Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kemudahan baru di Jurong pendekkan masa buat konkrit, kurangi pelepasan karbon

Nov 27, 2024 | 4:21 PM
Menteri Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee (empat dari kanan), melihat laluan penghantar Pelabuhan Jurong semasa meninjau ekosistem baru konkrit siap dicampur.
Menteri Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee (empat dari kanan), melihat laluan penghantar Pelabuhan Jurong semasa meninjau ekosistem baru konkrit siap dicampur. - Foto ST

Sebuah kemudahan sehenti baru bagi pembuatan konkrit di Jurong akan menyingkatkan masa pengeluaran di samping mengurangkan pelepasan karbon serta mengurangkan lebih sejuta perjalanan trak setahun.

Ekosistem konkrit siap dicampur (RMC) di Pelabuhan Jurong itu menggunakan lima tali sawat penyampai untuk memindahkan simen dan bahan mentah ke tapak simpanan di pelabuhan itu dan kilang pengeluaran tempat ia dicampur menjadi konkrit.

Kemudahan bernilai $200 juta itu, yang beroperasi sejak September 2023, akan mengurangkan keperluan bagi bahan-bahan tersebut dipindahkan menggunakan trak. 

Ini membawa Pelabuhan Jurong lebih dekat kepada rancangan membangunkan taman pembinaan bersepadu pertama di Singapura, yang yang akan menempatkan pelbagai kemudahan pembinaan, lapor The Straits Times.

Dalam fasa seterusnya pembangunan taman pembinaan bersepadu itu, hab pembinaan dan pasang siap bersepadu (ICPH) – tempat komponen bangunan pratuang dibuat menggunakan sistem automatik – dan dua lagi loji pengelompokan RMC akan dibina menjelang 2027.

Pada pelancaran taman pembinaan bersepadu itu pada 27 November, Menteri Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee, berkata pihak berkuasa merancang membina lebih banyak kemudahan serupa di seluruh Singapura, termasuk di Pulau Punggol Barat.

“Mendekatkan kemudahan pembinaan yang berkaitan, seperti menempatkan bersama import pasir dan granit dengan pengendalian simen dan besi, dapat menjimatkan masa dan sumber,” kata Encik Lee.

Pada 28 Oktober, Penguasa Bangunan dan Pembinaan (BCA) membuka tender bagi perunding untuk menjalankan kajian kebolehlaksanaan dan mencadangkan reka bentuk konsep bagi taman pembinaan bersepadu seterusnya di Pulau Punggol Barat.

Kajian tersebut dijangka selesai pada separuh pertama 2027. 

Dokumen tender menyatakan tapak yang akan dikaji bagi pembangunan baru itu merangkumi kawasan seluas sekitar 74 hektar – lebih dua kali ganda saiz taman pembinaan bersepadu di Pelabuhan Jurong, yang sekitar 35 hektar apabila siap kelak. 

Encik Lee menyebut ekosistem RMC di Pelabuhan Jurong sebagai contoh projek yang meningkatkan produktiviti dan kemampanan dalam rantaian bekalan pembinaan. 

Loji pengelompokan RMC dalam ekosistem itu masing-masing boleh menghasilkan 45,000 meter padu konkrit sebulan, peningkatan sebanyak 50 peratus daripada kapasiti sebelumnya, kata beliau.

Encik Lee menambah bahawa loji-loji itu akan menyokong permintaan konkrit di kawasan barat Singapura.

Tali sawat penyampai sepanjang 700 meternya boleh mengangkut 800 tan bahan binaan ke kawasan penyimpanan dan loji pengelompokan setiap jam, berbanding purata 650 tan setiap jam apabila trak digunakan untuk menghantar bahan mentah dari Tuas ke kawasan penyimpanan di seluruh Singapura.

Operasi Terminal Agregat Tuas, yang mengimport bahan mentah seperti pasir dan granit yang digunakan dalam proses pembinaan, telah dipindahkan ke Pelabuhan Jurong pada akhir 2023.

Encik Lee berkata, terminal agregat Singapura mengendalikan sehingga 33 juta tan pasir dan granit setahun, yang memerlukan lebih empat juta perjalanan trak untuk mengangkut bahan-bahan tersebut ke kawasan penyimpanan dan kemudahan pengeluaran di seluruh Singapura.

Dengan sistem pemindahan automatik di Pelabuhan Jurong, sekitar satu juta perjalanan trak setahun dapat dijimatkan, katanya.

“Ini adalah langkah ke arah yang betul... ke arah kecekapan operasi yang lebih baik dan kemampanan alam sekitar,” ujarnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg