Sebanyak $4.3 juta telah diagihkan kepada lebih 6,000 keluarga penerima zakat oleh Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) dalam satu pembayaran bantuan khas hujung tahun.
Pengagihan tersebut melengkapi bantuan kewangan zakat yang diterima benefisiari Muis setiap bulan dan memastikan keluarga yang memerlukan terus mendapat sokongan semasa tempoh akhir tahun ini, menurut Muis dalam kenyataannya pada 24 Disember.
Jumlah pembayaran bantuan khas hujung tahun itu merupakan yang tertinggi sejak inisiatif tersebut diperkenalkan pada 2012.
Pada 2023, sebanyak $3.7 juta diagihkan.
“Pengagihan hujung tahun itu bertujuan meringankan beban kewangan pada isi rumah berpendapatan rendah dan membantu mereka menguruskan perbelanjaan hujung tahun yang penting seperti bil yang terkumpul, bayaran tertunggak dan pinjaman.
“Bagi keluarga dengan anak-anak yang bersekolah, pengagihan itu menawarkan sokongan yang amat diperlukan untuk bersiap sedia bagi tahun sekolah akan datang, meliputi perbelanjaan seperti keperluan sekolah dan seragam,” kata Muis.
Ia menambah bahawa pengagihan bantuan khas itu turut menunjukkan sokongan padu dan kemurahan hati masyarakat yang menyokong program bantuan zakat Muis.
Dalam pada itu, Muis turut mengumumkan bahawa sokongan yang disediakan bagi keperluan persekolahan anak-anak penerima zakat di bawah skim bantuan Reqab telah dipertingkatkan pada 2024.
Jumlah sokongan telah dinaikkan kepada kadar standard $150 bagi setiap anak, daripada antara $70 dengan $100 setiap anak sebelum ini.
Sebanyak $1.28 juta telah diperuntukkan bagi sokongan dipertingkat itu, yang akan memberi manfaat kepada sekitar 8,500 kanak-kanak berusia 18 tahun dan ke bawah.
Skim Reqab itu, yang merupakan komponen penting dalam program bantuan kewangan zakat Muis, membantu meringankan beban kewangan perbelanjaan sekolah untuk keluarga berpendapatan rendah.
Sokongan tersebut meliputi perbelanjaan bagi keperluan seperti seragam, buku dan bekalan lain yang diperlukan, demi memastikan anak-anak dilengkapi dengan baik bagi permulaan yang kukuh dalam tahun akademik baru mereka, kata Muis.
Penerima zakat yang layak bagi sokongan dipertingkat itu akan menerima pemberitahuan melalui pos minggu ini.
Muis berkata peningkatan kepada skim Reqab itu adalah sejajar dengan misi mereka untuk menyediakan sokongan yang menyeluruh buat keluarga berpendapatan rendah.
“Daya usaha ini mencerminkan dua tumpuan: menangani tekanan kewangan segera sementara memupuk pemerkasaan jangka panjang.
“Dengan mengutamakan keperluan pendidikan dan pembangunan, Muis membina asas bagi sebuah masyarakat yang lebih berdaya tahan dan diperkasa.
“Daya usaha ini adalah sebahagian daripada usaha meluas Muis demi memastikan sumbangan zakat mencapai kesan yang bermakna dan berpanjangan untuk anggota masyarakat yang paling memerlukan,” tambah Muis.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg