Topik diikuti
Pergi ke BHkuKem belia bentuk generasi pemimpin masa depan
Kem belia bentuk generasi pemimpin masa depan
Masjid Alkaff Kampung Melayu usaha lahirkan pemimpin muda berteras nilai Islam, ukhuwah dan khidmat masyarakat
Kem belia bentuk generasi pemimpin masa depan
Seramai 22 belia daripada Masjid Alkaff Kampung Melayu menyertai Kem Kepimpinan Belia Alkaff.
Program tiga hari dua malam itu dianjurkan oleh Masjid Alkaff Kampung Melayu.
Kem tersebut bertujuan membentuk barisan pemimpin muda berteraskan nilai Islam, semangat ukhuwah serta komitmen untuk berkhidmat kepada masyarakat.
Menurut Pegawai Pembangunan Belia (YDO), Ustaz Ammar Mohammad Bahrul-Ulum, kem itu memberi penekanan kepada pembangunan kepimpinan menerusi bengkel, kegiatan membentuk pasukan, refleksi kerohanian serta pembelajaran berasaskan pengalaman.
“Alhamdulillah, saya berasa amat bangga melihat perubahan peserta.
“Daripada yang pada awalnya malu bersuara, mereka kini lebih yakin, berani berkongsi pandangan dan mengambil inisiatif memimpin.
“Kem ini hanyalah permulaan. Kami akan terus membimbing mereka melalui peluang memimpin program, sesi mentoring dan pengalaman sebenar di masjid,” jelas Ustaz Ammar.
Bagi peserta Encik Muhammad Zafran Mohammad Noorjasah, 19 tahun, kem tersebut mengubah persepsinya tentang kepimpinan.
“Sebelum ini saya fikir pemimpin hanyalah orang yang memegang jawatan. Kini saya sedar setiap orang ialah pemimpin dalam tanggungjawab masing-masing.
“Saya belajar bahawa komunikasi yang berhikmah, kerjasama dan menjadi teladan adalah asas kepimpinan,” ujarnya.
Beliau berharap dapat terus menyumbang sebagai sukarelawan, menggalakkan penyertaan belia serta membantu mewujudkan suasana positif dan mesra dalam Alkaff Youth.
Sementara itu, peserta berusia 17 tahun, pelajar Athiyyah Nurkhatimah Muhammad Nur, berkata kegiatan pembinaan pasukan banyak mengajarnya tentang disiplin diri, ketenangan ketika berdepan tekanan serta pentingnya berfikir sebelum bertindak.
“Saya mahu menjadi seseorang yang mudah didekati dan mampu mewujudkan keyakinan, sikap positif serta ukhuwah yang lebih kukuh dalam kalangan belia,” katanya.
Ustaz Ammar memberitahu Berita Harian (BH), kem itu bukan sekadar melahirkan peserta yang berkeyakinan, malah menyemai harapan agar lebih ramai pemimpin muda yang berakhlak mulia, berkhidmat dengan ikhlas dan menjadi inspirasi kepada generasi akan datang dalam mengimarahkan masjid serta menyumbang kepada masyarakat Islam di sini.
SEKILAS:
CARA MENDERMA KEPADA DANA PENINGKATAN MASJID ALKAFF KAMPUNG MELAYU
1. Untuk keterangan lanjut, hubungi Masjid Alkaff Kampung Melayu di talian 6242-7244.
2. Untuk menghulurkan derma, anda boleh membuat pemindahan bank ke dalam akaun semasa OCBC 581-608668-001. Nyatakan ‘Dana Peningkatan’ pada ruangan ‘Rujukan’, dan e-mel tangkap layar transaksi anda kepada finance@alkaffkm.mosque.sg.
3. PayNow ke UEN: S94MQ0017D. Nyatakan ‘Dana Peningkatan’ di bahagian ‘Rujukan’.
4. Kirim cek atas nama LPM ALKAFF KG MELAYU. Nyatakan ‘Dana Peningkatan’, tulis nama, alamat dan nombor telefon anda di bahagian belakang cek dan kirimkan ke Masjid Alkaff Kampung Melayu di alamat, 200 Bedok Reservoir Road, Singapura 479221.
5. Pergi ke pejabat masjid, Isnin hingga Khamis, antara 9 pagi dengan 5.30 petang, atau pada Jumaat, dari 9 pagi hingga 5 petang.
* Ikuti Masjid Alkaff Kampung Melayu di TikTok: @alkaffkm; Facebook: Masjid Alkaff Kampung Melayu; dan Instagram: @alkaffkgmelayumosque
