Takdir yang sudah tertulis seakan-akan tidak mampu memisahkan pasangan kembar seiras, Encik Suhairin Jeffry dan Encik Suhazrin Jeffry.

Selama lebih 18 tahun, kededuanya yang kini berusia 36 tahun, meniti pelbagai fasa kehidupan bersama, termasuk menghabiskan tiga tahun di Politeknik Temasek dalam kursus Diploma Kejuruteraan yang sama.

Meski mempunyai personaliti dan perwatakan yang berbeza sedikit, haluan kerjaya mereka sama tatkala mengambil keputusan menyertai Pasukan Polis Singapura (SPF) pada 2011, dan kini menggalas amanah sebagai Inspektor Balai (SI) bagi Polis Trafik (TP).

Mereka bahkan kerap menghabiskan masa bersama sejak di bangku sekolah kerana lebih selesa dengan satu sama lain.

Kata Encik Suhazrin tentang abang kembarnya:

“Jarak kelahiran antara saya dengan abang ialah 11 minit. Suhairin lebih periang.

“Tapi sejak kecil lagi, kami agak pendiam dan lebih banyak bergaul sesama sendiri.

“Di sekolah pun, kami lebih selesa bersama-sama. Saya rasa ikatan kami begitu kuat sehingga sukar untuk memisahkan kami berdua. Malah, kami mungkin antara pasangan kembar yang tidak boleh berjauhan terlalu lama.”

Keakraban yang terjalin sampai ke alam pekerjaan, yang disifatkan sebagai satu ketentuan takdir, memandangkan Encik Suhazrin menyusul memohon bagi tugasan di TP beberapa bulan selepas abangnya, Encik Suhairin.

“Ketika itu, kami hanya menyatakan keutamaan dari segi unit mana yang kami inginkan, dan TP memang menjadi pilihan utama kami. Namun, kami menyerahkan keputusan itu kepada SPF dan menerima apa sahaja hasilnya,” kata beliau.

Malah, pada suatu masa, mereka berdua berkhidmat sebagai Ketua Sektor sebelum menggalas peranan baharu pada 2023, di mana Encik Suhairin kini bertugas sebagai Penolong Pegawai Perancangan di Jabatan Penyelidikan, Perancangan dan Organisasi (RPOD), manakala Encik Suhazrin mengetuai Unit Peronda.

Kenangan dan pengalaman yang dikongsi sepanjang kerjaya itulah, kata mereka, yang terus mengukuhkan semangat setia kawan yang penting ketika menjalankan tugas.

Mereka mengimbas kembali perjalanan kerjaya tersebut sempena Hari Polis 2026 di Akademi Home Team (HTA) pada 3 Jun.

Disambut setiap tahun sejak 1971, Hari Polis memperingati pencapaian SPF, mengiktiraf sumbangan pegawai terdahulu dan masa kini, serta menghimpunkan warga pasukan itu untuk memperbaharui ikrar berkhidmat kepada negara.

Acara itu dihadiri lebih 290 pegawai, selain kadet daripada Pasukan Kadet Polis Kebangsaan (NPCC), dan diserikan dengan kehadiran Menteri Undang-Undang merangkap Menteri Kedua Ehwal Dalam Negeri, Encik Edwin Tong, selaku tetamu terhormat.

Sambutan Hari Polis pada 3 Jun diserikan dengan kehadiran Menteri Undang-Undang merangkap Menteri Kedua Ehwal Dalam Negeri, Encik Edwin Tong (bertali leher) selaku tetamu terhormat.
Sambutan Hari Polis pada 3 Jun diserikan dengan kehadiran Menteri Undang-Undang merangkap Menteri Kedua Ehwal Dalam Negeri, Encik Edwin Tong (bertali leher) selaku tetamu terhormat. - Foto ST

Menurut Encik Tong, landskap jenayah kian berubah dengan ancaman yang lebih rumit, canggih dan sering kali kurang kelihatan berbanding pada masa lalu.

“Meskipun berdepan cabaran yang semakin rumit, SPF terus melaksanakan tugas dengan penuh dedikasi bagi mendahului ancaman baharu serta melindungi keselamatan dan cara hidup masyarakat Singapura.

“Sempena Hari Polis, kita mengiktiraf komitmen dan pengorbanan para pegawai polis serta merakamkan penghargaan kepada mereka dan keluarga masing-masing atas segala usaha yang dicurahkan demi memastikan Singapura kekal selamat,” katanya.

Dalam pada itu, Encik Suhairin dan Encik Suhazrin, yang juga menggalas amanah sebagai bapa, berkata antara kenangan paling bermakna sepanjang kerjaya mereka ialah peluang terlibat dalam operasi dan tugasan berskala besar, termasuk semasa sambutan Hari Kebangsaan.

Encik Suhairin mempunyai tiga anak berusia lima, sembilan dan 11 tahun, manakala Encik Suhazrin mempunyai dua anak berusia tiga dan empat tahun.

Walaupun akur kerjaya dalam perkhidmatan polis itu mencabar, ia kekal sebagai bidang yang telah lama diimpikan kedua-duanya sejak kecil.

Mereka meraih inspirasi daripada bapa mereka, Encik Jeffry Ahyari, 60 tahun, yang juga mantan paramedik Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF).

“Sejak kecil, ayah sering membawa kami ke tempat kerjanya di SCDF. Pengalaman itu membuka mata kami tentang nilai membantu orang lain dan berkhidmat kepada masyarakat.

“Ia menjadi antara faktor yang mendorong kami menyertai pasukan berseragam. Walaupun bukan dalam SCDF, kami mahu meneruskan semangat menabur khidmat yang ditunjukkan ayah,” kata Encik Suhairin.

Hubungan akrab antara mereka turut melahirkan pelbagai detik lucu sepanjang kerjaya.

Dalam satu kejadian, seorang mangsa kemalangan yang pernah dibantu Encik Suhairin tersilap mengucapkan terima kasih kepada Encik Suhazrin apabila bertemu dengannya pada keesokan hari.

“Kejadian seperti itu memang pernah berlaku beberapa kali. Biasanya kami hanya tersenyum dan menjelaskan keadaan sebenar,” kata Encik Suhairin.

Dengan pasangan kembar ini baru sahaja menyambut hari lahir mereka pada 28 Mei, mereka berharap dapat terus menyumbang kepada keselamatan jalan raya di samping kemajuan teknologi yang membantu mencapai misi ini.

“Dalam tugasan kami, akan sentiasa ada usaha dan kemajuan baharu. Kami berharap dapat terus menyumbang dan memainkan peranan dalam menyokong perkembangan tersebut demi meningkatkan keberkesanan operasi dan keselamatan masyarakat,” kata Encik Suhairin, dipersetujui Encik Suhazrin.

Anugerah bagi Divisyen Darat Terbaik, Unit Perkhidmatan Negara (NS) yang Bersedia Beroperasi Terbaik, Pegawai Polis Perkhidmatan Negara Sepenuh Masa (PNSF) Terbaik serta Anggota Polis Perkhidmatan Negara (PNSman) turut disampaikan pada acara itu.

Dalam pada itu, Encik Suhairin dan Encik Suhazrin, yang juga menggalas amanah sebagai bapa, berkata antara kenangan paling bermakna sepanjang kerjaya mereka ialah peluang terlibat dalam operasi dan tugasan berskala besar, termasuk semasa sambutan Hari Kebangsaan.

Walaupun akur kerjaya dalam perkhidmatan polis itu mencabar, ia kekal sebagai bidang yang telah lama diimpikan kedua-duanya sejak kecil.