Pengunjung ke Taman Tasik Jurong kini boleh menikmati lebih banyak pemandangan dan ketenangan dengan pembukaan Taman Cina dan Jepun yang baru sahaja selesai menjalani kerja naik taraf sejak ia ditutup pada 2019.
Dibuka semula secara rasmi pada 8 September oleh Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong, Taman Cina dan Jepun yang diberi nafas baru itu merupakan sebahagian daripada usaha pemerintah untuk membina taman nasional pertama Singapura di kawasan perumahan.
Berucap di upacara pembukaan semula taman tersebut, Encik Lee berkata pemerintah akan terus berusaha menaik taraf dan menyuntik kesegaran ke daerah Jurong untuk menjadikannya lebih rancak dan sesuai didiami penduduk.
“Kami telah membina banyak rumah baru di sini, dengan lebih banyak lagi dalam perancangan serta pusat membeli-belah baru dan kemudahan penjagaan kesihatan.
“Dalam masa beberapa tahun lagi, Hab Pengangkutan Bersepadu dan Laluan MRT Daerah Jurong akan mula beroperasi, menawarkan pilihan pengangkutan awam yang lebih mudah,” kata Encik Lee.
Di upacara itu, Encik Lee turut melancarkan plak peringatan dan menanam pokok Syzygium aqueum.
Rancangan untuk membina Taman Tasik Jurong pertama kali diumumkan oleh Encik Lee dalam ucapan Rapat Hari Kebangsaan (NDR) pada 2014, ketika beliau masih berkhidmat sebagai Perdana Menteri.
Rancangan untuk menyuntik kesegaran ke kawasan Taman Tasik Jurong termasuk membina sebuah Pusat Sains baru di bahagaian utara tasik tersebut, bersebelahan stesen MRT Chinese Garden.
Fasa pertama dalam pembangunan Taman Tasik Jurong, yang merangkumi Taman Lakeside, telah siap pada 2019. Taman itu telah menerima sekitar 25 juta pengunjung sejauh ini.
Fasa kedua, iaitu peningkatan yang merangkumi Taman Cina dan Jepun, mengambil masa lebih lama akibat pandemik Covid-19.
Kerja pembinaan Pusat Sains baru sudah bermula pada separuh pertama 2024 dan ia dijangka dibuka semula menjelang akhir 2027, tahun ulang tahunnya yang ke-50.
Encik Lee turut disertai Menteri Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee, serta Penasihat Akar Umbi dari GRC Chua Chu Kang, GRC Jurong, GRC West Coast, Bukit Batok, Hong Kah North, Pioneer dan Yuhua.
Semasa ucapannya, Encik Lee berkata beliau amat terharu dengan penyertaan orang ramai dalam usaha pembaharuan Taman Tasik Jurong oleh Lembaga Taman Negara (NParks) yang menerima lebih 14,000 cadangan.
Beliau menarik perhatian penglibatan asas yang kukuh daripada pelajar, penduduk, pemimpin akar umbi dan sukarelawan dari Rakan Taman Tasik Jurong, serta sumbangan murah hati daripada penaja korporat dan individu.
Dengan pembukaan penuh Taman Cina dan Jepun, Encik Lee berkata pengunjung boleh menikmati gabungan indah antara kemudahan lama dan baru, sesuai bagi golongan muda dan tua.
“Kami telah memelihara banyak ciri semula jadi dan struktur yang dikenali orang ramai, contohnya, Pagoda Awan dan Kembar, Taman Bonsai, Bot Batu, Pavilion Teh dan Gerbang Besar.
“Pada masa yang sama, kami telah mencipta struktur baru seperti Harvest Moon Terrace di Taman Cina, yang menawarkan pemandangan indah Tasik Jurong.
“Taman Tenggelam di Taman Jepun, dengan dinding yang dipenuhi kehijauan yang subur dan pancaran cahaya matahari yang mencipta landskap seperti lembah yang unik,” kata Encik Lee.
Sebagai sebahagian daripada acara pembukaan Taman Cina dan Taman Jepun, pengunjung juga berpeluang menikmati keindahan cahaya aneka warna daripada lebih 300 tanglung dalam pameran yang bertajuk Reflections of Twilight, lengkap dengan hiasan lampu, muzik dan sentuhan seni budaya.
Ini sempena edisi ketiga dan terbesar acara Lights by the Lake yang akan berlangsung dari 8 hingga 22 September sempena sambutan Festival Pertengahan Musim Luruh, anjuran Nparks.
Lebih 300 tanglung hasil buatan tangan yang menggambarkan mitologi Cina dengan kepelbagaian biologi taman dan mercu tanda yang dikenali ramai, dinyalakan setiap malam.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg