Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kematian pemilik Sumo Salad: MOM siasat tuntutan kecederaan di tempat kerja

Polis juga sedang jalankan siasatan, maklumat lanjut akan didedahkan setelah siasatan selesai
Jul 24, 2025 | 5:52 PM
Pemilik rangkaian perniagaan salad Sumo Salad, Cik Jane Lee, meninggal dunia sehari selepas memuat naik hantaran Facebook yang mendakwa bahawa seorang bekas pekerjanya telah buat-buat jatuh dua hari sebelum kontraknya tamat.
Pemilik rangkaian perniagaan salad Sumo Salad, Cik Jane Lee, meninggal dunia sehari selepas memuat naik hantaran Facebook yang mendakwa bahawa seorang bekas pekerjanya telah buat-buat jatuh dua hari sebelum kontraknya tamat. - Foto FACEBOOK JANE LEE, SUMO WELL

Kementerian Tenaga Manusia (MOM) sedang menyiasat satu tuntutan kecederaan di tempat kerja yang disyaki palsu, menyusuli laporan oleh mendiang pemilik rangkaian perniagaan salad Sumo Salad, Cik Jane Lee, kata Menteri Negara (Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Tenaga Manusia), Encik Dinesh Vasu Dash, sambil menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mendiang.

Menjawab pertanyaan The Straits Times (ST) semasa sesi media di acara Tripartite Connect pada 24 Julai, beliau berkata MOM “telah berhubung dengan Cik Lee sebelum pemergiannya, dan kami akan bekerjasama dengan syarikat insurans untuk menguruskan tuntutan yang diperlukan”.

Beliau menambah bahawa siasatan polis juga sedang dijalankan, dan maklumat lanjut akan didedahkan setelah siasatan selesai.

Cik Lee meninggal dunia sehari selepas memuat naik dua hantaran Facebook pada 18 Julai, yang mendakwa bahawa seorang bekas pekerjanya telah buat-buat jatuh dua hari sebelum kontraknya tamat, dalam cubaan menuntut pampasan kecederaan di tempat kerja daripada syarikat.

Ibu dua anak itu turut mendakwa insiden tersebut telah dirancang lebih awal dengan penglibatan suami pekerja berkenaan dan berkemungkinan sebuah firma guaman.

Beliau juga menggesa MOM dan polis menyiasat kesahihan tuntutan itu dengan teliti, lapor ST.

Encik Dinesh menegaskan bahawa jika terdapat kelakuan tidak jujur yang jelas dalam kalangan pekerja, tindakan sewajarnya perlu diambil bagi melindungi majikan serta tenaga kerja secara am.

“Dalam kes di mana pekerja bertindak keterlaluan, tindakan perlu diambil demi kepentingan pekerja sendiri, agar mereka tidak terdedah kepada kecederaan,” tambah Encik Dinesh.

Insiden itu mengundang simpati ramai pihak dan mendorong beberapa pemilik syarikat kecil dan sederhana (SME) untuk berkongsi tekanan besar yang mereka hadapi ketika mengendalikan kes kecederaan di tempat kerja, sama ada ia dibuat-buat atau benar-benar berlaku.

Pemilik syarikat pengeluar makanan beku halal Pondok Abang, Encik Hasan Abdul Rahman, berkata kebanyakan kecederaan di tempat kerja boleh dielakkan jika kakitangan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) syarikat.

Walaupun beliau tidak pernah menghadapi kes penipuan secara langsung, Encik Hasan mengakui terdapat rasa ragu-ragu apabila kecederaan berlaku hampir dengan tarikh tamat kontrak pekerja.

Namun, menurut beliau, sebilangan besar majikan memilih untuk mengelak pertikaian dan pemeriksaan pihak berkuasa dengan menumpukan kepada rawatan pekerja serta penyelesaian tuntutan bersama syarikat insurans.

Pemilik SME lain pula berkata tuntutan palsu jarang berlaku. 

Pemilik On Cheong Jewellery, Encik Charles Ho, berkata majikan yang telah lama bekerja dengan pekerjanya biasanya memahami perangai mereka dengan baik. 

Contohnya, beliau memutuskan untuk terus membayar gaji seorang pekerja yang terjatuh di tempat kerja walaupun cuti sakitnya sudah tamat, kerana mempercayainya.

Dalam satu kenyataan pada 21 Julai, MOM berkata majikan boleh mendapatkan bantuan daripada pihak kementerian jika mereka mempunyai kebimbangan mengenai tuntutan palsu oleh pekerja.

MOM menjelaskan bahawa pekerja yang membuat tuntutan terhadap Sumo Salad dilindungi di bawah Akta Pampasan Kecederaan di Tempat Kerja (Wica).

Wica membenarkan pekerja menuntut pampasan bagi kecederaan dan penyakit yang berlaku di tempat kerja atau akibat kerja.

Namun, mereka yang menyalahgunakan sistem ini pernah dikenakan tindakan. 

Pada 2021, dua pekerja asing dijatuhi hukuman penjara kerana membuat tuntutan palsu di bawah Wica dan memberikan maklumat palsu kepada pegawai siasatan MOM.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg