Topik diikuti
Pergi ke BHkuKem bola sepak BH-Singa Legends perkasa kanak-kanak, tak kira latar belakang
Inisiatif pupuk kerjasama antara media, tokoh sukan dan masyarakat untuk pembangunan kanak-kanak
Kem bola sepak BH-Singa Legends perkasa kanak-kanak, tak kira latar belakang
Gabungan pihak media, tokoh sukan dan rakan masyarakat berkesan dalam mengembangkan potensi kanak-kanak dan mencapai impian mereka, kata Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Zaqy Mohamad.
Memetik contoh Kem Bola Sepak Berita Harian (BH)-Singa Legends yang berlangsung dari 24 hingga 25 November, Encik Zaqy berkata kerjasama sedemikian memaparkan komitmen BH untuk terus mendekati masyarakat dan memainkan peranan dalam membantu anak muda serta keluarga yang memerlukan sokongan.
Encik Zaqy berkata demikian ketika ditemui BH pada hari kedua kem tersebut yang berlangsung di Our Tampines Hub pada 25 November.
Beliau berinteraksi bersama ibu bapa yang hadir, malah menyertai sesi latihan di samping kanak-kanak sehingga mempamerkan kemahiran ‘rainbow flick’.
Kem selama dua hari itu memberi peluang kepada kanak-kanak berusia antara tujuh dengan 13 tahun untuk mengasah kemahiran bola sepak mereka bersama barisan legenda bola sepak Singapura.
Antara bekas pemain negara yang terlibat ialah Fandi Ahmad, Abbas Saad, Samad Allapitchay, Abdullah Noor, Noor Ali, Nazri Nasir, Rafi Ali dan Baihakki Khaizan, yang berkongsi pengalaman serta membimbing peserta sepanjang kem tersebut.
Kerjasama tersebut merupakan sebahagian usaha BH untuk mendekati masyarakat melalui kegiatan yang memberi manfaat, khususnya kepada generasi muda, sempena sambutan BH70 yang bertema, ‘Kisah Kita’, pada 1 Julai 2027.
Ketika ditemui media, Encik Zaqy berkata:
“Dengan menggabungkan pengalaman, kepakaran dan sumber masing-masing, kita dapat membuka lebih banyak peluang untuk anak muda kita mengembangkan potensi dan mencapai impian mereka.
“Sama ada dalam bidang sukan mahupun pendidikan, saya percaya setiap anak harus diberi peluang untuk mengasah bakat dan mengejar impian mereka, tanpa mengira latar belakang keluarga,” tambah Encik Zaqy.
Sempena ketibaan ulang tahun ke-70 BH, Encik Zaqy menambah bahawa akhbar ini terus memainkan peranan penting dalam masyarakat.
Ia bukan sahaja sebagai sumber berita dan maklumat, malah sebagai rakan yang aktif menyumbang kepada pembangunan masyarakat, jelasnya.
Beliau menampilkan anjuran bersama kem tersebut sebagai contoh baik dalam komitmen BH untuk terus mendekati masyarakat dan memainkan peranan dalam membantu anak muda serta keluarga yang memerlukan sokongan.
Singa Legends telah mendermakan $10,000 hasil pungutan yuran kem bola itu kepada Dermasiswa BH-AMP bagi membantu pelajar politeknik dan mahasiswa universiti yang memerlukan dalam bidang pengajian komunikasi dan media serta pengajian Melayu.
Ini di samping sebanyak 45 tempat peserta dikhaskan bagi kanak-kanak memerlukan termasuk daripada Jamiyah, Pertapis, Darul Ihsan, serta Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) North East.
Beliau berharap semangat kerjasama ini akan terus diperkukuh, kerana setiap peluang yang disediakan boleh menjadi titik permulaan untuk anak-anak muda membina masa depan yang lebih baik pada masa depan.