Topik diikuti
Pergi ke BHku140 kanak-kanak sertai kem bola sepak BH-Singa Legends
Kanak-kanak berbeza latar belakang berpeluang timba ilmu secara langsung daripada barisan legenda bola sepak S’pura
140 kanak-kanak sertai kem bola sepak BH-Singa Legends
Dengan memakai jersi merah yang sedikit besar untuknya dan bercermin mata, Absyar Hendra Irwan Kurniawan, 11 tahun, menggelecek bola sebelum melepaskan tendangan kencang ke arah gawang gol.
Walau cuaca panas terik dirasakan pada pagi 24 November di Our Tampines Hub (OTH), ia tidak mematahkan semangat Absyar untuk membuka telinga dan mata agar dapat mencedok ilmu daripada beberapa legenda bola sepak Singapura.
Absyar merupakan antara 140 kanak-kanak yang menyertai Kem Bola Sepak Berita Harian (BH)-Singa Legends pada 24 November di OTH.
Terbuka kepada kanak-kanak berusia antara tujuh dengan 13 tahun, kem dua hari hingga 25 November itu menawarkan peluang kepada peserta mempelajari kemahiran bola sepak secara langsung daripada barisan legenda bola sepak Singapura.
Antara bekas pemain negara yang terlibat ialah Fandi Ahmad, Abbas Saad, Samad Allapitchay, Abdullah Noor, Noor Ali, Nazri Nasir, Rafi Ali dan Baihakki Khaizan, yang berkongsi pengalaman serta membimbing peserta sepanjang kem tersebut.
Kerjasama itu merupakan sebahagian usaha BH untuk mendekati masyarakat melalui kegiatan yang memberi manfaat, khususnya kepada generasi muda, sempena sambutan BH70 yang bertemakan ‘Kisah Kita’, pada 1 Julai 2027.
Ketika berucap dalam acara pelancaran kem itu, Editor BH, Encik Nazry Mokhtar, berkata sambutan tujuh dekad BH merupakan peluang keemasan untuk akhbar ini menyumbang kembali kepada masyarakat di samping memupuk generasi pelapis yang berbakat.
Ini selain kutipan daripada kem itu yang juga akan disalurkan kepada Dermasiswa BH-AMP.
“Acara hari ini turut membawa makna tersendiri kerana hasil kutipannya akan disalurkan kepada usaha amal, iaitu Dermasiswa BH-AMP, bagi membantu pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah yang mendalami bidang media, komunikasi dan pengajian Melayu.
“Oleh itu, sambil menggilap bakat muda di padang bola sepak, kita juga berbakti kepada masyarakat luas,” katanya.
Kem tersebut turut disertai Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Menteri Kedua Pendidikan, Encik David Neo; Pengarah Urusan SPH Media, Encik Kuek Yu Chuang; Pengarah Eksekutif, AMP Singapura, Encik Mohksin Rashid; dan Pengerusi Singa Legends, Encik Farehan Hussein.
Selain itu, sebanyak 45 tempat peserta dikhaskan bagi kanak-kanak yang memerlukan termasuk daripada Jamiyah, Pertapis, Darul Ihsan, serta Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) North East.
Encik Farehan turut menggariskan bahawa BH dan Singa Legends mempunyai misi sama iaitu menyumbang kembali kepada masyarakat.
Lantas, apabila timbul peluang bagi kedua-dua pihak bekerjasama, Encik Farehan tidak teragak-agak untuk memperluaskan inisiatif tersebut, menyusuli kejayaan kem pertama Singa Legends pada September lalu di Sekolah Rendah Sembawang, yang berjaya menarik 70 penyertaan dalam masa tiga jam sahaja.
Berucap di hadapan ibu bapa dan kanak-kanak di OTH, Encik Farehan berkata:
“Anak anda semua mempunyai impian. Anda semua juga mempunyai impian. Maka, amat penting untuk kita membuka ruang dan peluang melalui sukan buat anda semua.”
Selain latihan untuk kanak-kanak, kem itu turut merangkumi satu forum bola sepak khusus buat ibu bapa.
Pada hari pertama forum, ia dikendalikan wartawan BH, Khairul Akmal Ali, bersama Encik Farehan sebagai moderator, manakala barisan panelis pula merangkumi legenda bola sepak negara iaitu Fandi, Abbas, Samad dan Nazri.
Dalam sesi tersebut, mereka mengimbau kembali pengalaman dan zaman kegemilangan Singapura dalam saingan Piala Malaysia sekitar era 1980-an hingga 1990-an, selain berkongsi nasihat kepada ibu bapa dalam usaha menggilap bakat pelapis pada masa hadapan.
Antara perkara yang ditekankan ialah kepentingan disiplin, pengorbanan serta keperluan mengutamakan pelajaran seiring dengan minat dalam bola sepak.
Pada hari kedua pula, forum itu akan disertai oleh ketua fisioterapi pasukan kebangsaan, Cik Nurhafizah Abu Sujad.
Beberapa legenda bola sepak negara yang ditemui BH turut menyifatkan kem tersebut sebagai wadah bermakna dalam menyemai minat serta berkongsi pengalaman sebenar di padang bersama pelapis muda negara.
Bagi Fandi, penganjuran klinik sebegitu amat penting untuk mengasah bakat muda, namun beliau menasihatkan ibu bapa dan peserta agar sentiasa mengutamakan pelajaran demi masa depan terjamin.
Menurutnya, menerusi kem itu, beliau dapat melihat beberapa pemain yang memiliki potensi untuk melangkah lebih jauh dalam bola sepak.
“Saya perhatikan ada lima hingga enam pemain yang menunjukkan kemahiran hebat dan kesungguhan tinggi di stesen latihan tadi.
“Namun, saya harap mereka tumpukan perhatian kepada persekolahan dahulu sebelum perlahan-lahan naik ke peringkat kelab atau skuad remaja Singapura, dan paling penting, jangan mudah berputus asa,” ujarnya.
Dalam pada itu, Abbas yang tiba di Singapura dari Australia demi menjayakan kem tersebut, berkata program sebegitu berpotensi mencungkil permata baharu negara, manakala Samad pula berharap lebih banyak acara sebegini dianjurkan pada masa hadapan.
Kededuanya turut melahirkan penghargaan mereka kepada BH kerana membuka pintu untuk menganjurkan bersama kem itu dan mengembangkannya.
“Ibu bapa wajar dipuji kerana membawa anak mereka dan menunjukkan komitmen tinggi untuk terus terlibat.
“Mungkin pada mata kasar ia sekadar kem biasa yang terbuka kepada sesiapa sahaja, tetapi daripada sinilah kita berpeluang mencungkil bintang baharu, malah diharap lebih ramai lagi, yang mampu mengulangi kejayaan barisan legenda Singapura,” ujar Abbas sambil menanam hasrat agar kem sedemikian dapat dikembangkan ke serata Singapura.
Sependapat, Rafi turut menekankan bahawa kem sedemikian dapat memberikan peluang bagi bekas pemain mencurahkan asas permainan yang kukuh, disiplin serta kepentingan berdikari dalam membuat keputusan terbaik di atas padang.
Sambutan hangat daripada ibu bapa turut menyerikan penganjuran kem tersebut apabila ramai yang hadir awal demi memberi peluang kepada anak mereka menimba ilmu daripada barisan legenda bola sepak negara.
Bagi penjawat awam yang mahu dikenali sebagai Encik Farhan, 39 tahun, kem sedemikian memberi pendedahan kemahiran teknikal yang sangat bernilai buat anaknya.
“Memandangkan barisan Singa Legends pernah beraksi di pentas antarabangsa dan peringkat tertinggi, kem ini merupakan pengalaman bernilai buat anak-anak mengenali serta menimba ilmu daripada pemain terbaik,” ujar Encik Farhan, yang menghantar salah seorang daripada dua anaknya, Ihsan Farhan, 10 tahun, ke kem tersebut.
Pandangan itu turut dikongsi bapa tiga orang anak, Encik Kelvin Ong, 48 tahun, yang sanggup memandu dari Clementi bersama salah seorang anaknya, Kaelen Ong, 10 tahun, untuk mempelajari daripada legenda tempatan serta menyemai impian anaknya untuk menyarung jersi negara suatu hari nanti.
Kedua-dua Encik Farhan dan Encik Ong sebelum ini terlepas peluang menyertai kem sulung Singa Legends selepas tempat habis ditempah. Justeru, kesempatan pada edisi kedua ini amat mereka hargai.
Sementara itu, dua sahabat baik, Cik Ameliah Basir, 42 tahun, dan Cik Siti Hawa Ahmad Salleh, 41 tahun, pula menyifatkan kem itu sebagai cara terbaik mengisi masa cuti sekolah anak masing-masing – Alif Azfar Nur Azmy dan Absyar, kededuanya 11 tahun – sambil mendedahkan mereka kepada suasana latihan berbeza.
“Anak saya posisinya ialah penjaga gawang, maka kem ini membolehkannya membina keyakinan diri serta bertemu bekas penjaga gol negara seperti Zaiful Nizam dan Rezal Hassan,” kata Cik Ameliah, ibu tiga anak.
Anaknya, Alif, menyifatkan peluang berlatih di bawah bimbingan legenda tanah air amat bermakna kerana tokoh seperti Fandi dan Abbas menjadi sumber inspirasinya bermain bola sepak melalui kisah yang dikongsi bapanya.
Sementara itu, Cik Hawa pula menambah: “Peluang dilatih barisan legenda tanah air seperti ini sukar diperoleh di tempat lain, ia juga dapat mengajar anak saya supaya lebih terbuka serta bekerjasama dalam pasukan bersama rakan-rakan baharu.”
Salah seorang daripada empat anak Cik Hawa, Absyar, pula berkata sebelum acara itu, dia tidak sabar untuk bertemu dengan Fandi dan ingin belajar daripadanya agar dapat menjadi sepertinya.
Apabila ditanya apa yang dia bawa pulang selepas kem itu, Absyar, yang bermain di sayap kanan, berkata:
“Selepas ini, saya berhasrat menjadi pemain lebih berdisiplin dan sentiasa menghormati satu sama lain.”