Pendidikan mengenai kesan bahaya dadah dan mempelajari cara untuk menolak pengaruh dadah perlu bermula daripada muda, terutama sekali memandangkan kanak-kanak terdedah kepada media sosial sejak kecil.

Demikian menurut Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim pada 6 Jun, sewaktu ditemui di sebuah kem yang dianjurkan badan tidak meraih untung, The Kampung Bridge, dengan kerjasama Masjid Omar Salmah dan Biro Narkotik Pusat (CNB).

Malah, Dr Faishal memuji usaha masyarakat seperti kem tersebut, Camp Solat Urban 5.0, yang membuktikan kepentingan kerjasama rakan masyarakat berbeza untuk melanjutkan kempen Dadah Itu Haram.

Seramai 35 peserta merangkumi usia dari tujuh hingga 17 tahun menghadiri kem tiga hari yang menyelitkan program berkaitan bahaya dadah.

Ditemui di HomeTeamNS Bedok Reservoir, Dr Faishal berkata:

“Mereka hidup dalam dunia yang berlainan... di mana penggunaan media sosial semakin mendalam.

“Perkara yang dilihat di media sosial mungkin menarik perhatian mereka dan mereka tidak tahu kesan negatifnya.

“Melalui apa mereka lihat, ia mungkin akan mencetuskan rasa ingin tahu dengan lebih lanjut lagi, dan ini boleh mendatangkan bahaya dalam kehidupan mereka.

“Justeru kita harus adakan pendekatan dan mesej yang sesuai, yang boleh kita kongsi dengan mereka.”

Beliau menambah bahawa kem tersebut bukan sahaja memberi kesedaran tentang dadah itu haram tetapi juga menyentuh tentang aspek keagamaan dan perkongsian pengalaman mereka yang pernah terlibat dalam kancah dadah.

Sebagai sebahagian program, para peserta berpeluang mendengar pelbagai perkongsian, antaranya tentang bahaya penagihan, mempelajari senario berbeza dadah dapat diperkenalkan, dan menonton lakonan sketsa tentang cara berbeza untuk menolak pengaruh dadah.

Pengasas dan pengarah The Kampung Bridge, Encik Firdaus Abdul Hamid, berkata kem tersebut mendapat sambutan yang menggalakkan.

Menurutnya, kem tersebut lebih daripada sekadar mengajar cara solat.

Ia turut menjadi wadah untuk anak-anak muda membina keyakinan diri, memperkukuh kepercayaan mereka, dan membina hubungan positif dalam kalangan masyarakat.

Beliau menambah peserta datang daripada pelbagai latar belakang, dengan sesetengah daripada mereka merupakan anak bekas banduan.

“Kita lihat di berita hari ini. Usia 13 tahun sudah terlibat dalam ‘vaping’. Ada juga ibu yang memberikan anak (berusia) 15 tahun, dadah methamphetamine.

“Jadi kem ini sesuatu yang diperlukan,” ujarnya yang telah menganjurkan kem tersebut sebanyak lima kali sejauh ini.

Methamphetamine ialah sejenis dadah yang turut dikenali sebagai ‘Ice’.

Antara yang meraih manfaat menerusi kem tersebut ialah Hifza Dalilah Mohammad Haarifan, sembilan tahun.

Ditanya perkara paling berguna dipelajari, Hifza berkata bahawa dia sedar ada cara berbeza untuk mengatakan ‘tidak’ kepada pengaruh dadah.

Malah, pendekatan interaktif seperti lakonan sketsa membuatkan pembelajaran lebih seronok.

Ketika mengulas tindakan yang perlu diambil sekiranya didekati orang tidak dikenali mempelawa untuk mengambil dadah, dia menjelaskan:

“Ada banyak cara untuk kita katakan ‘tidak’.

“Anda boleh beredar daripada situ, anda boleh hubungi polis, atau terus katakan ‘tidak’.”