Topik diikuti
Pergi ke BHkuKemboja minta CNA perbetul laporan berhubung pelajar S’pura yang ‘hilang’
Kemboja minta CNA perbetul laporan berhubung pelajar S’pura yang ‘hilang’
Kemboja minta CNA perbetul laporan berhubung pelajar S’pura yang ‘hilang’
PHNOM PENH: Kementerian Penerangan Kemboja meminta saluran berita Singapura, Channel NewsAsia (CNA), supaya membuat pembetulan secara terbuka berkenaan kes ‘kehilangan’ seorang belia tempatan di negara itu.
Langkah itu diambil selepas pihak berkuasa Kemboja mengesahkan bahawa belia berkenaan, Cik Siti Aishah Siregar Sahat Siregar, 20 tahun, melakukan perjalanan ke Kemboja secara sukarela, dan bukannya mangsa pemerdagangan manusia atau ditahan tanpa kerelaannya.
Pihak kementerian Kemboja turut menuduh agensi berita itu menyiarkan laporan sebelah pihak yang telah mencemarkan reputasi negara itu secara tidak adil.
Dalam satu kenyataan pada 3 Ogos, jurucakap kementerian, Encik Tep Asnarith, berkata hasil siasatan rasmi Kemboja menunjukkan bahawa warga Singapura berkenaan melakukan perjalanan ke Kemboja atas kemahuan sendiri.
Beliau ke sana untuk menangani tekanan emosi serta tekanan berkaitan keluarga, dan tiada sebarang jenayah pemerdagangan manusia, penculikan atau penipuan dalam talian yang berlaku.
“Kes ini telah diselesaikan dan secara rasmi mengesahkan bahawa ia tidak mempunyai sebarang kaitan dengan kesalahan pemerdagangan manusia atau sebarang penipuan dalam talian, bertentangan dengan laporan yang disiarkan oleh sesetengah media asing,” kata Encik Asnarith.
Menerusi satu video, Siti Aishah turut mengesahkan bahawa tiada sesiapa yang memaksa, memperdaya atau membahayakan nyawanya sepanjang beliau berada di Kemboja.
Kementerian itu berkata laporan awal CNA sebahagian besarnya hanya bersandarkan kebimbangan dan perasaan sangsi pihak keluarga Siti Aishah, sebelum mendapatkan pengesahan daripada pihak berkuasa Kemboja.
Tindakan tersebut sekali gus menghasilkan gambaran tidak tepat mengenai negara itu.
“Pada peringkat awal pelaporan, CNA tergesa-gesa menyiarkan berita tersebut dengan hanya bergantung kepada dakwaan sebelah pihak dan sumber syak wasangka, bersama rayuan keluarga di media sosial.
“Ini dilakukan sambil mengaitkan kes berkenaan dengan naratif negatif mengenai pemerdagangan manusia dan penipuan dalam talian sebelum mendapatkan maklumat rasmi atau hasil siasatan daripada pihak berkuasa Kemboja,” kata kenyataan itu.
Kementerian itu menambah bahawa laporan sedemikian telah “mewujudkan kekeliruan serius dalam kalangan masyarakat antarabangsa”, mencemarkan reputasi Kemboja secara tidak adil serta menjejas usaha berterusan negara itu dalam membanteras operasi penipuan dalam talian rentas sempadan.
Pihak kementerian mengakui bahawa CNA telah mengemas kini artikelnya selepas negara itu mengeluarkan hasil siasatan mereka, namun menyatakan bahawa tindakan mengubah laporan secara senyap-senyap tidak memadai.
“Agensi media berkenaan sepatutnya menunjukkan tanggungjawab profesional dengan menyiarkan pembetulan awam berasingan yang sama menonjol dan ketara seperti laporan asal yang menimbulkan rasa sangsi terhadap Kemboja.
“Ini bagi memperbetul kekeliruan orang ramai, mengembalikan keadilan dan memulihkan reputasi negara (Kemboja),” kata Encik Asnarith.
Kementerian itu seterusnya berhujah bahawa “pelanggaran prinsip asas kewartawanan tidak boleh dipadamkan melalui kemas kini atau suntingan secara senyap” dan menggesa CNA supaya mengakui secara rasmi apa yang disifatkannya sebagai kesilapan dalam pelaporan.
Pihak kementerian turut mengecam tindakan memperbesarkan urusan peribadi sesebuah keluarga menjadi berita antarabangsa tanpa fakta yang mencukupi.
Pelaporan berasaskan andaian dan dakwaan tanpa bukti bukan sahaja menjejas privasi serta kesejahteraan psikologi belia berkenaan, malah turut merosakkan imej Kemboja, tambah kementerian itu.
Kontroversi itu timbul menyusuli laporan CNA pada 31 Julai, yang menyatakan bahawa keluarga Siti Aishah sedang mencarinya selepas beliau membuat perjalanan ke Kemboja secara tiba-tiba dan gagal dihubungi. – Agensi berita.