Topik diikuti
Pergi ke BHkuKembali jadi pendidik, mahu jadi sumber inspirasi kepada pelajar maritim masa depan
Kembali jadi pendidik, mahu jadi sumber inspirasi kepada pelajar maritim masa depan
Sewaktu Kapten Mohamad Salleh Ahmad Sarwan menjalani latihan Pra-Pelayaran di Politeknik Singapura (SP) pada 1978, para pelajar tidak mempunyai kemewahan teknologi seperti realiti terimbuh mahupun simulator sebelum operasi di laut buat julung kalinya.
Beliau, kini berusia 66 tahun, mengimbau kembali perasaan ‘agak terpinga-pinga’ pada hari pertamanya di atas kapal, malah mengaitkan pengalaman tersebut seperti ‘terjun botol’.
Walau bagaimanapun, latihan tersebut bukan sahaja melengkapi dirinya dengan kemahiran asas ilmu pelayaran, malah memupuk nilai-nilai murni seperti disiplin, semangat kerja berpasukan dan ketabahan yang menjadi asas kerjaya pelayarannya dari 1978 hingga 1992.
Lama-kelamaan, timbul hasrat yang kian mendalam dalam diri Kapten Salleh untuk menyampaikan ilmu pengetahuannya yang luas kepada generasi pelaut masa hadapan.
Maka itu, beliau kembali ke SP sebagai seorang pendidik.
Menjangkau lebih tiga dekad, tempoh perkhidmatannya merangkumi peranan sebagai Pengarah Akademi Maritim Singapura (SMA).
Dalam sesi temu bual bersama Berita Minggu (BM) baru-baru ini, beliau berkata:
“Ada banyak ilmu dan pengalaman yang ingin saya berkongsi bersama generasi muda, dengan harapan dapat memberi inspirasi kepada mereka yang bercita-cita mahu menjadi pakar maritim... inilah antara sebab saya kembali berkhidmat sebagai pendidik.
“Peluang meneroka dunia bukanlah peluang yang mudah ditemui ketika zaman saya bergelar pelajar. Justeru, saya merasakan amat penting bagi saya kembali dan memastikan saluran bakat maritim terus diperkasakan.
“Apabila kami bersara, kami ingin melahirkan individu yang terlatih, berdaya tahan dan tangkas menyesuaikan diri supaya tradisi warga Singapura menjadi pelaut terus terpelihara.”
Kisah perintis seperti Kapten Salleh dikongsi semasa acara ‘Kepulangan SP 2026’ di kampus asal Prince Edward Road pada 10 Oktober.
Acara tersebut, yang bertema Generasi Bersepadu, Inspirasi Masa Depan, menyaksikan beberapa perintis daripada pelbagai industri kembali menyerikan majlis untuk berkongsi kenangan sewaktu menuntut di SP serta perjalanan kerjaya mereka.
Acara tersebut turut menampilkan segmen khas yang mengimbas sejarah permulaan SP, perkembangan institusi itu mengikut peredaran zaman, serta kisah inspirasi ahli keluarga daripada pelbagai generasi yang sama-sama menuntut di politeknik berkenaan.
Pada 1992, Kapten Salleh kembali ke SP sebagai pensyarah, setelah bertugas di syarikat perkapalan, Neptune Orient Lines (NOL), dari 1978 hingga 1992.
Kemudian, beliau menjadi Pengarah SMA dari 2015 hingga 2022.
Kini beliau bertugas sebagai Pakar Kanan (Navigasi dan Pengendalian Kapal) di SMA.
Antara skop tugasnya ialah mengajar perniagaan maritim yang sebahagian daripada program Pendidikan dan Latihan Berterusan (CET), untuk karyawan yang kembali untuk meningkatkan kemahiran.
Kapten Salleh, yang telah membesarkan dua anak, turut kembali ke tanah air setelah menjadi bapa.
Beliau berseloroh bagaimana isteri dan anak perempuannya pernah berlayar bersamanya ketika anaknya itu masih berusia setahun.
Berbekal pengalaman luas tersebut, Kapten Salleh telah menyaksikan sendiri perkembangan pesat dalam industri maritim.
Oleh itu, beliau menyedari betapa pentingnya menyediakan latihan yang sejajar dengan peredaran zaman demi melahirkan pelapis pakar maritim yang berkaliber dan berdaya saing di tengah-tengah arus perubahan.
Beliau menjelaskan bagaimana keupayaan pakar maritim tidak lagi terhad kepada ilmu pelayaran, sebaliknya merangkumi pengurusan perkapalan serta kebolehan menyesuaikan diri dengan automasi, pendigitalan, kemampanan dan juga peralihan kepada sumber tenaga alternatif.
“Di sinilah SP menerusi SMA memainkan peranan penting dalam mencipta dan menyampaikan program baharu yang sejajar dengan perkembangan industri,” kata Kapten Salleh.
Beliau menambah peranan itu bertambah penting kerana SP merupakan institut latihan maritim utama di Singapura, dan juga terkemuka di peringkat antarabangsa.
Pengarah SMA terkini, Kapten Chatur Wahyu, berkongsi sentimen itu, sambil menambah bahawa pelajar di SMA sentiasa menyediakan persediaan rapi agar pelajar dapat mengemudi industri maritim dengan lebih yakin.
Beliau memberikan contoh memperkenalkan kursus untuk melatih pelajar mengendalikan kapal yang menggunakan sumber tenaga hijau, seperti minyak Ammonia dan Methanol.
Kapal kini juga menggunakan teknologi yang semakin canggih tetapi kompleks, sekali gus mendedahkan kru kepada serangan siber atau kerosakan sistem navigasi, tambahnya.
Kapten Chatur berkata:
“Kini, kami melatih pelajar mengemudi situasi seperti serangan siber supaya mereka dapat bertindak dengan berkesan.”
Kapten Salleh turut memainkan peranan dalam menyediakan latihan mengikut perkembangan terkini industri itu.
Kapten Salleh telah menerajui penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk mencipta platform latihan autentik menerusi teknologi realiti maya (VR) dan realiti terimbuh (AR).
Terdapat juga simulator yang memberikan gambaran seluas 240 darjah untuk para pelajar melatih tugas navigasi di dalam kapal.
Contoh teknologi seperti itu, jelas Kapten Salleh, memberi pelajar peluang meneroka pelbagai peranan perkapalan sebelum berlayar.
Dengan perkembangan pesat kecerdasan buatan (AI) dalam industri maritim juga, SMA ingin memastikan pelajar menerima latihan yang lebih tepat.
Lantas, keputusan SMA untuk menerap kemahiran berfikir pada aras tinggi dalam sekurang-kurangnya 60 peratus kurikulum menjelang tahun akademik seterusnya, bakal membantu mempersiapkan pelajar bagi menggunakan AI dengan berkesan, kata Kapten Salleh.
Menurut Kapten Salleh, SMA melatih pelajar hanya memanfaatkan AI seperti sokongan tambahan.
“Ia boleh memberi maklumat, tetapi manusia yang perlu meneliti maklumat dan membuat keputusan muktamad,” ujarnya.
Walaupun sudah mengajar lebih 30 tahun, Kapten Salleh sentiasa peka dan mengikuti perkembangan teknologi terkini
“Walaupun saya sudah berusia, saya tetap menggunakan beberapa fungsi teknologi maklumat untuk meningkatkan mutu pengajaran saya.
“Ia mencabar untuk mempelajari banyak pembaharuan ini, tetapi saya belajar daripada rakan sekerja dan juga anak didik saya,” kongsi Kapten Salleh.
Dalam pada itu, SP mendedahkan bahawa $2.285 juta telah dikumpul setakat 5 Oktober untuk Biasiswa Kepulangan Kampus Prince Edward Road 2026, yang akan membantu 91 pelajar sepanjang pengajian mereka di SP.
Kutipan dana tersebut merupakan hasil usaha rangkaian sokongan SP, termasuk tenaga kerja serta ahli Lembaga Gabenor terdahulu dan sedia ada.