Pelajar Politeknik Nanyang (NYP), Cik Siti Aishah Siregar Sahat Siregar, 20 tahun, yang ditemui dalam keadaan selamat di Kemboja selepas dilaporkan hilang oleh keluarganya, berkata beliau telah pergi ke negara itu berdasarkan keputusan sendiri dan bukan dipaksa mahupun ditipu.

Tampil dalam sebuah video yang dimuat naik ke laman Facebook The Phnom Penh Post pada 1 Ogos, Cik Aishah menjelaskan bahawa beliau memutuskan untuk pergi ke Kemboja untuk bekerja sebagai guru bahasa Inggeris.

“Keputusan untuk meninggalkan keluarga saya di Singapura dan datang ke Kemboja ini pilihan saya sepenuhnya.

“Saya tidak dipaksa untuk datang ke sini (Kemboja). Saya tidak ditipu untuk datang ke sini,” ujarnya.

Tambahnya, beliau juga tidak dipaksa menyertai sebarang kegiatan penipuan atau jenayah mahupun terlibat dengannya.

Dalam video 1 minit 16 saat itu, Cik Aishah juga berkata kehidupannya di Singapura terlalu tertekan dan oleh itu, mahu membentuk laluan kehidupannya sendiri.

Berita Minggu (BM) telah menghubungi keluarga Cik Aishah untuk mendapatkan respons mereka pada 1 Ogos.

Sebelum ini, Cik Aishah dilaporkan tidak dapat dihubungi sejak sekitar 5.30 petang pada 28 Julai.

Bercakap dengan BM pada pagi 31 Julai, abangnya, Encik Muhammad Syafiq Siregar Sahat Siregar, 26 tahun, berkata keluarganya ingin menjemput Cik Aishah pulang dari sekolah tetapi tidak berjaya menghubunginya.

Pihak polis kemudian memberitahu keluarganya bahawa beliau telah diperiksa di Lapangan Terbang Changi sekitar 2 petang pada 28 Julai, di mana beliau didapati meninggalkan Singapura dengan menaiki penerbangan Emirates.

Berdasarkan laporan polis yang dilihat BM, Cik Aishah telah menempah tiket penerbangan sehala ke Lapangan Terbang Antarabangsa Techo di Kemboja pada 28 Julai menerusi penerbangan Emirates EK348.

Laporan tersebut juga menyatakan bahawa Cik Aishah telah daftar bagi Pas Pelawat Elektronik Kemboja yang sah digunakan dari 28 Julai hingga 27 Ogos 2026.

Pada 31 Julai, 10.28 malam, pihak polis memaklumkan kepada BM bahawa Cik Aishah telah ditemui oleh Polis Kebangsaan Kemboja dalam keadaan selamat.

Dalam kenyataannya, polis memaklumkan pihaknya telah menghubungi Polis Kebangsaan Kemboja untuk mendapatkan maklumat lanjut serta memberikan bantuan lanjut yang sewajarnya.

“Kementerian Ehwal Luar (MFA) dan Kedutaan Singapura di Phnom Penh turut memberikan bantuan konsular kepada keluarga terbabit.

“Polis turut merakamkan penghargaan kepada pihak berkuasa Kemboja atas bantuan pantas yang diberikan,” menurut kenyataan itu.