Usaha menjimatkan tenaga dan air kini antara keutamaan Masjid Alkaff Kampung Melayu.

Selaras dengan prinsip Islam yang menekankan kesederhanaan dan melarang pembaziran, inisiatif ini bukan sahaja memupuk nilai murni dalam kalangan jemaah, malah membantu mengurangkan kos operasi serta menyokong agenda kelestarian alam sekitar.

Antara langkah yang dilaksana Lembaga Pentadbir Masjid (LPM) Alkaff Kampung Melayu ialah penggunaan pemasa, atau ‘timer’, lampu bagi mengawal pencahayaan mengikut waktu solat dan operasi masjid. Lampu hanya dihidupkan di kawasan diperlukan.

Selain itu, lampu LED yang lebih jimat tenaga digunakan, dan sensor gerakan dipasang di ruang kurang digunakan.

Bagi penjimatan air pula, tekanan air dikurangkan dan alat kawalan aliran dipasang bagi mengelakkan pembaziran, khususnya ketika berwuduk.

Ketua Pengurusan Estet dan Penyelenggaraan Masjid Alkaff Kampung Melayu, Encik Nassir Siraj, berkata pihak masjid memastikan pelaksanaan inisiatif ini dilakukan secara tekal melalui sistem operasi teratur.

Pemeriksaan berkala terhadap peralatan elektrik dan sistem paip dijalankan, manakala penggunaan air dan elektrik dipantau melalui bil elektrik dan air bagi menilai keberkesanan penjimatan.

Kakitangan masjid juga diberi panduan bagi memastikan amalan ini dipatuhi berterusan.

Menurut Encik Nassir, pendekatan ini bukan sahaja memberi kesan kepada kos operasi, malah membentuk budaya kerja lebih bertanggungjawab.

“Pengurusan tenaga dan air secara berhemah bukan sekadar langkah penjimatan, tetapi satu amanah yang perlu dijaga bersama demi kemaslahatan jangka panjang.

“Setiap titisan air dan setiap unit tenaga yang dijimatkan mencerminkan kesedaran kita terhadap tanggungjawab sebagai khalifah di bumi,” ujar Encik Nassir.

Melangkah ke hadapan, Masjid Alkaff Kampung Melayu merancang memperluas kesedaran dalam kalangan jemaah melalui pelbagai program pendidikan dan kempen kelestarian, termasuk galakan amalan penjimatan di rumah.

Usaha ini diharap dapat menjadikan masjid sebagai contoh institusi hijau yang bukan berdaya tahan sahaja, malah menjadi sumber inspirasi kepada masyarakat tempatan untuk mengamalkan gaya hidup lebih lestari, berhemah dan bertanggungjawab terhadap alam sekitar.

Antara ciri mesra alam yang turut diterapkan ialah mewujudkan landskap hijau bagi membantu menyejukkan persekitaran dan meningkatkan keselesaan kawasan masjid.

Selain itu, ruang yang disediakan juga direka untuk menyokong pendidikan dan meningkatkan kesedaran mengenai amalan hijau dalam kalangan jemaah, sekali gus membudayakan nilai kelestarian dalam kehidupan harian.

CARA DERMA KEPADA DANA PENINGKATAN MASJID ALKAFF KAMPUNG MELAYU:

1. Bagi keterangan lanjut, hubungi Masjid Alkaff Kampung Melayu di talian 6242-7244.

2. Untuk menderma, anda boleh:

a) Membuat pemindahan bank ke dalam akaun semasa OCBC 581-608668-001. Sila tulis ‘Dana Peningkatan’ di ruangan ‘Rujukan’ dan e-melkan tangkap layar transaksi kepada finance@alkaffkm.mosque.sg, atau

b) PayNow ke UEN: S94MQ0017D. Sila nyatakan ‘Dana Peningkatan’ di bahagian ‘Rujukan’, atau

c) Kirim cek atas nama ‘LPM ALKAFF KG MELAYU’ kepada Masjid Alkaff Kampung Melayu, 200 Bedok Reservoir Road, Singapura 479221. Sila tulis ‘Dana Peningkatan’, nama, alamat dan nombor telefon di bahagian belakang cek.

d) Pergi langsung ke pejabat masjid antara Isnin hingga Khamis, dari 9 pagi hingga 5.30 petang, atau pada Jumaat, antara 9 pagi hingga 5 petang.

3. Ikuti Masjid Alkaff Kampung Melayu di Tik Tok: @alkaffkm. Facebook: Masjid Alkaff Kampung Melayu dan Instagram: @alkaffkgmelayumosque.