengah konflik di Timur Tengah.
Ia diumumkan Menteri Pengangkutan merangkap Menteri Kedua Kewangan, Encik Jeffrey Siow, di bangunan The Treasury pada 29 Julai.
Sokongan pertama telah diumumkan pada April lalu.
Dalam satu kenyataan, Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga), Encik Goh Pei Ming, berkata:
“Kami maklum bahawa isi rumah berpendapatan rendah mungkin sukar menampung peningkatan dalam perbelanjaan harian mereka, terutamanya jika mereka mempunyai simpanan yang terhad.
“Kami mahu mereka tahu bahawa bantuan sedia ada. Sebab itulah kami telah mempertingkatkan Bantuan Sementara ComCare dan memperkenalkan Elaun Sampingan Sementara untuk memberikan sokongan yang lebih baik kepada isi rumah ini.
“Perubahan ini ialah tambahan kepada semakan berkala ComCare, yang mengambil kira data harga terkini dan unjuran inflasi.”
Berkongsi lanjut mengenai Bantuan Sementara ComCare, MSF menyatakan isi rumah yang mempunyai keperluan lebih besar, seperti mereka yang menanggung lebih ramai tanggungan, akan menerima bantuan bulanan lebih tinggi.
Selain itu, MSF juga akan mengubah kriteria kelayakan pendapatan untuk menjadikannya lebih fleksibel.
Ini agar dapat menyokong lebih banyak isi rumah yang menghadapi kesukaran kewangan sementara.
Kini, kriteria pendapatan bagi Bantuan Sementara ComCare ialah pendapatan isi rumah per kapita sebanyak $800 sebulan.
Sepanjang tempoh penambahbaikan itu, isi rumah yang menghadapi kesukaran kewangan boleh memohon Bantuan Sementara walaupun pendapatan mereka melebihi had semasa.
Isi rumah yang memerlukan sokongan jangka lebih panjang boleh dinilai untuk bentuk bantuan ComCare yang lain.
Isi rumah yang memerlukan bantuan boleh memohon secara dalam talian menerusi portal SupportGoWhere di https://supportgowhere.life.gov.sg/ atau terus ke kelab masyarakat.