Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Mindef, SAF punya unit tangani serangan terhadap maklumat kritikal

Jul 19, 2025 | 7:20 PM
chan chun sing, serangan siber, saf, mindef
Menteri Pertahanan, Encik Chan Chun Sing (berbaju hitam) memerhatikan penggunaan senjata oleh anggota kerahan semasa latihan di Kem Selarang pada 19 Julai 2025. - Foto ST

Unit tertentu daripada Kementerian Pertahanan (Mindef) dan Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) merupakan sebahagian daripada usaha menyeluruh pemerintah dalam menangani serangan siber terhadap infrastruktur maklumat kritikal Singapura, kata Menteri Pertahanan, Encik Chan Chun Sing, pada 19 Julai.

Encik Chan, yang ditemui media semasa lawatannya ke Kem Selarang di Loyang untuk menyaksikan latihan melibatkan lebih 2,000 anggota kerahan, menyatakan bahawa serangan siber adalah contoh ancaman baru yang perlu ditangani tentera.

Beliau bagaimanapun tidak memberi butiran terperinci mengenai unit yang terlibat.

Namun, Perkhidmatan Digital dan Perisikan (DIS) yang ditubuhkan pada 2022 merupakan unit SAF yang bertanggungjawab memastikan keselamatan ruang siber Singapura.

Khususnya, Markas Pertahanan Siber (DCCOM) yang dilancarkan pada Mac bertanggungjawab mempertahan Singapura daripada ancaman siber.

Pada 18 Julai, Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Nasional merangkap Menteri Ehwal Dalam Negeri, Encik K. Shanmugam, berkata infrastruktur penting Singapura kini menghadapi serangan siber daripada kumpulan penggodam.

Serangan kumpulan penggodam ancaman lanjut berterusan (APT) yang dipanggil UNC3886 tersebut menimbulkan ancaman serius bagi Singapura dan berpotensi menjejas keselamatan negara, ujarnya.

APT ialah sekumpulan penggodam canggih yang biasanya mencuri maklumat sensitif, mengganggu perkhidmatan penting dan menyerang prasarana penting seperti penjagaan kesihatan, syarikat telekomunikasi dan pengangkutan.

Ia juga secara lazimnya mempunyai kaitan dengan negara lain dan mempunyai sumber yang lebih luas berbanding penjenayah siber atau penggodam biasa.

Namun, Encik Shanmugam berkata pihak berkuasa sedang berusaha untuk menangani serangan tersebut.

Semasa lawatannya ke Kem Selarang, Encik Chan diberi taklimat tentang bagaimana sistem Pengerahan Pintar yang dibina dalam aplikasi mudah alih OneNS telah membantu mempercepat proses bagi anggota kerahan.

Encik Chan berkata:

“Dulu, seorang anggota kerahan biasanya memerlukan tiga hingga empat jam dari mula sampai habis.

“Hari ini, jika mereka benar-benar pantas, mereka boleh lakukannya dalam satu hingga dua jam sahaja.”

Sistem itu diperkenal pada Mac 2024 bagi unit-unit tertentu SAF dan ia akan diperluas kepada semua unit menjelang akhir 2025.

“Sudah tentu, SAF tidak pernah mudah berpuas hati. Kami akan terus memperhalusi proses kami untuk menjadikannya lebih lancar,” ujar Encik Chan.

Beliau turut menarik perhatian bahawa sebelum ini, latihan pengerahan banyak bergantung pada proses manual, yang menyebabkan anggota kerahan terpaksa beratur dan menunggu giliran untuk mendapatkan kelengkapan serta menjalani pemeriksaan kesiapsiagaan.

Dengan sistem baru ini, kehadiran mereka boleh dirakam secara digital dan anggota kerahan boleh menjalani pemeriksaan mereka dengan lebih cepat.

Encik Chan, yang dilantik sebagai Menteri Pertahanan pada 23 Mei, berkata komponen paling penting dalam pertahanan Singapura adalah semangat juang anggotanya dan SAF sedang meneliti cara untuk terus memperkukuh semangat ini serta tahap kesiapsiagaan operasi anggotanya.

Merujuk kepada cabaran operasi baru yang mungkin timbul, Encik Chan berkata Mindef dan SAF sentiasa meneliti pengajaran yang boleh diambil, termasuk daripada konflik di Eropah dan Timur Tengah.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg