Keluarga layak yang sedang menanti flat Bina Ikut Tempahan (BTO), boleh memohon baucar sewa sebanyak $300 sebulan mulai 1 Julai.
Baucar itu untuk digunakan bagi mengimbangi bayaran sewa flat atau bilik tidur flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) di pasaran terbuka.
Ini diumumkan oleh HDB dalam satu kenyataan pada 13 Jun.
Daya usaha di bawah Skim Perumahan Sementara Keibubapaan (PPHS) itu akan dilaksana dari Julai 2024 hingga Jun 2025.
Untuk layak mendapat sokongan setahun penuh, yang berjumlah $3,600, tempoh penyewaan pemohon mesti bermula pada atau sebelum 31 Julai 2024.
Mereka juga perlu menyerahkan permohonan mereka kepada HDB selewat-lewatnya pada 31 Ogos.
“Ini memberi isi rumah layak yang merancang memohon baucar PPHS cukup masa untuk mendapatkan penyewaan sesuai dan memohon baucar itu,” kata HDB.
Daya usaha itu menyediakan lebih banyak sokongan kepada keluarga ini sedang HDB berusaha menggandakan bekalan flat sewa sementara di bawah skim itu, daripada 2,000 unit sekarang kepada 4,000 menjelang 2025.
Hanya keluarga yang mempunyai pendapatan bulanan $7,000 ke bawah layak memanfaatkan skim tersebut.
Mereka perlu memastikan bahawa tuan rumah mereka telah mendaftarkan penyewaan mereka bersama HDB, dan alamat di kad pengenalan mereka telah dikemas kini.
Pasangan bertunang yang memohon mesti menyerahkan sijil nikah mereka dalam masa tiga bulan pertama tempoh penyewaan untuk layak mendapatkan baucar itu, kata HDB.
Keluarga yang layak akan menerima baucar melalui pembayaran balik, berdasarkan tempoh penyewaan mereka dalam masa setahun antara Julai 2024 dengan Jun 2025.
Pembayaran balik akan dibuat ke akaun bank yang dikaitkan dengan PayNow-kad pengenalan pemohon.
Setiap agihan pembayaran balik akan termasuk sokongan hingga enam bulan dan pembayaran balik pertama biasanya mengambil masa sekitar tujuh bulan dari tarikh permohonan, tambah HDB.
Baucar tidak akan melalui kiraan pro rata untuk tempoh penyewaan yang tidak mencukupi sebulan.
Untuk layak mendapat baucar bagi mana-mana bulan tertentu, keluarga mesti mengemukakan permohonan mereka pada akhir bulan berikutnya.
Mereka yang sekarang menyewa flat PPHS daripada HDB juga boleh memilih untuk menyewa di pasaran terbuka dan memohon baucar itu, kata HDB lagi.
Namun, mereka akan layak mendapat baucar hanya selepas mereka menamatkan penyewaan flat PPHS.
Keluarga tidak akan layak mendapat baucar jika mereka menyewa unit daripada keluarga atau saudara terdekat.
Pada Mac, HDB berkata ia akan menjalankan pelbagai semakan ke atas penyewaan pemohon, yang mungkin termasuk pemeriksaan fizikal di alamat penyewa, sebelum mengeluarkan baucar.
Ia juga mungkin merujuk kes kepada polis untuk siasatan lanjut, dan menangguhkan pembayaran balik bagi kes yang disyaki mempunyai unsur salah guna.
Menurut HDB, bilangan permohonan di bawah PPHS telah berkurangan dengan ketara selepas ia meningkatkan bekalan rumah sementara daripada 800 unit pada 2021 kepada 2,000 semasa.
Pada 13 Jun, HDB berkata ia telah berusaha secara aktif mengurangkan masa menunggu bagi flat BTO.
Pada 2024, 75 peratus flat baru yang dijadual untuk dilancarkan akan mempunyai tempoh menunggu empat tahun atau kurang, tambahnya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg