Kem Khatib di Yishun akan memberi laluan kepada pembangunan perumahan baru, dengan fungsi dan operasinya dipindahkan ke Kem Amoy Quee yang kini sedang menjalani kerja-kerja pembangunan semula.
Menjawab pertanyaan The Straits Times (ST) pada 23 Julai, Kementerian Pertahanan (Mindef) menyatakan bahawa pembangunan semula Kem Amoy Quee serta infrastruktur dan kemudahan sokongannya telah bermula sejak April 2024 dan dijangka siap menjelang 2030.
Menurut Mindef, penggunaan tanah di Kem Amoy Quee yang terletak di Ang Mo Kio akan dipertingkat bagi menampung pemindahan unit, aset dan kemudahan dari Kem Khatib.
Kem tersebut juga akan menempatkan unit-unit operasi lain serta entiti penyelenggaraan dan pentadbiran berkaitan, bagi memastikan kesiapsiagaan operasi Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) kekal utuh. Mindef turut memaklumkan bahawa tanah Kem Khatib akan dikembalikan kepada pemerintah untuk pembangunan perumahan.
Kem Khatib kini meliputi kawasan seluas kira-kira 29 hektar dan terletak bersebelahan dengan kawasan Chencharu seluas 70 hektar yang bakal dibangunkan sebagai sebahagian daripada bandar Yishun.
Penggunaan semula tanah kem itu bagi tujuan perumahan dijangka menyumbang kepada pembangunan sekitar 10,000 unit kediaman di Chencharu menjelang tahun 2040.
Menurut Draf Pelan Induk 2025 oleh Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) yang dikeluarkan pada 25 Jun lalu, kawasan kem tersebut telah dikategorikan untuk pembangunan perumahan, namun masih belum diberikan nisbah plot kasar – angka yang menentukan keluasan maksimum lantai pembangunan yang dibenarkan.
Sekiranya kawasan tersebut diberikan nisbah plot sebanyak 2.8 – sama seperti lot kediaman berdekatan – penganalisis hartanah menjangkakan ia boleh menghasilkan lebih daripada 6,000 unit flat awam atau lebih daripada 9,000 unit kondominium.
Encik Alan Cheong, pengarah eksekutif bahagian penyelidikan dan perundingan di Savills Singapore, berkata bahawa saiz kawasan yang besar memberi perancang bandar fleksibiliti untuk merangkumi pelbagai jenis perumahan termasuk kediaman persendirian, unit kondominium dan kemudahan komersial.
Cik Christine Sun, ketua penyelidik dan perancang strategi di Realion Group, pula menambah bahawa rangkaian pengangkutan di sekitar kawasan kem itu mungkin perlu dinaik taraf demi keselesaan penduduk masa hadapan.
Ketika ini, bahagian kem yang paling hampir dengan Stesen MRT Khatib adalah kira-kira 400 meter, manakala bahagian paling hujung terletak sejauh kira-kira 1.2 kilometer dari stesen tersebut.
Cik Sun berkata kemungkinan besar flat awam akan dibina di kawasan itu, sejajar dengan jenis perumahan yang sudah wujud di sekelilingnya.
Dibina dengan kos $90 juta pada 1983, Kem Khatib terletak di kawasan yang dahulunya digunakan oleh Tentera Laut Diraja Malaysia sejak 1970 dan diserahkan kepada Singapura pada Februari 1982.
Pada peringkat awal, kem itu menempatkan Sekolah SAF Boys’, unit pertahanan udara dan lima unit artileri lain.
Kem Khatib telah lama menjadi ibu pejabat bagi Pasukan Artileri Singapura dan kini merupakan salah satu daripada empat kem SAF di mana anggota Perkhidmatan Negara (NSmen) boleh menjalani Ujian Kecergasan Jasmani Individu (IPPT) mereka.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg