Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Antara dapatan panel: Komunikasi antara agensi perlu lebih jelas, tepat

Beyond Social Services tidak beri maklumat jelas kepada Perkhidmatan Perlindungan Kanak-Kanak
Oct 23, 2025 | 4:35 PM
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Yayasan Mendaki, Cik Zuraidah Abdullah, salah seorang daripada anggota Panel Semakan Untuk Memperkukuhkan Ekosistem Perlindungan Kanak-Kanak, membentangkan penemuan dan cadangan dalam satu laporan pada 21 Oktober.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Yayasan Mendaki, Cik Zuraidah Abdullah, salah seorang daripada anggota Panel Semakan Untuk Memperkukuhkan Ekosistem Perlindungan Kanak-Kanak, membentangkan penemuan dan cadangan dalam satu laporan pada 21 Oktober. - Foto ST

Satu panel semakan mendapati bahawa walaupun terdapat tindakan yang sesuai diambil oleh agensi-agensi yang terlibat dalam kes kematian kanak-kanak berusia empat tahun, Megan Khung, pada 2020, masih terdapat aspek di mana agensi-agensi berkenaan boleh melaksanakan tanggungjawab mereka dengan lebih baik.

Demikian menurut salah seorang anggota panel semakan itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Yayasan Mendaki, Cik Zuraidah Abdullah.

“Dalam semakan ini kami dapati ada beberapa situasi di mana agensi yang terlibat telah mengambil tindakan yang sesuai.

“Namun masih ada yang boleh diperbaiki. Contohnya komunikasi di antara agensi boleh lebih jelas supaya tidak ada salah faham,” ujar Cik Zuraidah yang merupakan anggota panel semakan.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media semasa pembentangan Laporan Penemuan Dan Cadangan Panel Semakan Untuk Memperkukuhkan Ekosistem Perlindungan Kanak-Kanak pada 21 Oktober di pejabat Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) di Bangunan CPF Bishan.

Selain Cik Zuraidah, panel tersebut dipengerusikan oleh Profesor Madya Kenneth Poon dan dianggotai Profesor Madya Dr Corrine Ghoh dari Universiti Nasional Singapura (NUS) dan Dekan dan Profesor Madya Dr Vincent Ng dari Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS).

Antara dapatan yang menunjukkan komunikasi kurang jelas ialah dua panggilan dibuat agensi khidmat sosial, Beyond Social Services (BSS) kepada Perkhidmatan Perlindungan Kanak-Kanak (CPS), yang tidak dirakam dan kemudian menjejas tindakan susulan yang diambil pegawai CPS.

Sementara itu, hasil semakan juga menunjukkan terdapat salah tanggapan umum bahawa laporan polis mengenai kanak-kanak yang hilang perlu dibuat oleh ahli keluarga kanak-kanak itu.

Dalam kes Megan, BSS, yang mengendalikan pusat prasekolah yang dihadirinya iaitu Healthy Start Child Development Centre (HSCDC), telah mendapatkan nasihat daripada CPS, Pusat Pakar Perlindungan Kanak-Kanak HEART @ Fei Yue (HFY) dan Agensi Pembangunan Awal Kanak-Kanak (Ecda) pada September dan Oktober 2019.

Daripada ketiga-tiga agensi itu, CPS dan Ecda telah menasihatkan agar nenek Megan membuat laporan polis.

Salah seorang pegawai polis yang telah dirujuk secara tidak rasmi oleh pekerja komuniti BSS juga memberi nasihat umum bahawa laporan polis perlu dibuat.

Meskipun pekerja komuniti itu cuba meyakinkan nenek Megan untuk membuat laporan polis, beliau enggan melakukan sedemikian kerana “tidak mahu renggang” dengan anaknya yang juga ibu kepada Megan, Foo Li Ping.

“Sepatutnya sudah jelas bagi BSS bahawa keinginan nenek Megan untuk tidak menjejas hubungannya dengan Foo, tidak seharusnya diutamakan melebihi keselamatan Megan,” kata panel itu.

Panel selanjutnya menyatakan bahawa undang-undang tidak menyekat siapa yang boleh membuat laporan polis.

“Sesiapa yang mempunyai maklumat tentang jenayah atau aktiviti yang mencurigakan boleh melaporkannya kepada polis.

“Kes kehilangan kanak-kanak sepatutnya menjadi punca kebimbangan bagi sesiapa yang mengetahuinya untuk membuat laporan polis,” tambah panel itu.

Dalam pada itu, dapatan menunjukkan pegawai Pasukan Polis Singapura (SPF) yang mengendalikan kes Megan gagal mematuhi proses sedia ada untuk memastikan kes kehilangan kanak-kanak disusuli dengan tindakan yang sewajarnya.

Pada 17 Januari 2020, ketika laporan polis pertama dibuat, Pegawai Siasatan (IO) menilai bahawa kes tersebut merupakan kes disiplin kanak-kanak dengan tahap kebimbangan keselamatan yang rendah.

SPF menjelaskan kepada panel bahawa penilaian itu dibuat berdasarkan beberapa pertimbangan.

Pertama, HSCDC dan BSS telah menilai kes tersebut sebagai satu bentuk “tindakan disiplin berlebihan” selepas menemukan kesan lebam pada badan Megan pada 19 Mac 2019, dan satu pelan keselamatan telah pun dilakarkan pada masa itu.

Selain itu, tiada laporan lain mengenai penderaan yang disyaki antara 19 Mac 2019 dengan 17 Januari 2020, iaitu tarikh laporan polis dibuat.

Akhir sekali, Megan ketika itu berada di bawah jagaan ibu kandungnya.

Pegawai Penyelia (OC) pasukan bertugas telah menyemak semua laporan yang dibuat sepanjang syif tersebut dan menyedari terdapat satu kes yang melibatkan unsur disiplin kanak-kanak yang ditugaskan kepada IO.

OC tersebut pada mulanya berhasrat untuk membincangkan laporan itu dalam sesi semakan kes berkala bersama para penyelia pada keesokan harinya.

Namun, selepas berbincang dengan IO, yang memaklumkan bahawa beliau akan membuat susulan dengan menghubungi dan menjejak Foo, OC tersebut memutuskan untuk tidak membawa perkara itu ke sesi semakan.

IO kemudian cuba menjejaki Foo dan Megan selama kira-kira dua minggu tetapi tidak berjaya, sebelum akhirnya beliau diarahkan untuk melaksanakan tugasan berkaitan Covid-19.

Kegagalan ini telah menghalang tindakan yang tepat dan segera terhadap laporan pertama yang dibuat nenek Megan.

Menurut SPF dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada 23 Oktober, kededua pegawai terlibat telah dikenakan tindakan disiplin secara dalaman.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg