Ketibaan Hari Raya Aidilfitri adalah detik-detik yang dinanti penuh harapan dan kesyukuran oleh seluruh umat Islam. Walau bagaimanapun, persiapan menyambut raya kadangkala boleh menjadi suatu beban, khususnya bagi keluarga kurang berkemampuan.
Dengan pemberian zakat yang disalurkan kepada golongan memerlukan, ia menyuntik kegembiraan kepada banyak keluarga, termasuklah keluarga Cik Nur Azlinda Mohd Ali.
Suri rumah dan ibu kepada sebelas orang anak itu meluahkan rasa gembira dan terharu, setelah mendapat bantuan zakat Ramadan daripada Majlis Ugama Islam Singapura (Muis).
Pada tahun lepas, bantuan zakat Ramadan yang diterima oleh Cik Azlinda, membolehkan beliau membeli baju baru untuk persiapan raya anak-anaknya.
Bantuan zakat tersebut bukan sahaja meringankan beban kewangan, malah ia menghadirkan peluang kepada keluarga Cik Azlinda untuk menikmati kedatangan Aidilfitri, tanpa rasa bimbang.
“Alhamdulillah, sumbangan zakat Ramadan tahun lepas telah digunakan dengan baik untuk membeli keperluan Hari Raya anak-anak. Saya mempunyai anak yang ramai, termasuklah anak sulung yang berumur sembilan belas tahun dan anak bongsu berusia tujuh bulan.
“Oleh itu, banyak duit yang diperlukan, terutamanya ketika Ramadan menjelma. Syukur, saya memperoleh bantuan zakat Ramadan, yang sangat bermanfaat kepada anak-anak pada musim ini. Mereka semua gembira dapat membeli baju baru untuk meraikan Hari Raya dengan lebih sempurna,” kata Cik Azlinda.
Menurut Cik Nur Azlinda lagi, sumbangan yang diterima sangat membantu. Sumbangan yang beliau terima, termasuk bantuan zakat bulanan, baucar makanan fidyah, pengagihan khas dana zakat pada hujung tahun dan bantuan pada bulan Ramadan.
Keluarganya telah menerima bantuan selama hampir lima tahun, dan ia membantu menampung perbelanjaan harian serta keperluan makan bulanan keluarganya.
Beliau yang hanya bergantung kepada pendapatan suaminya, mengakui kehidupan berkeluarga besar agak mencabar, terutama sekali dalam konteks kehidupan di Singapura.
“Saya sekeluarga banyak bergantung kepada suami sebagai pencari nafkah utama. Sebagai seorang suri rumah, tumpuan saya hanyalah kepada anak-anak, seperti mana diamanahkan oleh suami. Saya tidak bekerja kerana ingin memastikan anak-anak mendapat perhatian secukupnya.
“Tetapi, beban kewangan terasa sedikit berat, dan bantuan zakat menjadi penyelamat, yang benar-benar meringankan kesulitan kami,” ujar Cik Azlinda.
Cik Azlinda berkata, beliau bersyukur diberi peluang untuk mendapatkan bantuan zakat kerana pengalaman beliau sebagai seorang penerima zakat benar-benar membuktikan bahawa zakat mampu mengukuhkan masyarakat, termasuk keluarganya.
“Bagi mereka yang memerlukan, jangan malu untuk tampil memohon pertolongan. Sumbangan zakat bukan sahaja membantu aspek kewangan, tetapi juga merapatkan hubungan kemasyarakatan dengan sikap saling tolong-menolong antara satu sama lain,” jelas beliau.
Bantuan zakat juga membuatkan keluarga Cik Azlinda lebih optimis untuk menjalani kehidupan, meskipun dalam keadaan penuh rintangan.
“Sememangnya, bantuan ini adalah kelegaan besar. Saya sangat bersyukur kerana terdapat pihak yang peduli tentang keadaan keluarga saya. Oleh itu, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak Muis dan Masjid Yusof Ishak kerana menyampaikan bantuan ini kepada keluarga saya.
“Terima kasih juga diucapkan kepada para pemberi zakat. Sumbangan yang diperoleh dapat menyelesaikan masalah dari segi kewangan dan memberi harapan untuk kami menjalani kehidupan yang lebih baik.
“Saya berharap, lebih ramai keluarga yang memerlukan di luar sana, dapat menerima bantuan seperti ini supaya mereka dapat menampung kekurangan yang ada,” tambah Cik Azlinda.
Muis bekerjasama dengan masjid-masjid Pembangunan Sosial (SD) untuk membiayai dan menyokong program yang dikhaskan untuk golongan yang memerlukan.
Bantuan kewangan zakat kepada masyarakat Islam Singapura diagihkan kepada 8 asnaf dalam pelbagai bentuk seperti bantuan kewangan zakat bulanan, penyelesaian hutang, bantuan kecemasan, geran pendidikan, dan baucar makanan fidyah.
Untuk membuat permohonan, pemohon perlu membuat janji temu dengan Pegawai Pembangunan Sosial (SDO) di masjid. Permohonan akan diluluskan jika pemohon memenuhi kriteria kelayakan yang ditetapkan.
Kriteria kelayakan termasuk memiliki Pendapatan Per Kapita (PCI) $500 atau lebih rendah.
Hubungi mana-mana masjid Pembangunan Sosial (SD) berdekatan anda dengan alamat kediaman rasmi pemohon.
Tetapkan janji temu dengan Pegawai Pembangunan Sosial (SDO) untuk sesi penilaian.
Jalani sesi temu ramah untuk penilaian kelayakan.
Pemohon perlu membawa dokumen pengenalan diri (kad pengenalan, surat beranak), pendapatan dan dokumen bank (slip gaji, penyata Tabung Simpanan Pekerja (CPF), buku bank dan lain-lain) serta dokumen sokongan yang berkaitan (bil, memo perubatan, surat rujukan dan sebagainya).
Pemohon akan dimaklumkan tentang hasil penilaian melalui pos. Proses permohonan mengambil masa hingga enam minggu.
Layari https://pay.zakat.sg untuk menunaikan zakat anda atau mendapatkan maklumat lanjut, termasuk mencari masjid-masjid Pembangunan Sosial (SD).
Klik pautan www.zakat.sg/fidyah untuk melakukan pembayaran fidyah anda.
Hubungi talian 6359-1199 (Isnin – Jumaat, jam 8.30 pagi hingga 5.30 petang) untuk sebarang pertanyaan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg