Peniaga dan pemilik bangunan tidak lagi perlu mendapatkan kelulusan Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) untuk memasang panel suria di kawasan berhampiran lapangan terbang Singapura mulai 1 Oktober.
Ini selepas semakan CAAS mendapati bahawa kemajuan dalam teknologi fotovoltaik suria bererti panel suria terkini mempunyai tahap silau berkurangan.
Selain itu, panel suria yang dipasang di kawasan penting berhampiran lapangan terbang Singapura dinilai mempunyai risiko amat rendah kepada operasi lapangan terbang.
Perubahan itu adalah antara beberapa daya usaha daripada semakan peraturan melibatkan seluruh pemerintah untuk meringankan beban kerja kawal selia bagi perniagaan.
Ia diumumkan oleh Menteri Pengangkutan, Encik Chee Hong Tat, pada 17 September semasa majlis makan tengah hari Festival Pertengahan Musim Luruh anjuran Persatuan Pemaju Hartanah Singapura (Redas), lapor The Straits Times (ST).
Menurut Encik Chee, disebabkan kebimbangan bahawa silau daripada panel suria mungkin menjejas tahap penglihatan juruterbang dan pengawal trafik udara, syarikat yang ingin memasang panel suria dalam kawasan penting berhampiran lapangan terbang Singapura sebelum ini dikehendaki mendapatkan kelulusan CAAS.
“Proses ini boleh mengambil masa dua bulan untuk selesai, dan menelan kos sekitar $3,500 untuk laporan penilaian perunding,” kata Encik Chee kepada sekitar 500 hadirin, termasuk pemaju hartanah, kontraktor dan penganalisis, dalam majlis di Orchard Hotel Singapore itu.
Sejak itu, CAAS telah menyemak peraturannya, dan tidak lagi memerlukan laporan perunding dan permohonan kepada agensi itu bagi kerja pemasangan panel suria, mulai 1 Oktober ni.
Ini akan menjimat masa dan wang bagi perniagaan dan pemilik bangunan, katanya.
Daya usaha baru lain turut diumumkan untuk membantu perniagaan dalam industri hartanah menjimat masa dan meningkatkan daya penghasilan.
Menurut Encik Chee, Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) sedang membangun satu bot sembang atau chatbot yang memanfaatkan teknologi kecerdasan buatan (AI). Bot tersebut dilengkapi pengetahuan berkaitan peraturan pihak berkuasa itu merentasi pelbagai jenis cadangan, supaya ia dapat memberi nasihat yang sesuai kepada pihak industri.
Walaupun LTA menerbitkan keperluan kawal selia di laman webnya, pemaju dan kontraktor yang dilantik berkata mereka memerlukan masa panjang untuk membaca penerbitan itu, bagi mengesahkan keperluan yang berkaitan dengan cadangan pembangunan yang berbeza.
“Dengan AI, kami boleh menyokong industri ini dengan lebih baik,” tambah Encik Chee.
Beliau turut menggalakan pihak industri supaya bekerjasama dengan LTA, kerana chatbot berkenaan akan menjadi lebih berkesan “apabila rakan kongsi industri memberi contoh kepada LTA untuk ‘melatih chatbot ini’”.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg